Bayi perempuan seberat 3.47 kilogram itu dilahirkan secara normal di Hospital Gleneagles, Ampang.
Nabila atau nama sebenarnya, Nabila Huda Suhaimi, 25, yang juga anak rocker terkenal, Amy Search berkata, Keisha dilahirkan dua minggu lebih awal daripada dijadualkan.
"Sebenarnya, saya memang tidak merancang nama anak kerana fikir lambat lagi bersalin. Saya juga tak jumpa nama yang sesuai dalam buku pilihan nama ketika itu.
"Tapi, nama Keisha muncul apabila saya dimasukkan ke bilik bersalin. Keisha bermaksud hidup yang lebih baik dan nama Laila pula adalah nama yang indah dan ia diberikan ayah saya, Amy Search," katanya.
Bercerita mengenai proses kelahiran, Nabila berkata, dia bersyukur kerana tidak menanggung kesakitan yang lama di bilik bersalin.
"Lebih bermakna, selain suami, Zaidy Zailani, seluruh anggota keluarga saya juga berkumpul di luar bilik bersalin untuk sama-sama memberikan semangat kepada saya.
"Saya juga mengambil epidural lebih awal untuk mengurangkan kesakitan dan setengah jam kemudian Keisha selamat dilahirkan. Keisha dilahirkan cukup bulan dan sihat tanpa sebarang masalah," katanya.
Selepas keluar dari hospital nanti, Nabila berkata, dia akan menjalani tempoh berpantang di rumahnya sendiri.
"Ibu saya, Nourish akan membantu saya sepanjang tempoh berpantang 44 hari dan proses berurut nanti.
"Saya juga merancang untuk menyusukan Keisha dengan susu badan selagi dia mahu menyusu badan. Saya juga ingin membesarkan Keisha sendiri kerana ingin rasa sendiri macam mana susahnya untuk membesarkan anak," katanya.
Kata Nabila lagi, dia akan berehat seketika bagi memberi tumpuan kepada anak kesayangannya itu.
"Saya akan pastikan keadaan Keisha stabil sebelum dia boleh ditinggalkan di rumah. Mungkin saya akan berehat tiga atau enam bulan sebelum kembali aktif berlakon. Banyak produksi drama di luar sana juga tahu saya baru bersalin dan dalam tempoh berpantang sekarang.
"Selepas pulih sepenuhnya kelak, saya akan terbabit dengan projek drama bersiri dan filem baru pula," katanya.
Seperti ibu lain di luar sana, Nabila juga mengharapkan yang terbaik kepada anak kesayangannya itu.
"Buat masa ini, saya sibuk untuk menguruskan anak yang baru lahir ini. Pada masa sama, saya tidak terfikir lagi sama ada anak saya ini ingin mengikut jejak saya dalam bidang seni atau sebaliknya selepas ini.
"Apa yang saya doakan, Keisha akan menjadi anak yang baik dan berjaya dalam hidupnya apabila dewasa nanti," katanya.
Nabila berkahwin dengan jejaka pilihannya, Zaidy Zailani, 28, pada 2 Disember tahun lalu.
0 ulasan:
Catat Ulasan