Memang sudah Pak Nil jangkakan yang Ain akan tersingkir kerana seperti Pak Nil, pengundi juga dapat melihat kesungguhan peserta lain memajukan diri dalam akademi dan juga semasa membuat persembahan.

Semasa sesi rakaman playback untuk Debaran AF, berat sebenarnya untuk Pak Nil nyatakan bila ditanya oleh pihak produksi siapa yang Paknil rasakan akan menjadi pelajar terakhir akan tersingkir. Namun dari pemerhatian Pak Nil, pengundi seperti mengambil saranan pengkritik ketika memberi komen dan ini bermakna pengundi tidak mengundi buta kali ini.

Pernah Pak Nil nyatakan Maulana berhak berada di kedudukan yang lebih baik daripada di bawah, dan nyata Maulana selamat selepas itu. Begitu juga bila Pak Nil rasakan Farina harus diberi peluang kerana persembahan yang hebat di minggu ke tujuh dan ternyata Shahir yang tersingkir. Permerhatian Pak Nil yang Daus merupakan pelajar yang berani menolak dirinya melakukan pesembahan luar biasa turut dikongsi pengundi.

Sekali lagi dalam komen Pak Nil di konsert 9 yang persembahan Ain meletakkannya dalam kedudukan bahaya terbukti menjadi kenyataan apabila Ain tersingkir. Begitu juga apabila Pak Nil katakan mungkin Iwan akan membuat laluan ke final dengan persembahannya dan ternyata Iwan selamat.

Mungkin juga apa yang Pak Nil katakan adalah kebetulan.

Namun, Pak Nil mula lihat perubahan yang berlaku dalam kecenderungan pengundi AF kali ini. Dari musim awal dulu, pengundi akan terus menyokong buta pelajar walaupun teruk dikritik oleh pengkritik namun sedikit demi sedikit Pak Nil dapat lihat mentaliti mereka mula berubah.

Menyorot persembahan di konsert ke 9, persembahan Ain adalah pada tahap yang biasa-biasa sahaja. Bahayanya mengulang genre lagu dan cara persembahan menyebabkan pelajar akan memaparkan kelemahan sendiri iaitu tiada usaha untuk melakukan pembaharuan. Persembahan Ain menggunakan gitar mungkin besar pada mula kita saksikan dahulu tetapi kerana ia berulang, maka ia dilihat sebagai tiada kejutan.

Berbanding dengan Shahir yang puas diuji dengan pelbagai genre lagu melihatkan kepelbagaian kebolehannya dan sekali gus memberi kejutan dalam persembahannya. Shahir benar-benar memecahkan 'ruyung'nya dan menunjukkan kuku yang lama tersimpan apabila menyanyikan lagu Arab. Ramai yang terbeliak mata kerana Shahir berani menganjakkan dirinya ke satu tahap yang kita sendiri kurang yakin yang dia boleh lakukan.

Kini, sekali lagi Pak Nil percaya menguji seorang pelajar dengan pelbagai rentak lagu merupakan inti pati Akademi Fantasia kerana kita dapat saksikan pelajar memberi persembahan yang berbeza setiap kali menyempurnakan tugasan. Ini adalah Akademi Fantasia. Dari dulu sememangnya formula ini yang dipegang dan apabila formula ini mula diubahsuai, pelajarlah yang menjadi mangsa.

Penonton bagai muak melihat persembahan yang diulang pakai walaupun menyanyikan lagu yang berbeza. Pak Nil yakin jika Maulana diberikan tugasan menyanyikan lagu yang pelbagai genre, Maulana akan lebih disayangi dan tidak akan berada di kedudukan bahaya kerana suara Maulana bagus!

Berbanding dengan Daus yang kualiti suaranya 'biasa-biasa' sahaja tetapi lebih digemari penonton kerana dia dilihat menyahut cabaran dengan penat lelah dan kalis kritikan pengkritik. Daus turut diuji dengan pelbagai genre sehinggalah dua minggu terakhir ini dimana di diberikan lagu Rock berat.

Begitu juga dengan Adira yang terselamat kerana menyanyikan lagu rancak dalam konsert 9 yang lalu sekali gus membebaskan dirinya daripada stigma lagu-lagu balada mendayu-dayu yang cuba dilekatkan kepadanya ditengah-tengah musim. Kebolehannya menyanyikan lagu asli dan rock, menjadikan Adira lebih teruji dan menepati kualiti pelajar AF yang sebenar.

Cara menyanyikan lagu dari genre yang berbeza juga pasti dapat menarik jumlah pengundi baru bagi diri seseorang pelajar.

Pengundi haluan lagu asli dan sebelum ini tidak merasai kehadiran Adira mungkin terpanggil untuk turut memberi sokongan kepada Adira kerana sedar yang penyanyi ini boleh turut mewakili mereka. Sebaliknya berlaku pada Maulana kerana hanya terikat dengan jumlah dan jenis pengundi yang sama setiap minggu.Pengundi baru dari haluan lain seolah tidak terpanggil untuk mengundi Maulana yang akhirnya meletakkan Maulana di tangga hampir tercorot kerana jumlah peminat lagu jazz memang sudah terbukti tidak ramai.

Iwan juga mungkin berada di kedudukan yang kurang favourite kerana sering kali terselamat kerana menyanyikan lagu santai sehebat nyanyian kumpulan indie. Namun begitu, genre pilihan Iwan lebih dekat di hati khalayak kerana ramai pengikutnya dan lebih mesra telinga. Lagu-lagu nyanyiannya juga lebih merupakan lagu-lagu hits yang digemari.

Dari pandangan Pak Nil, Iwan lebih bernasib baik kerana pakej yang ada padanya menyebabkan Iwan lebih sedap mata memandang. Iwan senang diterima oleh peminat-peminat muda untuk mengundinya kerana mereka adalah pengundi tegar AF. Namun begitu, Iwan mungkin tidak menarik golongan yang mempunyai kuasa 'wang' untuk diterjemahkan kepada bentuk undian iaitu golongan dewasa yang masih terikat dan terdedah dengan pelbagai jenis irama dan lagu.

Golongan ini adalah golongan yang terdiri daripada pekerja, surirumah dan profesional.

Secara rambang kini bolehlah Pak Nil rumuskan apa yang Pak Nil saksi dan analisa ini diterjemahkan pula kepada kedudukan keputusan undian konsert kesembilan dimana kita dapat saksikan ia beraturan dengah Shahir, Adira, Daus, Iwan dan Maulana.

Dari pengalaman Pak Nil setelah bersama AF dari musim 1-5, Pak Nil rasa ini merupakan strategi yang merugikan pelajar tetapi sangat berani. Bukan sahaja pelajar tidak berpeluang mencuba kebolehan mereka tetapi pengundi juga turut tidak teruja untuk berteka-teki dengan kejutan dalam persembahan. Bukankah KEJUTAN merupakan intipati AF?

Apa pilihan genre pelajar itu setelah mereka keluar AF adalah tidak relevan ketika berada di AF kerana format AF adalah seperti yang asal diperkenalkan. Kasihan pelajar yang telah dan akan menjadi mangsa.

Mungkin juga Paknil tersilap dalam analisa ini, Wallahualam.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top