Mengacara program Kamilah Bintang yang berkisar dunia kanak-kanak dan remaja bukanlah sesuatu yang asing buat Mohd Hairey Azhar Abd Rahman atau Zoey.

Pun begitu, tatkala mengendalikan program Kamilah Bintang yang genap bersiaran empat episod hari ini, cabarannya terasa lain buat Zoey, 25.

Zoey akui, berbanding rancangan yang pernah dikendalikannya sebelum ini antaranya Gerak Geri Gasing, pembabitannya dalam Kamilah Bintang lebih menyeluruh.

"Fungsi saya dalam program bukan sekadar pengacara, tetapi juga bertindak sebagai abang kepada peserta Kamilah Bintang. Biasalah budak-budak cepat gemuruh dan tertekan apabila berhadapan dengan situasi yang mencemaskan, lebih-lebih lagi ketika hendak membuat persembahan.

"Justeru, saya dan pasangan pengacara, Nora Danish akan cuba menenangkan mereka dan menjadi rutin kami mendekati setiap peserta supaya mereka berasa selesa. Untuk membantu mereka dari segi nyanyian, saya tidak layak kerana diri sendiri pun tidak boleh menyanyi.

"Jadi apa yang mampu saya buat adalah memberi mereka kata-kata perangsang agar yakin membuat persembahan," katanya.

Selain itu, kata Zoey, keenam-enam peserta yang terbabit bukan saja ada gaya masing-masing, tetapi juga boleh menyanyi dengan baik, malah bakat mereka setanding orang dewasa.

Program Kamilah Bintang disiarkan setiap Jumaat, jam 5.30 petang di saluran Astro Ceria (Saluran 611),

Enam peserta yang terbabit adalah Dayang atau nama sebenarnya Dayang Nazillah Awang Astillah, 14, berasal dari Hulu Klang; Wani (Syazwani Sapari, 10, Petaling Jaya), Aiman (Mohammad Aiman Azli Aziz, 14, Semenyih), Faisal (Raja Mohd Faisal Khairullah Raja Abdul Halim Shah, 13, Gelang Patah, Johor), Farhan (Muhammad Fathullah Farhan Muhammad Rosdi, 12, Pekan, Pahang) dan Qistina (Qistina Amira Rohaizad, 13, Seremban).

Zoey juga mengibaratkan Kamilah Bintang sebagai Akademi Fantasia versi cilik kerana program itu perlukan mainan emosi.

"Ada sedikit elemen drama untuk menambahkan lagi debaran. Bezanya Kamilah Bintang dengan program realiti yang lain di mana rancangan ini tiada penyingkiran.

"Mana-mana peserta yang mendapat markah tertinggi mereka akan memenangi hadiah istimewa, seterusnya melayakkan sekolah mereka menerima hadiah barangan bernilai RM10,000. Pada malamfinal nanti, barulah mereka berpeluang memenangi hadiah individu," katanya.

Membuatkan Zoey tambah berbangga dipilih menjadi sebahagian daripada peneraju program ini, ia membabitkan ikon dan artis popular seperti Amy Search, kumpulan Hujan, Stacy, Aizat dan Farah Asyikin yang bertindak selaku 'starguide'.

Peserta akan mendapat bimbingan semua 'starguide' ini secara bergilir-gilir di mana pelbagai ilmu dan pengalaman akan dikongsi bersama sebelum peserta membuat persembahan mingguan.

Persembahan peserta akan diadili tiga juri tetap yang akan menilai peserta berdasarkan kualiti vokal, keaslian dan kreativiti, mutu persembahan dan pemilihan lagu yang sesuai. Mereka adalah pengacara terkenal Aznil Nawawi, Cikgu Syafi dan Adibah Noor.

Oleh Norhadiani Baharom

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top