Wanita yang enggan namanya disiarkan itu, berkata pelakon drama bersiri telenovela, Spa Q itu sepatutnya mengetahui perasaan seorang ibu dengan menasihatkan Nadia kembali ke pangkuannya.
Menurutnya, dia hairan Norish berkelakuan umpama pelindung Nadia, malah seolah-olah berniat menjadi ibu dengan membahasakan dirinya ‘bonda’ kepada Nadia.
“Dia (Norish) juga ibu yang mempunyai anak. Sepatutnya dia memahami perasaan saya sebagai ibu apabila anak tiba-tiba menghilangkan diri, lebih-lebih lagi membabitkan gadis bawah umur,” katanya kepada Harian Metro, semalam.
Muka depan Harian Metro Khamis lalu melaporkan, polis mencari Norish kerana disyaki menyembunyikan seorang remaja perempuan di rumahnya sejak tiga minggu lalu.
Difahamkan, pelakon berkenaan dikaitkan dengan kehilangan Nadia yang hilang daripada jagaan ibunya.
Kehilangan Nadia menyebabkan ibunya mengesyaki dia disorok artis terbabit lalu membuat laporan polis.
Ibunya yang berkahwin dengan warga Kanada itu mengetahui Nadia berada di rumah Norish berdasarkan e-mel yang diterima kakak gadis berkenaan.
Mengulas dakwaan ibu Nadia itu, Norish berkata, dia enggan masuk campur kerana membabitkan masalah keluarga antara ibu dan anak.
“Tetapi sebagai ibu, saya bertanggungjawab memberi perlindungan kepada budak yang baru berusia 14 tahun. Saya sudah lama mengenali ibu Nadia...begitu juga dengan Nadia yang berkawan baik dengan anak tiri saya yang sebaya dengannya, Halysha Nur Hashimuddin.
“Saya tidak menculik Nadia seperti digembar-gemburkan. Dia juga tidak tinggal dengan saya, sebaliknya tinggal dengan neneknya dan ada kalanya datang ke rumah saya,” katanya.
Menjelaskan lanjut perihal Nadia, ibunya berkata, punca sebenar anak gadisnya lari dari rumah disebabkan inginkan kebebasan.
“Saya akui memang memantau pergerakan Nadia. Saya lakukan semua itu kerana dia masih bawah umur dan belum matang dengan godaan hidup di ibu kota.
“Namun, tidak pernah sekalipun saya memukulnya. Selain mengintip pergerakannya, saya menyamar dalam satu laman sembang popular.
“Tentulah saya marah apabila mengetahui dia pernah ke pusat hiburan dan mempunyai teman lelaki,” katanya.
Dia turut menafikan kenyataan Nadia kepada media bahawa ibu menghalaunya dari rumah.
Sementara itu, Nadia mendakwa dia tidak melarikan diri dari rumah, sebaliknya berada di rumah nenek.
“Saya hubungi bonda (Norish) untuk mengambil saya, tetapi dia sibuk dengan penggambaran lalu saya hubungi kawan dan memintanya menghantar saya ke rumah nenek di Kampung Melayu Subang.
“Sejak itu, saya tinggal di rumah nenek dan ada masanya pergi ke rumah bonda (Norish) dan rumah seorang lagi kawan,” katanya.
Nadia mendakwa dia tiada masalah tinggal bersama ibu, tetapi semua masalah perlu diselesaikan.
“Sepatutnya ibu bersyukur saya dalam keadaan selamat tinggal dengan bonda (Norish). Janganlah babitkan orang lain,” katanya.
Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin dan Amir Abd Hamid
~ Metro
0 ulasan:
Catat Ulasan