Bahkan, musim baru menjanjikan tontonan lebih menarik.
Bukan itu saja, Spa Q 2 juga mendapat sentuhan tiga pengarah berkaliber yakni Feroz Khan, Hanafiah Sharif serta dibantu Redza Fahmy.
Masih mengekalkan jumlah episod seperti musim terdahulu, kali ini jalan ceritanya lebih konflik, dendam dan emosi.
Namun, apa yang pasti ia tetap menggambarkan ketabahan dan kekuatan seorang wanita bernama Qistina. Bergelar ibu tunggal kerana kematian suami, ujian hidup Qistina tidak berakhir apabila dia terjerat dengan masalah cinta, karier dan keluarga.
Redza berkata, bersama Spa Q musim pertama secara tidak langsung membantunya untuk membentuk lanjutan kisah seterusnya.
Walaupun tiada masalah, tetapi perbincangan tetap utama kerana harus mencari apa yang hendak diberi kepada penonton.
“Hasilnya boleh disaksikan pada 15 Disember ini (Isnin), jam 6.30 petang dari Isnin hingga Khamis di TV3. Saya yakin penonton akan lebih terasa kerana plot ceritanya yang kuat, termasuk konsep telenovela yang masih dikekalkan.
“Bagi penonton Spa Q 2, jangan sesekali menganggap kisah dipaparkan umpama drama bersiri yang dipanjangkan ceritanya.
“Ia sama sekali tidak kerana penamat setiap episod tidak tergantung. Malah, watak diketengahkan juga ada cerita tersendiri,” katanya.
Menurut Redza lagi, hebatnya Spa Q 2 terbitan produksi Global Station Sdn Bhd ini apabila turut menggabungkan lapan pelakon yang pernah memenangi anugerah. Justeru, dengan pembabitan itu boleh dikatakan penghasilan Spa Q 2 seperti filem.
Banyak mengetengahkan watak baru, Spa Q 2 ditunjangi Norish Karman sebagai Qistina, Azizah Mahzan (Marlia), Zafrul Nadzarin (Zaefrul), Fazren Rafi (Dafi) Zaris Nellydya (Melisa), Nisha Dirr (Tania), Khairil Anuar (Helmi), Faradhiya (Julia) dan Liza Abdullah (Zalina).
Tidak ketinggalan diperkenalkan watak Norell lakonan (Zizie Ezzete), Sharifah Sofea (Lola), Jasmin Hamid (Datin Sofira), Eryana (Fouziah Gous), Datuk Rohani (Siti Shahrizah), Shah (Faizal Yusuf), Zarina Zainudin (Datin Seri Anum) serta Erynn Erynna (Anis).
Lebih hebat lagi penampilan khas penyanyi wanita nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza Taruddin di pentas lakonan. Malah, Siti juga menyanyikan lagu tema Spa Q 2, Pada Cintanya.
Ditanya mengenai jumlah babak yang membabitkan Siti, kata Redza penyanyi tersohor itu tampil dalam episod tertentu.
Jelasnya, kemunculan Siti tidak terikat pada satu episod saja kerana adakalanya penyanyi juga perlu menuturkan dialog.
“Saya tidak sangka Siti boleh menjayakan wataknya dengan baik. Beliau sangat bagus walaupun kali pertama terbabit dalam lakonan,” katanya yang turut memberitahu penghasilan Spa Q 2 dibuat demi kepuasan dan tidak berlandaskan keuntungan semata-mata.
Redza berkata jika musim lalu lokasi Spa Q dibuat di Gombak, kali ini setnya nyata lebih berprestij di Sungai Buloh. Bagi memastikan ia spa terbaik, dekorasi dalamannya direka mewah.
Dalam soal ini, tidak dinafikan kos dibelanja agak tinggi.
“Namun, apa yang diutamakan penonton dapat melihat spa itu bagaikan benar-benar wujud. Sedangkan, realitinya saya reka hanya untuk penggambaran Spa Q 2. Seperti musim terdahulu, maklum balas diterima daripada penonton sangat bagus.
“Hingga ada bertanya alamat sebenar Spa Q kerana hendak datang buat rawatan. Jadi, saya kira konsep spa rekaan yang dibuat berjaya. Oleh itu, ia harus dikekalkan lagi,” katanya memaklumkan penggambaran Spa Q 2 sudah siap sebanyak 70 peratus.
0 ulasan:
Catat Ulasan