Sembilan minggu program realiti TV Akademi Fantasia 8 (AF8) bersiaran, nampaknya penyingkiran tetap dilakukan.

Biarpun ada yang beranggapan penganjur mungkin mencipta kejutan menyerap enam peserta iaitu Siti Adira Suhaimi (Adira), Nadiawaty Ainul Basir (Ain), Ahmad Shahir Zawawi (Shahir), Muhd Shahril Firdaus El (Daus), Emirza Azwan Zulazrin Chew (Iwan) dan Muhd Firdaus Maulana Mohamed (Maulana) ke final, sebaliknya Ain terpaksa menarik bagasi keluar.

Sebelum ini, peserta yang tersingkir adalah Zafarina Jamhari (Farina), Nadia Emilia Roselan (Nadia), Muhammad Alid Kadim (Alif), Dayang Nor Anum Arjuna Aharun (Anum), Erma Suhaimi (Ema) dan Muhammed Shahril Mohd Salleh Hussein (Shah).

Pada program Debaran AF8 di Dewan Sri Putra, Bukit Jalil, Kuala Lumpur malam kelmarin, menyaksikan Ain tersingkir kerana mendapat undian SMS penonton terendah sebanyak 12.94 peratus. Ketika keputusan mendebarkan itu diumumkan pengacara Sarimah Ibrahim, Ain berkongsi kedudukan tercorot bersama Maulana yang mendapat undian sebanyak 13.28 peratus.

Shahir menduduki tangga teratas dengan undian sebanyak 31.58 peratus diikuti Adira (14.62), Daus (14.28) dan Iwan (13.3). Pada sidang media yang diadakan sejurus program itu berakhir, Ain menyatakan dia menghargai pengalaman yang ditimba sepanjang menyertai AF8. Baginya, pembelajaran yang dilalui selama sembilan minggu memberikan kenangan yang tidak dilupakan. Malah, dia masih bersemangat untuk meneruskan hasrat menjadi penyanyi.

"Apa yang saya belajar cukup bermakna kerana sebelum ini saya tidak ada sebarang asas dalam nyanyian. Saya akui menerusi AF8, banyak yang saya belajar walaupun hanya dalam jangka masa singkat.

"Di sebalik kekecewaan tersingkir, saya sebenarnya sudah bersedia untuk menempuh cabaran mendatang. Saya tetap puas sepanjang berada dalam AF8 tapi saya rasa bersalah kerana menghampakan harapan pengundi saya," katanya.

Pada persembahan malam konsert yang diadakan pada Sabtu lalu, Ain menyampaikan dua lagu iaitu Luka Dilukai nyanyian asal Shima dan Falling For You (Colbie Callait). Dia mendapat teguran 'pedas' daripada pengkritik tetap, Adlin Aman Ramlie yang mempersoalkan gaya Ain yang sering tampil bersama gitar tidak membawa makna pada persembahan kali ini.

Lantas, ketika rakaman dilakukan selepas itu, Ain berani membidas teguran Adlin sambil menyatakan dia tidak mempedulikan apa yang dikatakan.

Ain berkata, dia tidak beremosi pada teguran itu sebaliknya tegas dengan pendirian untuk menggunakan gitar dalam persembahannya.

"Saya fikir tidak salah untuk menggunakan gitar dalam persembahan itu. Memang saya tak bersetuju dengan teguran Adlin dan saya selesa untuk terus tampil bersama gitar dalam persembahan," katanya.

Pengetua AF8, Norman Abdul Halim berkata dia sendiri menghormati pendirian Ain yang selesa dengan gaya persembahan sebegitu. Katanya, Ain dikategori antara peserta berbakat dan tidak sepatutnya tersingkir.

"Saya juga terkilan apabila Ain tersingkir. Mengikut prestasi Ain sebenarnya menyerlah tapi dari aspek populariti dia terpaksa akur dengan undian penonton.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top