Aturcara Datuk Shah Rukh Khan di Melaka 6 Disember

# Dijadual tiba di KLIA jam 7.30 pagi dan terus ke Melaka

# Menghadiri majlis penganugerahan Darjah Mulia Seri Melaka di Seri Negeri, Ayer Keroh jam 10 pagi

# Pada majlis itu, Shah Rukh Khan bakal memakai baju Melayu serba hitam dan bersongkok

# Dijadual menghadiri sidang media bersama Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam selepas itu

# Selepas makan tengah hari bermula jam 2 petang, beliau akan bersiar di pusat Bandaraya Melaka Bersejarah

# Destinasi pertama adalah Menara Taming Sari, sebelum menaiki beca menyusuri Jalan Quayside dan berhenti di Kincir Air Kesultanan Melayu Melaka

# Jam 2.50 petang, beliau berada di Eye On Malaysia dan selepas itu mengunjungi Jonker Walk menaiki buggy hingga ke Padang Nyiru. Di situ beliau akan menaiki bot menyusuri Sungai Melaka hingga ke Eye On Melaka, sebelum menaiki buggy bersiar di Kampung Morten.

# Jam 4.45 petang, aktor ini akan dibawa ke Dataran MBMB untuk menghadiri sesi bertemu peminat. Beliau dijadual singgah di situ kira-kira 30 minit.

# Sempena kunjungan artis Bollywood ini, satu konsert turut diadakan di kawasan ini membabitkan artis tanah air bermula jam 4.30 petang hingga 6.30 petang

# Shah Rukh Khan dijadual meninggalkan Melaka sejurus selepas itu menuju ke KLIA. Beliau dijadual berlepas pulang ke Mumbai jam 8 malam.

# Mengikut pengumuman awal sebelum ini, majlis penganugerahan Shah Rukh Khan ini akan turut dirakamkan stesen televisyen India iaitu Zee TV yang turut disiarkan stesen Astro menerusi saluran 108.


KALAU anda peminat setia filem Hindustan dan meminati aktor bernama Datuk Shah Rukh Khan sehingga sering terbawa-bawa dalam mimpi ketika tidur, jangan lupa untuk berkunjung ke Melaka, pada tarikh ini - 6 Disember, Sabtu, bersamaan 8 Zulhijjah.

Pada detik itu nanti, percayalah impian anda untuk bertemu dengan aktor nombor satu Bollywood itu secara live akan menjadi kenyataan. Artis kegilaan ramai ini akan berada di negeri kelahiran Hang Tuah itu selama sehari pada tarikh berkenaan atas jemputan kerajaan Melaka.

Beliau yang pernah menambat hati jutaan rakyat Malaysia dengan `filem berhantu' Kuch Kuch Ho Ta Hai, berkunjung ke negeri berusia 500 tahun itu bagi menerima anugerah kebesaran kerajaan Melaka iaitu Darjah Mulia Seri Melaka (DMSM) daripada Yang di-Pertua Negeri, Tun Mohd Khalil Yaakob sempena hari jadinya yang ke-70.

Pada awalnya, jika mengikut pengumuman Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam di Kuala Lumpur pada 23 Oktober lalu, Shah Rukh dijadual datang pada 29 November. Namun akibat beberapa masalah tidak dapat dielak, perubahan tarikh terpaksa dibuat sebagaimana diumumkan Isnin lalu oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka, Datuk Wira Omar Kaseh.

"Artis popular Bollywood itu memberi persetujuan datang ke Melaka pada Sabtu, 6 Disember untuk menerima darjah kebesaran negeri yang membawa gelaran Datuk Kehormat. Sejak awal lagi, beliau memberi persetujuan untuk datang ke negeri ini dengan memberikan beberapa tarikh sesuai untuk dirinya.

"Bagaimanapun tarikh yang diberikan tidak bersesuaian dengan kerajaan negeri kerana ada yang jatuh pada hari kerja biasa," kata Omar yang turut dilantik kerajaan negeri bagi mempengerusikan jawatankuasa majlis penganugerahan berkenaan.

Shah Rukh Khan adalah antara 77 penerima DMSM bagi tahun ini dan sekali gus muncul sebagai artis Bollywood pertama mendapat penganugerahan berkenaan sejak Malaysia merdeka 51 tahun lalu. Laporan sebelum ini menyebut penganugerahan itu adalah atas cadangan bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin sebagai penghargaan atas sumbangan memperkenalkan Melaka menerusi filemnya One Two Ka Four.

Penganugerahan ini bagaimanapun mencetuskan sedikit kontroversi sehingga turut diperdebatkan di Parlimen. Tetapi ia pantas diredakan Mohd Ali menerusi penjelasannya bahawa ia dibuat sebagai penghargaan kepada artis itu disamping atas faktor pelancongan yang kini menjadi sumber utama pendapatan negeri itu.

Dalam pada itu, mengikut butiran maklumat yang diberikan Omar, Shah Rukh bakal mempunyai acara yang padat sepanjang berada di Melaka. Acara utama pastinya majlis penganugerahan bintang kebesaran Melaka di Seri Negeri, Ayer Keroh yang dijadual bermula jam 10 pagi.

Bagi menyaksikan acara itu, kerajaan Melaka menjemput 1,000 tetamu khas. Tidak dapat dipastikan identiti mereka yang dijemput itu, namun jika anda bukan dalam senarai jemputan, lupakan hasrat untuk bertemu aktor kesayangan anda itu di sana.

Jadi bagaimana bagi peminat setia aktor ini dan orang ramai ingin melihat dengan lebih dekat sekali gus beramah mesra dengan Shah Rukh Khan? Kalau anda orang Melaka dan bermastautin di situ mungkin tidak banyak masalah sekiranya tidak berpeluang bertemu beliau. Paling tidak pun sekadar berasa kempunan.

Tetapi bagaimana pula dengan pengunjung dari luar negeri bersejarah itu? Tentunya mereka inginkan pulangan berbaloi? Anda sebenarnya tidak perlu risau kerana kerajaan Melaka khususnya pihak Istana Melaka sentiasa prihatin dengan situasi itu.

Orang ramai akan tetap diberi peluang untuk bertemu Shah Rukh Khan. Dan tempoh yang diberikan juga cukup panjang. Jika mengikut butiran yang diberikan Omar, peminat dan orang ramai boleh melihat penampilan aktor ini di hampir 10 lokasi di Bandaraya Melaka Bersejarah.

Shah Rukh Khan dijadual memasuki pusat Bandaraya Warisan Dunia itu kira-kira jam 2 petang bagi melihat sendiri pelbagai tarikan pelancongan dan tinggalan sejarah. Antaranya Menara Taming Sari, Eye On Malaysia, Kincir Air Kesultanan Melaka, Bangunan Stadhuys, Eye On Melaka dan Kampung Morten.

Tidak cukup dengan itu, kerajaan Melaka juga turut memberi peluang kepada orang ramai untuk menyaksikan penampilan artis ini di Dataran Melaka Bandaraya Bersejarah. Tidak dapat dipastikan sama ada dia akan menyanyi atau menandatangani autograf tapi tempoh masa untuk orang ramai bersamanya adalah 30 minit.

Majlis di dataran berkenaan akan turut diserikan dengan persembahan artis tanah air seperti Mila AF, Salwa Abd Rahman, Datuk Malek Ridhuan, Bienda, Zur Eda dan Othman Hamzah. Ia dijadual bermula jam 4.30 dan berakhir 6.30 petang.

Bagi orang ramai yang ingin merasai `kehangatan' kunjungan Shah Rukh Khan ini, patuhilah nasihat Omar ini: "Adalah diharapkan semua peminat Shah Rukh Khan yang ingin melihat wajah pelakon terkenal itu dengan lebih dekat akan berada di tempat yang disebutkan, kecuali ketika istiadat penganugerahan yang dikhaskan untuk jemputan saja."

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top