Dari tutur bicaranya terkesan nada kesal atas insiden hitam mengasari bekas teman wanitanya, Diana Danielle. Banyak yang bersarang di sudut hatinya namun cuma secebis mampu dikongsi, selebihnya pelakon dan pengarah muda, Shamsul Yusof selesa menyimpan rentetan peristiwa hingga mengundang titik hitam dalam hubungan tiga tahunnya dengan Diana sebagai sesuatu yang peribadi.

Pada pertemuan lewat petang Khamis itu, Shamsul kurang berbicara malah kebanyakan soalan enggan diulas lanjut kerana niatnya cuma satu, tidak mahu memanjangkan isu yang akhirnya mengeruhkan hubungan baik antara dua keluarga.

Awal perbualan, Shamsul mengakui berlaku perselisihan antara mereka berdua sehingga mengundang pertengkaran menyebabkan dia hilang sabar lalu melakukan kekasaran terhadap Diana.

Katanya kesal, dia mengaku bersalah atas apa yang berlaku malah dengan rendah diri memohon maaf kepada Diana dan ibunya, Norsiah Ramli kerana tidak dapat mengawal diri.

“Sudah seminggu peristiwa itu berlaku. Sepatutnya sebagai lelaki saya bersabar tetapi apa boleh buat, perkara sudah terjadi.

“Memang saya bersalah kerana gagal mengawal diri pada hari kejadian. Selama tiga tahun menjalin hubungan, perselisihan faham itu lumrah tetapi saya mampu bersabar dan tidak pernah berkasar dengan Diana,” katanya.

Ditanya punca sebenar kejadian, Shamsul, 24, berkata, ia terlalu peribadi untuk dikongsi umum bahkan enggan mengulas saat disuakan pertanyaan sama ada berlaku provokasi sehingga membuatkan dia bertindak seperti itu.

Sebaik mungkin, kata pengarah serta pelakon Evolusi KL Drift ini, dia enggan memanjangkan lagi isu itu kerana tidak mahu mengeruhkan hubungan keluarga antara kedua-dua belah pihak.

“Apa yang sebenarnya terjadi cukup jika hanya kami berdua dan keluarga yang tahu. Saya tidak mahu jika sekali membuka mulut, ia akan berpanjangan.
YUSOF dan Fatimah sudah menganggap Diana dan ibunya, Norsiah sebagai keluarga sendiri.

“Saya hanya akan bercerita jika dipanggil polis untuk memberikan keterangan. Lagipun, saya sendiri sudah menghubungi Diana serta meminta maaf kepada dia dan ibunya atas apa yang berlaku,” katanya.

Ditanya reaksinya apabila mendapat tahu Diana membuat laporan polis berhubung insiden berkenaan, Shamsul berkata, dia agak terkejut apatah lagi laporan hanya dibuat selepas beberapa hari peristiwa itu berlaku.

Jauh di sudut hati, kata Shamsul, dia berharap perkara itu dapat diselesaikan dengan baik terutama apabila mengenang keakraban keluarga mereka sepanjang dia bersama Diana.

“Banyak yang tidak dapat saya ceritakan kerana tidak mahu memburukkan lagi keadaan. Keluarga juga kalau boleh tidak mahu isu ini terus diperbesarkan dan saya harap semua pihak memahami,” katanya.

Ditanya status hubungannya dengan pelakon muda berusia 17 tahun itu, Shamsul berkata, ia sudah berakhir apabila Diana sendiri meminta supaya percintaan mereka ditamatkan.

“Dia cakap minta putus, apa lagi saya saya mampu lakukan? Saya terima jika itu yang dimintanya. Saya masih menyayanginya tetapi hanya sebagai kawan.

“Tetapi jika ditanya mengenai kembali bekerja dengan Diana, saya tidak tahu lagi. Perkara itu perlu saya fikirkan kerana banyak yang saya kena pertimbangkan,” katanya.

Akhbar sebelum ini melaporkan berlaku pertelingkahan antara Shamsul dan Diana dipercayai gara-gara kehadiran orang ketiga pada satu kejadian di kediaman gadis berdarah kacukan Inggeris-Melayu itu di Ampang.

Susulan kejadian itu, keluarga Diana membuat laporan polis malah gadis itu juga nekad memutuskan hubungannya dengan anak pengarah terkenal, Datuk Yusof Haslam itu.

Gelombang cinta remaja

Sementara itu, Yusof yang turut bersama pada pertemuan di kediaman mereka di Taman Malawati, Hulu Klang, menyifatkan insiden yang berlaku sebagai ‘gelombang cinta remaja’ yang ada pasang dan surutnya.

Nasihatnya supaya Shamsul dan Diana menumpukan perhatian kepada karier masing-masing tanpa perlu menyimpan dendam atau amarah atas apa yang berlaku.

Katanya, industri hiburan tempatan terlalu kecil dan lambat laun mereka pasti bertemu semula, justeru, tidak perlu ada permusuhan.

Biarpun agak terperanjat dengan tindakan Diana yang membuat laporan polis berhubung insiden itu, Yusof tidak sesekali menyalahkan gadis itu.

“Mungkin situasi Diana yang agak emosi membuatkan dia bertindak demikian. Shamsul pula, sebagai lelaki apa pun yang berlaku dia tidak sepatutnya mengasari Diana sekali pun jika ada provokasi.

“Saya melihat kejadian ini tidak lebih sebagai satu hubungan yang patah kandar ketika di pertengahan jalan. Sekali pun saya berharap mereka menumpukan perhatian kepada karier tetapi saya tidak dapat menolak kehendak anak muda seperti mereka untuk bercinta.

“Cuma saya berharap kesilapan ini tidak akan berulang lagi,” katanya.

Tambah Yusof, dia berharap perkara itu dapat diselesaikan dengan baik seperti menarik rambut dalam tepung dan mengulangi pendiriannya, untuk tidak menyalahkan sesiapa.

“Ia perkara kecil cuma menjadi isu besar apabila kejadian ini dilaporkan kepada polis. Shamsul juga sudah memohon maaf dan saya berharap mereka ikhlas memaafkan kesilapannya,” katanya.

Sementara itu, ibu Shamsul, Datin Fatimah Ismail berharap, Diana dan ibunya akan menarik balik laporan polis yang dibuat kerana dia menyayangi gadis itu seperti anaknya sendiri.

Katanya, mereka masih berhubung menerusi Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) malah sempat mengirimkan ucapan terima kasih ketika Diana dan ibunya mahu berlepas ke Jakarta, Indonesia kerana bersikap matang dalam mengendalikan insiden itu.

“Kalau Diana tidak mahu berkawan dengan Shamsul lagi tidak mengapa. Cuma saya harap keluarga kami tidak bermusuhan kerana kami sudah anggap mereka seperti keluarga sendiri.

“Ini hal budak-budak tetapi sebagai ibu, saya tetap bersedih apabila melihat betapa susahnya perjalanan Shamsul untuk menuju kejayaan dalam apa yang dilakukannya,” katanya.

Oleh Zul Husni Abdul Hamid

1 ulasan:

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top