Fazura mangsa dendam?

Terdengar desas-desus kononnya pelakon Nur Fazura Sharifuddin melancarkan perang dingin terhadap media.

Malah, melihat laman sosial milik pelakon ini dan mengambil kira beberapa status dikemas kini, peminat atau pengikut Fazura boleh meneka, ada perkara yang membuatkan beliau tidak puas hati terhadap wartawan.

Semua ini pastinya timbul garagara gosip yang mendakwa dirinya bercumbu dengan seorang jejaka mat salih di lapangan terbang tersebar.

HIP sebelum ini pernah menyiarkan artikel Fazura bersahabat baik dengan seorang deejay muzik dari Los Angeles, Randy Seidman.

Hujung tahun lalu, jejaka berkenaan turut menemani Fazura ketika aktres ini bercuti di sana. Baru-baru ini pula, Seidman berada di ibu kota kerana memenuhi undangan mengadakan persembahan.

Sejauh manakah benarnya cerita itu? Jika ia benar, adakah Fazura pelakon yang tidak boleh disentuh dan suka melenting apabila digosip?

Kesempatan bertemu si empunya diri pada majlis memperkenalkan haruman terbaharu mandian Lux di sebuah hotel terkemuka di Bandar Sunway, Petaling Jaya, baru-baru ini memberi peluang untuk HIP mendasari hatinya.

Didakwa bersikap acuh tak acuh

Sambil menafikan mempunyai niat untuk memusuhi wartawan, Fazura menyifatkan apa yang berlaku adalah bermotifkan dendam.

"Semuanya bermula kerana dendam. Sebelum ini saya pernah menegur seorang wartawan kerana tersilap ejaan nama bapa saya. Bagaimanapun, selepas itu, perkara ini menjadi lebih besar.

"Bagi saya, jika beliau mengambil teguran saya secara positif dan memohon maaf, tentu ramai pihak akan lebih menghormatinya.

"Tetapi saya dapat tahu, kejadian menegur kesalahan itu membuatkan segelintir wartawan tidak berpuas hati dengan saya dan merancang untuk mengenakan saya.

"Mengenai dakwaan saya bersikap sinikal ketika ditemu bual, saya sekadar bertanya, bercium bagaimana yang wartawan itu maksudkan? Begitupun, jawapan yang diberikan kepada saya sangat tidak meyakinkan dan pelbagai alasan diberi apabila saya bertanyakan mengenai gambar berkenaan," tegasnya.

Ditanya mengenai cerita konon dirinya cepat melenting apabila terkena gosip dan seorang yang tidak boleh disentuh, pelakon berusia 30 tahun ini turut menafikan perkara terbabit.

"Apabila gosip bercium itu tersebar, saya sedang bercuti di Eropah bersama keluarga. Saya pun tidak tahu-menahu sehinggalah ada teman memaklumkan kepada saya mengenai gosip itu.

Malas nak layan

"Pada awalnya, saya malas nak layan kerana bagi saya, gosip itu lumrah bagi artis. Bagaimanapun, yang membuatkan saya terpanggil untuk bersuara apabila saya dapat tahu, ada sesetengah wartawan, terutama wartawan baharu, begitu galak menyindir dan bercakap seolah-olah memang saya melakukan perbuatan itu.

"Secara logik, sebagai orang yang dikenali, takkanlah saya nak buat perkara tidak senonoh sedemikian di depan khalayak ramai?" tegasnya sambil memberitahu, beliau enggan lagi menjawab pertanyaan berhubung perkara berkenaan.

Teruja 'bercinta' dengan Nicholas Saputra

Bakal muncul dengan dua buah tangan terbaharu, masing-masing berjudul Manisnya Cinta Di Cappadocia dan Tembus, Fazura turut memberitahu dirinya akan kembali ke lokasi penggambaran sebuah lagi filem baharu tidak lama lagi.

"Apabila saya mendapat tahu bakal bekerjasama dengan pelakon Ada Apa Dengan Cinta, iaitu Nicholas Saputra, saya terus bersetuju.

"Filem ini bergenre romantik dan bakal diarahkan oleh Bade Azmi. Memang saya tidak sabar dan teruja apabila dapat melakonkan babak romantik bersama Nicholas," cerita Fazura.

Pada majlis itu, Fazura yang juga duta Lux turut berkongsi rahsia dan keterujaannya menggunakan produk mandian berkenaan bersama peminat.

~ BH

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top