Gara-gara 'pergaduhan besar' membabitkan orang ketiga, cinta antara pengarah muda Shamsul Datuk Yusof dan Diana Danielle kini dipukul badai di tengah jalan.

Insiden pergaduhan dua bintang muda yang membawa kepada terputusnya hubungan yang sudah mencecah usia tiga tahun itu dikatakan berlaku di kediaman Diana di Ampang, pertengahan minggu lalu.

Kejadian itu difahamkan ekoran berlaku kekasaran oleh Shamsul terhadap Diana dalam pergaduhan yang juga disaksikan oleh beberapa anggota keluarga pelakon jelita yang baru menyambut ulang tahun ke-17 itu.

Keadaan itu dipercayai menyebabkan salah seorang keluarga Diana yang turut berada di tempat kejadian bertindak membuat laporan polis tidak lama kemudian.

Ibu Diana, Norsiah Ramli, 45, ketika dihubungi semalam bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai kejadian berkenaan tetapi mengakui hubungan anaknya dengan Shamsul sedang berhadapan dengan masalah.

"Saya tak mahu ulas apa-apa. Kami terperangkap dalam kisah budak-budak. Bagaimanapun memang ada masalah dalam hubungan mereka,'' katanya.

'Kami' dalam kenyataan Norsiah merujuk kepada dirinya serta jutawan filem Datuk Yusof Haslam beserta isteri, Datin Fatimah Ismail.

Ketika ditanya apakah dia bersedia menarik semula laporan polis yang telah dibuat terhadap Shamsul memandangkan hubungan mesra yang terjalin antara dua keluarga berkenaan sebelum ini, Norsiah juga enggan memberikan sebarang komen.

"Tak tahulah macam mana lagi. Tolonglah, saya tak mahu ingat benda itu lagi, berilah peluang kepada Diana untuk merehatkan fikirannya yang tengah bercelaru,'' katanya yang ketika dihubungi berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebelum berlepas ke Jakarta.

Menurut Norsiah, dia dan Diana akan berada di negara jiran itu hampir seminggu bagi mencari ketenangan.

Oleh TENGKU KHALIDAH TENGKU BIDIN

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top