Pentas Pilih Kasih minggu kedua menyaksikan Rosyam Nor menyuarakan keputusannya untuk menyingkirkan Fizi Ali, 21, atau nama sebenarnya, Muhd Hafizudin Alimudin dari Pilih Kasih (PK).


"Anda bukan pelakon yang saya cari," kata Rosyam Nor pada Pentas Pilih Kasih, Sabtu lalu. Awalnya, ramai yang menjangka peserta wanita yang akan tersingkir pada malam itu berdasarkan prestasi mereka yang sangat teruk berbanding lelaki.

Namun, antara ketiga-tiga peserta yang berada pada kedudukan terbawah melalui undian SMS malam itu, Rosana Ainudin, Nur Jannah dan Fizi Ali, keputusan lega akhirnya berpihak kepada calon wanita.

Fizi yang berasal dari Taman Melawati, Kuala Lumpur, dilihat sebagai seorang yang sangat disenangi oleh peserta PK lain kerana tidak banyak kerenah.

Namun, dia menerima undian SMS penonton terendah, sekali gus melenyapkan hasratnya untuk ke peringkat seterusnya apabila terbukti Rosyam memilih dia untuk disingkirkan. Kini Pentas Pilih Kasih akan diteruskan lagi dengan 15 peserta.

Sementara itu, Ku Hariz, 25, dipuji dan mendapat komen yang baik dari kedua-dua pengkritik dan juri tetap iaitu Profesor Madya Dr Abu Hassan dan Fauziah Nawi. Dia berjaya menunjukkan kecemerlangannya dalam segmen yang disediakan iaitu monolog, drama dan teater.

Dr Abu Hassan suka cara penyampaian dan gaya lakonannya yang jelas lebih baik dari yang peserta lain.

Katanya, kebolehan Ku Hariz terserlah melalui persembahan teater bertajuk Aku Nak Jadi Popular.

Melalui segmen bermonolog pula, Ku Hariz berjaya menyampaikan kata-kata itu emosi dan lontaran suara yang jelas.

Kalau minggu lalu Dr Abu Hassan dan Fauziah Nawi sepakat dalam memberi pendapat, minggu lalu pula memperlihatkan banyak kelainan. Apabila Dr Abu Hassan memberi komen negatif kepada peserta Fauziah Nawi pula memuji dan begitulah sebaliknya.

Rosyam sendiri berharap Pentas Pilih Kasih minggu ini dapat menonjolkan kualiti persembahan yang lebih hebat lagi dan mampu menarik lebih ramai penonton untuk mengikuti aktiviti peserta setiap minggu.

Untuk mengetahui apa yang terjadi kepada peserta PK seterusnya, saksikanlah Kisah Pilih Kasih setiap Isnin hingga Jumaat, jam 4.30 petang di RTM2 serta siaran ulangannya Selasa hingga Sabtu, jam 10.30 malam di saluran Muzik Aktif Astro 180.

Pentas Pilih Kasih pula ke udara setiap Sabtu, jam 8.30 malam yang dipancarkan secara langsung melalui RTM2 dari Kompleks Penyiaran Tuanku Muhammad, Senawang.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top