Sudah lebih empat minggu mereka berkurung dalam studio, diberi pelbagai ilmu khususnya dalam bidang muzik bertujuan melatih sahsiah dan keyakinan diri.

Enam peserta cilik dari program Kamilah Bintang yang disiarkan menerusi Astro Ceria turut berhadapan dengan cabaran dan tekanan apabila setiap mereka harus membuat persembahan pada setiap minggu.

Berpeluang berhadapan dengan dunia luar dalam showcase Kamilah Bintang yang diadakan di sebuah pusat membeli belah di Setiawangsa baru-baru ini cukup menceriakan air muka mereka.

Namun dalam ceria, ratanya mereka agak gementar apabila terpaksa berhadapan dengan lebih 3,000 kanak-kanak yang membanjiri kompleks membeli belah itu untuk bersua muka dengan peserta program itu.

Pengurus Saluran Astro Ceria, Evon Koh berkata, program nyanyian yang mencabar bakat kanak-kanak itu semakin mendapat perhatian masyarakat.

Menurutnya, pendedahan awal bersama dunia luar dalam showcase itu sebagai menambah keyakinan sebelum berakhirnya konsert itu.

"Dalam masa dua minggu lagi program ini akan menutup tirainya dan showcase ini di diadakan bagi memberi keyakinan kepada mereka berhadapan dengan masyarakat termasuk mana yang sudah ada peminat.



"Mereka bukan dilatih menjadi artis tetapi untuk berani berhadapan dengan cabaran selain keyakinan dan membina sahsiah diri," katanya.

Memandangkan showcase itu bertujuan menarik kanak-kanak mendekati peserta program ini, sudah tentu mereka ditemani ibu bapa atau penjaga masing-masing. Oleh itu, Astro turut mengundang penyanyi popular mengadakan persembahan diselang selikan dengan peserta Kamilah Bintang.

Persembahan dimulakan dengan nyanyian peserta iaitu Qistina dengan lagunya What About Now yang pernah dinyanyikan oleh Chris Daughtry dan Aiman (Bila Cinta). Peserta lain ialah Farhan dengan lagu Tiga Malam Tanpa Bintang; Wani (Tolong Ingatkan Aku), Faisal (Bukti) dan Dayang (Azharina Azhar).

Manakala penyanyi yang diundang sepanjang showcase ini iaitu Amy Search menyanyikan lagu Kerja Gila, Stacy dengan lagu Jahat, Aizat pula menerusi lagu Sungai Lui; Farah Asyikin (Hello) dan Ana Rafali (Tolong Ingatkan Aku).

Hanya tinggal dua minggu saja lagi program ini akan berakhir sebelum salah seorang daripada enam peserta akan dinobatkan sebagai juara Kamilah Bintang bagi musim pertama.

Mereka bukan saja dijanjikan dengan hadiah lumayan bakal diterima untuk tempat pertama hingga ke tiga bagi peringkat akhir nanti, tetapi mereka menjadi juara mingguan diberi hadiah yang akan disumbangkan kepada sekolah peserta.

Hadiah bagi minggu pertama dimenangi Faisal iaitu set peralatan muzik terdiri daripada keyboard jenama Yamaha), gitar, set dram, bass dan sistem audio termasuk mikrofon.

Minggu kedua dimenangi oleh Farhan dengan menyumbangkan hadiah kepada sekolahnya tiga penyaman udara dan kelengkapan koleksi buku premium dalam Bahasa Melayu, Inggeris, Cina dan Tamil.

Pada minggu ketiga dimenangi Dayang yang menyumbangkan hadiah kelengkapan sukan sekolah berjenama antarabangsa, manakala minggu keempat dimenangi Faisal sekali lagi dengan hadiahnya ialah pembiayaan ubahsuai hiasan dalaman kantin sekolah.

Hadiah utama peringkat akhir akan menerima pakej percutian bersama keluarga ke Taman Tema Gold Coast, Australia dan komputer riba. Tempat kedua menerima pakej percutian ke Taman Tema Hong Kong, manakala hadiah ketiga pula pakej percutian ke Pulau Sentosa Singapura sekeluarga. Keenam-enam peserta ini turut membawa pulang dua tiket VIP ke Dewan Filharmonik Petronas dan Ipod Suffle.

Oleh Rozdan Mazalan

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top