Semuanya gara-gara persembahan hebat juara musim kedua Sehati Berdansa terbitan Astro itu hanya 'gah' di mata juri profesional setiap minggu. Undian khidmat pesanan ringkas (SMS) nyata berpihak kepada pasangan naib juaranya, Amyza dan suami, Khairil.
Namun, apa yang berlaku pada malam kemuncak Sehati Berdansa di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Sabtu lalu akhirnya mengiktiraf bakat tarian Lis Dawati dan Fauzi. Pasangan romantis itu meraih undian SMS penonton sebanyak 67 peratus berbanding Amyza.
Amyza dan Khairil pula sekadar 32.9 peratus. Justeru, perbezaan jumlah undian yang sangat ketara itulah mengaitkan pasangan Lis Dawati atau Lisda dengan perihal 'konspirasi' juara terancang. Kemenangan itu dikatakan memang sudah ditetapkan penganjur buat mereka.
Pada sesi sidang medianya, Lisda berkata, dia dan suami berusaha menampilkan persembahan konsisten setiap minggu. Jadi tiada sebab untuk mengaitkan kemenangan dimiliki itu dengan konspirasi tidak berasas. Katanya, ia adalah rezeki ditentukan Tuhan untuknya dan suami.
Bagi Fauzi pula, mereka menang secara jujur apabila strategi diguna pakai berjaya menambat hati penonton untuk mengundi, seterusnya memilih dia dan Lisda sebagai juara. Katanya, mereka tidak ketinggalan melayari laman web kelab peminat untuk memancing undi.
"Selain itu, kalau hendak cakap kami tidak pernah meraih undian SMS tertinggi penonton pada persembahan mingguan, rasanya tidak benar. Seingat saya, pernah sekali kami berada di tangga teratas ketika menyahut cabaran mengalunkan gerak tari irama global.
"Apapun, inisiatif yang kami ambil dengan mendekati kelab peminat dan meminta mereka (peminat) mengundi nampaknya berhasil. Jadi, kaitan yang mengaitkan kami dengan perancangan Astro untuk diiktiraf sebagai juara adalah tidak benar. Kemenangan ini telus.
"Kalau tidak percaya lagi, sila layari portal web hiburan murai.com.my yang anda akan dapati kebanyakan komen diberikan peminat dan penonton terhadap kami sangat menarik. Komen positf juga diterima daripada laman web www.astro.com.my/sehati berdansa," katanya.
Mewakili badan kebajikan Rumah Nur Salam di Chow Kit, akui Lisda penyertaannya dan Fauzi dalam Sehati Berdansa musim ini kerana mereka memang ingin menari. Disebabkan itu, setiap tugasan tarian diterima menjadi 'medan cabar-mencabar' antaranya dan Fauzi.
"Saya dan suami sentiasa bersaing untuk menunjukkan tarian siapa lebih hebat. Justeru, ia secara tidak langsung menaikkan semangat kami untuk buat persembahan terbaik. Ditambah lagi, tujuan utama untuk beramal dan membantu mengumpul dana untuk golongan memerlukan.
"Bagaimanapun, gerak tarian kami tidak akan berhenti di sini saja kerana saya mahu terus belajar lagi. Oleh itu, saya bercadang akan mendaftar di kelas tarian yang berdekatan dengan rumah. Malah, saya juga baru mendapat tawaran berlakon watak sebagai penari.
"Semuanya disebabkan persembahan dalam Sehati Berdansa. Oleh itu, saya melihat program realiti TV ini membantu membuka banyak ruang untuk perkembangan karier seni diceburi," katanya tidak menolak Sehati Berdansa juga mampu merapatkan hubungan antara suami dan isteri.
Mendapat bimbingan koreografer berbakat, Rey Redzuan Awang, pasangan Lisda atau nama sebenarnya Nisdawati Nazaruddin dan Mohd Fauzi Mohd Nawawi (Fauzi) menganggap Sehati Berdansa wajar disertai golongan artis kerana dapat menjauhkan mereka daripada krisis rumah tangga.
Menurut Fauzi, pada pandangannya kesibukan di lokasi penggambaran sering menyebabkan suami isteri jarang dapat bersua dan bersama. Oleh itu, lama-kelamaan kehendak pasangan dilupakan. Justeru, apabila ini berlaku pastinya ia mengeruhkan hubungan.
Menerusi kemenangan itu, Lisda dan Fauzi berjaya membawa pulang hadiah lumayan melebihi RM150,000 berupa kereta Kia Optima, pakej percutian ke Eropah Tengah iaitu di Switzerland, Jerman, Belanda, Belgium, Perancis dan London serta barangan hamper Silky dan trofi.
Tidak ketinggalan, koreografer mereka iaitu Rey pula menerima habuan percutian ke Jepun dengan melawat destinasi menarik seperti Kyoto, Toyohashi, Mt Fuji dan Tokyo, hamper Silky serta trofi. Rumah Nur Salam pula menerima sumbangan RM15,000 daripada Astro.
Di sebalik kegembiraan yang dikecapi pasangan Lis Dawati dan Fauzi sebagai juara Sehati Berdansa musim kedua, pastinya Amyza Aznan serta suami, Khairil Izhar Mohd Nazir terpaksa berpuas hati di tempat kedua. Ini kerana, persembahan mereka pada malam kemuncak itu agak tidak konsisten.
Apapun, menerusi kejayaan diraih, pasangan sejiwa ini dapat menyumbangkan RM10,000 kepada badan kebajikan diwakili, Yayasan Peyakit Alzheimer Malaysia. Selain itu, mereka dan koreografer, Nizam Zakaria juga membawa pulang hamper Silky dan trofi.
Amyza yang ditanya mengenai kekalahannya yang dikaitkan dengan kewujudan 'konspirasi', berkata apa yang terjadi mungkin disebabkan kelekaan peminat untuk terus menghantar undian untuknya dan suami. Barangkali, mereka (peminat) berasakan ia di tahap selesa.
"Jadi, peminat kami leka dan sekali gus kurang mengundi. Apapun, saya sedar persembahan kami setiap minggu tidak semuanya konsisten. Ada yang 'menjadi' dan ada juga sebaliknya. Oleh itu, sampai ke tahap ini sudah membawa satu kenangan indah kepada kami.
"Sehubungan itu, mengenai 'konspirasi' pula, saya tidak berapa mengambil berat untuk memikirkannya. Terus-terang dikatakan, saya dan suami tidak suka mengambil tahu bendaa yang negatif termasuk isu bermasam muka yang mengaitkan saya dengan Lisda.
"Sebenarnya, hubungan kami tidak pernah bermasalah. Kami baik tetapi timbul juga cerita negatif itu. Tidak dinafikan, saya pernah tertekan dengan gosip itu tetapi suami banyak membantu menaikkan semangat semua. Dia (suami) meminta saya tidak terlalu memikirkannya," kata Amyza.
Menurut ibu kepada dua anak ini lagi, dia menerima kekalahannya dengan reda. Katanya, rezeki dia dan suami sampai di tempat kedua saja. Amyza tidak lupa mengucapkan terima kasih pengundi dan Astro yang memberi peluang kepadanya untuk cuba menari.
Pada malam kemuncak itu juga, penonton dihiburkan dengan persembahan permulaan iaitu tarian Melayu, Cina dan India yang melambangkan kepelbagaian kaum di Malaysia ditampilkan koreografer Sehati Berdansa musim kedua. Ia diikuti kemunculan semua peserta Sehati Berdansa.
Dipanaskan dengan beberapa persembahan tarian seperti samba serta persembahan artis yang mengetengahkan Sarah Raisuddin bersama Damien (VE) dengan lagu Menari Denganku dan Stacy menerusi lagu barunya, Gagap. Juri pula ialah Linda Jasmine, Hamzah Mohd Tahir dan Anthony Meh Kim Chuan.
Dua pasangan akhir berentap diuji dengan persembahan tarian Melayu Kontemporari dan Latin. Bukan itu saja, pemilihan pemenang juga ditentukan secara 100 peratus undian SMS penonton. Sehingga minggu ke-10, Astro sudah menyumbangkan kira-kira RM62,000 kepada badan kebajikan terbabit.
>Coret-Coret
1) Pengacara Sehati Berdansa, Linda Onn tersilap memanggil nama rakan pengacaranya, Fahrin Ahmad dengan panggilan Khairil.
2) Juri jemputan, Anthony Meh cukup 'kelakar' ketika memberikan komennya terhadap persembahan peserta.
3) Bakal pengantin yang hangat bercinta, Linda Jasmine cukup mesra di sisi kekasih hati, pelakon Que Haidar.
4) Mungkin memang bukan rezeki Amyza dan suami apabila tarian Latin dipersembahkan mereka 'kurang menjadi' berbanding tarian Melayu Kontemporari.
5) Ramai rakan artis datang memberi sokongan. Antaranya, Ziela Jalil, Farhan (AF4) dan bekas peserta dan koreografer Sehati Berdansa musim pertama seperti Anne Ngasri dan Rai (pengacara Astro).
Oleh Norhayati Nordin
0 ulasan:
Catat Ulasan