Memikul tanggungjawab sebagai ibu dan bapa sendirian bukanlah mudah. Ditambah kos sara hidup yang tinggi menyebabkan pelakon jelita, Rita Rudaini sebak ketika mendengar pengakuan bekas suami pada perbicaraan kes tuntutan nafkah dua anaknya, baru-baru ini.

Pada sesi perbicaraan lalu, pemain bola sepak pasukan Johor Darul Takzim (JDT), Mohamad Aidil Zafuan, 27, memberitahu Mahkamah Rendah Syariah Subang Bestari, beliau hanya mampu membayar RM2,000 sebulan kepada bekas isterinya sebagai nafkah dua anak lelaki mereka.

Hasil perkongsian hidup bersama, Rita dan Aidil dikurniakan dua putera iaitu Airit Rayyan Rizqin,5, dan Airit Qaqa Arjuna, 3.

Bukan mahu berkira, namun pengakuan Aidil merentap naluri keibuan Rita. Biarpun mampu menyediakan kehidupan selesa buat anaknya, Rita tidak mahu Aidil lupa tanggungjawabnya sebagai bapa.

Rasa sebak

"Saya sangat sebak sewaktu mendengar pengakuan Aidil. Bayangkan kos sara hidup sekarang bukannya murah, yuran sekolah saja sudah mahal. Belum lagi termasuk makan pakai dan sakit pening.

"Saya tidak tahu hendak kata apa. Dia tidak sepatutnya berkira dengan anak. Janganlah disebabkan terlalu ingin menjaga hati banyak pihak, dia sanggup mengorbankan kebajikan anak, sedangkan dia sepatutnya mengutamakan anak terlebih dulu," kata Rita ketika dihubungi HIP.

Bagaimanapun, ujar Rita, keputusan berhubung nafkah itu belum muktamad kerana masih ada dua lagi sesi perbicaraan yang akan bersambung Jun depan.

Rita yang berkahwin dengan Aidil pada 28 Februari 2008 sebelum sah bercerai September tahun lalu, memohon bekas suaminya itu supaya tidak melupakan tanggungjawabnya, biarpun Aidil sudah mendirikan rumah tangga sekali lagi.

Boleh jumpa anak

Sebagai bapa, Rita memohon Aidil agar tidak berkira dengan anak kerana mereka adalah amanat Tuhan yang tidak harus dipersiakan.

"Biarpun kami tidak lagi ada ikatan, tetapi saya tidak pernah menghalang dia berjumpa anak. Saya tahu mereka bukan milik saya seorang, kerana Aidil juga ada hak ke atas Rayyan dan Arjuna.

"Jadi, saya tidak akan sesekali memutuskan kasih sayang seorang bapa dengan anaknya. Walaupun sudah berkahwin, selalulah jenguk anak. Kalau boleh, saya mahu anak rapat dengannya supaya mereka kenal siapa bapa mereka," kata Rita yang mendapat hak penjagaan penuh dua putera hatinya itu.


Hak penjagaan dua anaknya, kata Rita, diserahkan atas persetujuan Aidil sendiri. Bekas suaminya itu boleh bermalam dengan anakanak tetapi dengan syarat apabila mereka berusia lapan tahun dan atas persetujuan anaknya.

Nyawa jadi galang ganti

Sebagai ibu tunggal, Rita akui hidupnya hanyalah untuk kedua-dua buah hatinya itu. Justeru, apabila ada yang melukakan hati mereka, Rita turut merasai kesakitannya.

"Mereka adalah harta dan nyawa saya, saya sanggup berkorban apa saja demi mereka termasuk menjadikan nyawa saya sebagai galang ganti. Saya tidak tergamak melihat insan lain melukakan hati mereka. Jadi, saya pinta Aidil jangan melukakan hati anak-anak. Sekiranya sudah berjanji untuk bertemu mereka, tolong tepati janji. Satu lagi, saya memohon supaya dia tidak berkira dengan anak.

"Bukan apa, saya datang daripada keluarga yang bergolak. Oleh kerana ibu yang membesarkan kami adikberadik, hubungan saya dengan bapa tidak akrab. Saya tidak mahu Aidil juga mengalami nasib serupa. Jadi, keraplah luangkan waktu dengan anak walaupun dia sudah berkahwin semula," kata Rita yang kini memperlahankan kerjaya seninya demi memberi tumpuan kepada anak. ~ BH

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top