Pak Nil pasti Shahir masih ada menyimpan senjata dalam nyanyiannya yang masih belum dikeluarkannya atau Shahir sendiri tidak mengetahui akan kewujudan senjata itu. Walaubagaimanapun kita kena akur dengan pilihan pengundi yang Paknil lihat sebagai pilihan naik turun yang tidak boleh dijangka. Sekejap Shahir berada di atas carta dan sekejapan pula turun di tangga yang tercorot.
Jika ada AF MASUK? Entahlah, mungkin berbaloi jugak kot sebab Shahir mungkin adalah pilihan paling popular.
Berbalik pada persembahan pelajar pada konsert ke tujuh Sabtu lalu, Pak Nil terkejut dengan persembahan Daus. Daus betul-betul dilihat sebagai pelajar yang menguasai dewan, pentas dan suasana. Tidak ada sedikit pun masa yang Pak Nil lihat terbuang dan dipersiakan. Mungkin dengan aksi tegang dan air muka yang keras selama ini ditonjolkan oleh Daus kena dan bertepatan dengan lagu nyanyiannya ini. Kelemahan vokal Daus dapat ditutup dengan kehebatan aksi Daus. Tahniah buat Daus dan Pak Nil puas dengan persembahannya.
Adira pula masih menunjukkan persembahan yang konsisten dan bermutu. Namun begitu Pak Nil rasa seperti menonton persembahan ulangan tapi pada lagu yang berbeza pula. Ini adalah risikonya jika pelajar diberi genre yang sama secara berturut. Adira kelihatan seperti mempertahankan apa yang dilakukan pada minggu sudah dalam persembahannya kali ini. Walaubagaimanapun, Adira kelihatan elegan bersesuaian dengan corak persembahannya yang diiringi pemain biola yang cilik.
Pak Nil cukup tabik pada Shahir kerana menyahut cabarannya menyanyikan lagu Tiara pula kali ini. Shahir sememangnya antara pelajar yang sering diuji dengan pelbagai genre lagu yang berbeza. Masalah dengan Shahir ini adalah dia sering memberikan persembahan yang 'selamat' sahaja. Walaupun ada cubaan untuk memberanikan diri tetapi masih belum cukup untuk membuka mata. Jelas terdapat elemen 'bersih' dalam persembahannya.
Maka, Shahir akhirnya tidak menterjemahkan lagu pada kadar yang diharapkan sehingga kita yang menonton tidak memperolehi kepuasan.
Farina nampak gayanya ingin membuktikan keberaniannya menuruni pentas. Jika minggu lalu dia ke meja pengkritik, tapi kali ini dia ke kerusi penonton. Namun, Pak Nil tidak nampak siknifikannya. Persembahan Farina kali ini adalah biasa sahaja tetapi tidaklah mengecewakan. Kebolehannya tidak teruji dalam lagu Jika kau Ubah Fikiran ini.
Ain memulakan persembahan dengan meyakinkan apabila dia mendendangkan lagu, Seindah Biasa daripada Datuk Siti Nurhaliza ini kerana baris pertama sudah membuktikan dia tidak terpengaruh dengan cara nyanyian Datuk Siti. Makin lama Ain menyanyikan lagu ini, Ain berjaya untuk membebaskan dirinya dari dibandingkan dengan Siti. Namun begitu, mungkin faktor 'Wow' yang kita nantikan dalam persembahannya masih belum kelihatan.
Ada orang menanyakan Pak Nil apa faktor wow itu. Namun Pak Nil sendiri tiada jawapannya. Mungkin Ain boleh keluarkan dalam persembahannya yang akan datang. Ambil Daus sebagai contoh yang tiba-tiba muncul minggu ini dengan 'Wow'!
Maulana sekali lagi diuji dengan lagu berirama jazz. Lagu ini memang dinyanyikan dengan baik oleh Maulana tetapi persembahannya tidak nampak besar kerana pergerakan Maulana tidak menyokong konsep theatre yang dipersembahkan.
Seharusnya Maulana melepaskan lebih lagi pergerakan dan mimik muka dalam lagu ini. Lagu ini adalah seperti bercerita dan bila pelajar menggunakan konsep penceritaan/lakonan dalam persembahannya, banyak faktor lain yang harus ditonjolkan.
Macam yang Pak Nil tegur dalam konsert tirai dahulu, Maulana kelihatan masih berjalan dengan cara yang tidak elegan dan posture badannya masih membongkok. Inilah yang menyebabkan Maulana tenggelam dalam pergerakannya yang kurang meyakinkan.
Akhir sekali, Pak Nil ingin memuji persembahan Iwan yang Paknil rasa sangat sedap mata memandang dan telinga mendengar. Persembahan Iwan kelihatan kemas dan teratur. Suara Iwan juga sesuai dengan lagu Warisan Wanita Terakhir ini kerana sebutannya terang dan jelas.
Pak Nil pada mulanya agak runsing juga apabila Iwan terus-terusan duduk di kerusi dengan sokongan rakan sebagai penyanyi latar. Kelihatan seperti ini bukan persembahan solo tetapi berkumpulan. Namun, keresahan ini menjadi lega kerana Iwan bangun dan melangkah ke depan dan baru lah dia tampak mengungguli persembahan.
Akhir sekali ketika debaran, Pak Nil ditanyakan siapakah yang Pak Nil rasa memenuhi piawaian Akademi. Jawapan Pak Nil adalah Shahir kerana Akademi Fantasia sebelum ini menuntut semua pelajarnya agar menyahut cabaran menyanyikan lagu dari pelbagai genre. Dari zaman Vince sehinggalah Hafiz, mereka semua puas di uji. Dalam AF8 ini Pak Nil rasa Shahirlah yang puas di uji!
Dengarnya, jika Shahir masih kekal dalam AF minggu ini dia akan diuji dengan lagu Hindustan pula. Betul ke?
0 ulasan:
Catat Ulasan