Seperti yang dijangka ramai, rancangan realiti popular Malaysia, Akademi Fantasia musim ke- lapan (AF8) meneruskan tradisi 'kejutan' mereka dengan mengadakan AFMasuk.

Menyelusuri perjalanan AF sebelum ini, Aril, Linda, Mawi, Marsha dan Lotter adalah antara yang telah diundi masuk semula memberi mereka peluang kedua untuk terus beraksi.

Kali ini, AF8 yang diterajui oleh Norman Abdul Halim sebagai pengetuanya menyaksikan pelajar Shahir atau Ahmad Shahir Zawawi dimasukkan kembali ketika Malam Debaran AF8 minggu kelapan.

Shahor yang tersingkir pada minggu ketujuh, diberi peluang kedua oleh jari jemari rakyat Malaysia yang mengundinya sehingga 68.6 peratus bagi melayakkan dia berjuang kembali di dalam AF8.

Undian masuk ini diumumkan oleh pengacara Sarimah Ibrahim menerusi malam debaran AF yang disiarkan secara langsung di Dewan Sri Putra, Bukit Jalil Ahad lalu.

Sehari sebelum itu, ketika di penghujung konsert AF8 minggu kelapan pelajar bernama Farina atau nama sebenarnya Zafarina Jamhari, 28, terpaksa akur dengan keputusan undian SMS yang meletakkannya sebagai pelajar tercorot.

Kemudian, kejutan bermula apabila pengacara mengumumkan adanya undian masuk yang memberi peluang kedua kepada peserta-peserta yang terkeluar sebelum ini diundi oleh penonton untuk diserapkan kembali.

Mereka adalah Muhammed Shahril Mohd. Saleh Hussein (Shah), 26, Erma Suhaimi (Ema), 21, Alif Muhammad Alif Kadim (Alif), 19; Dayang Nur Anum Arjuna Aharun (Anum), 19, Nadia Emilia Roselan (Nad), 22, Shahir dan Farina.

Undian masuk mula dibuka selepas pukul 11 malam setelah berakhirnya konsert minggu ke lapan dan ditutup pada 9.20 malam Ahad.

Melihat kepada peratusan undi, ternyata Shahir adalah pelajar kegemaran ramai apabila pesaing terdekatnya, Anum hanya mendapat 18.57 peratus sahaja.

Norman ketika ditemui selepas pengumuman keputusan undian masuk kelihatan berpuas hati dengan pilihan penonton kerana memasukkan salah seorang pelajar kegemarannya kembali.

"Saya sayang semua pelajar saya sama rata cuma saya nampak Shahir mempunyai potensi yang besar dan kekuatan sendiri untuk terus berada di dalam pertandingan ini.

"Shahir mempunyai pakej jenama AF. Dia bersuara 'jantan', paras rupa yang menarik dan budi bahasanya yang tinggi, sesuatu yang pengikut AF gemari.

"Saya akui sebelum ini saya pernah mengeluarkan kenyataan yang saya tidak berapa gemar dengan idea undi masuk ini, namun saya telan kata-kata saya demi kualiti AF8 dan ia juga adalah keputusan produksi.

"Jika bertanya siapa pelajar yang saya bayangkan yang mungkin diserap kembali, saya jangkakan Shahir, Anum dan Alif berdasarkan respons peminat dan mutu persembahan mereka dan ternyata jangkaan saya betul," ujar Norman.

Mengulas bagaimana kebanyakan pelajar yang berkualiti bagi Norman tetapi terkeluar awal, Norman berkata;

"Ia adalah salah penonton di luar kerana mereka sering menghantar undian SMS bagi menyelamatkan peserta di zon bahaya sehingga lupa untuk mengundi peserta yang benar-benar layak untuk terus berada di akademi itu."

Norman mengingatkan masih terdapat satu lagi minggu untuk penyingkiran sebelum AF8 menemui lima orang peserta finalnya dan dia berharap penonton dapat mengundi sebaik mungkin.

Shahir yang tidak lekang dengan senyuman sebaik diumumkan dimasukkan kembali ke AF8 berkata, dia amat bersyukur diberi peluang kedua dan berjanji sedaya upaya memberikan yang terbaik, khas buat mereka yang mengundinya.

"Secara jujurnya, saya tidak yakin untuk diserap semula kerana masing-masing ada kekuatan dan penyokong tersendiri.

"Namun berdasarkan undian besar daripada penonton, saya akan cuba memberikan yang terbaik untuk tidak menghampakan harapan mereka.

"Mungkin ada sesuatu yang mereka nampak yang saya masih belum tonjolkan membuatkan mereka memberi peluang kepada saya untuk terus berada di sini," kata Shahir yang memiliki Diploma Kejuruteraan ini.

Selain Shahir, perjuangan pelajar AF8 kini diteruskan lima lagi pelajar lain iaitu Muhd.Shahril Firdaus Eli (Daus), 22; Emirza Azwan Zulazrin Chew (Iwan), 20; Nadiawaty Ainul Basir (Ain), 24; Muhd. Firdaus Maulana Mohamed (Maulana), 22, dan Siti Adira Suhaimi (Adira), 19.

AF8 yang dihoskan oleh Sarimah Ibrahim dan Jimmy Shanley menampilkan dua pengkritik tetap iaitu Aznil Nawawi dan Adlin Aman Ramlie dengan pengkritik undangan minggu kelapan, Erra Fazira.

Oleh RAJA INTAN DIANNA RAJA AZAHAM

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top