Rancangan itu dibuat bukan untuk tujuan publisiti gara-gara taring AF8 yang kian tumpul tetapi disifatkan Pengetuanya, Norman Abdul Halim lebih sebagai pendedahan awal kepada pelajar sebelum mereka melangkah ke dunia artis yang sebenar.
Lima finalis itu, Muhd Shahril Firdaus Eli (Daus), 22; Emirza Azwan Zulazrin Chew (Iwan), 20; Siti Adira Suhaini (Adira), 19; Ahmad Shahirb Zawawi (Shahir), 22, dan Muhd Firdaus Maulana Mohamed (Maulana), ditemani Pengetua AF8, Norman Abdul Halim serta Pengurus Saluran Astro Ria, Azlin Reza Azmi dibawa bertemu Pengarang Kumpulan Berita Harian, Datuk Mior Kamarulbaid Shahid dan Pengarang Kumpulan Harian Metro, Datuk Mustapha Omar.
Mereka yang diiringi Penolong Pengarang Hiburan Berita Harian, Zainuri Misfar diberi penerangan secara ringkas mengenai operasi di Jabatan Pengarang Berita Harian selain dibawa berkenalan dengan orang yang akan kerap mereka temui apabila bergelar artis kelak iaitu wartawan hiburan.
Malah pada kunjungan itu, sesi temu bual turut diatur Astro yang dijadikan latihan awal kepada pelajarnya cara menjawab soalan wartawan.
Ketika ini, teka teki siapa bakal menyandang gelaran juara AF8 masih lagi samar-samar. Impak AF8 yang tidak begitu menyerlah berbanding musim AF terdahulu menyebabkan sukar untuk meramalkan siapa pelajar bertuah yang bakal membawa pulang hadiah lumayan.
Mungkinkah pelajar yang kembali menyertai AF8 hasil undian AFMasuk, Shahir akan menjadi juara? Atau gelaran juara kembali berpihak kepada pelajar wanita bernama Adira? Siapa tahu mungkin kali ini rezeki Daus, atau Iwan mahupun Maulana.
Apa saja telahan mahupun teka teki, keputusan rasminya hanya akan diketahui esok pada pertandingan akhir yang bakal berlangsung di Stadium Putra Bukit Jalil. Walaupun media melaporkan AF8 kian hilang sengatnya, sebaliknya pula kata pengetuanya, Norman.
Norman tetap dengan pendiriannya yang AF masih lagi relevan. Dia menerima banyak maklum balas yang positif terhadap AF8. Malah pelajarnya masih lagi diserbu peminat, permintaan tiket untuk menyaksikan peringkat akhir AF juga banyak, tidak ketinggalan yang meminta dia menyampaikan salam kepada pelajarnya. Semua itu jelas Norman, sudah cukup untuk membuktikan betapa AF8 masih lagi menjadi ikutan.
Bagi pelajarnya pula, bukan kedudukan yang mereka kejar. Mereka juga memberitahu, tidak terhegeh-hegeh mahu bergelar artis kerana tumpuan mereka ketika ini hanyalah untuk memberikan persembahan terbaik pada konsert akhiri.
Pelajar berasal dari Seremban, Iwan memberitahu, dia bimbang dengan jumlah penonton pada peringkat akhir nanti yang lebih ramai daripada konsert mingguan. Iwan yang menyertai AF kerana mahu mengubah nasib keluarganya mengagumi kelincahan Daus ketika di pentas dan meminati kehebatan vokal Adira.
“Saya diminta supaya membawa kelainan pada pertandingan akhir nanti terutama bahagian persembahan. Saya perlu mencari kelainan kerana sering kali diberi peluang menyanyikan lagu berentak pantas. Bercakap mengenai perasaan pula, perasaan gementar kini menyerang saya. Saya bimbang melihat penonton yang lebih ramai daripada konsert mingguan,” katanya.
Adira pula menjadikan pelajar musim lalu, Isma sebagai role model. Katanya, jika ibu kepada lima cahaya mata itu boleh mempertahankan kedudukannya hingga ke akhir dia juga boleh melakukannya apatah lagi dia masih solo. Bahkan Adira meletakkan harapan sejarah Mila dan Stacy yang menjadi juara wanita bakal berulang.
“Kalau boleh saya ingin menjadi seperti Stacy dan Mila tetapi berdepan dengan peserta lelaki, saya hanya meletakkan nasib saya kepada takdir,” katanya.
Shahir yang disebut-sebut bakal menjadi pengganti Mawi pula menyerahkan keputusan di tangan peminat. Namun kata bekas anggota nasyid Saujana ini, terlalu besar perbezaan antara dia dan Mawi. Bagaimanapun, Shahir terkejut kerana tidak menyangka dia juga mempunyai peminat.
“Sewaktu di dalam AF, saya fikirkan hanya ahli keluarga dan sahabat handai saja yang sudi mengundi saya. Tetapi apabila tersingkir daripada AF, saya mula menyedari ada juga orang luar yang sanggup menghabiskan wang semata-mata mengundi saya. Perkara itu menyebabkan saya benar-benar terharu,” katanya.
Sementara Daus pula yang dilihat sebagai pelajar yang paling banyak menunjukkan peningkatan sepanjang AF8 kata pengetuanya akan memantapkan vokalnya pada peringkat akhir ini. Dia berkata, barangkali kreativitinya menjadi tarikan untuk peminat mengundinya.
Maulana pula tidak kisah seandainya gagal bergelar pemenang, asalkan persembahan akhirnya itu nanti meninggalkan kesan di jiwa peminat dan membuatkan mereka terus mengingatinya
Oleh Serimah Mohd Sallehuddin
0 ulasan:
Catat Ulasan