Sesi bertemu peminat Kamilah Bintang yang diadakan di Jusco AEON AU2, Setiawangsa, Kuala Lumpur yang lalu adalah sebagai pemanas badan dan mendedahkan peserta kepada peminat di luar.

Sesi ini juga diadakan bertujuan mengingatkan peminat supaya tidak terlepas menonton pertandingan akhir yang akan disiarkan menerusi Astro Ceria pada Jumaat, 24 Disember jam 5.30 petang dan ulangannya pada 9 malam. Pihak Asto Ceria sangat gembira dan berbesar hati kerana sejak disiarkan pada 19 November lalu, Kamilah Bintang terus mencatatkan pertambahan bilangan penonton dari episod ke setiap episod.

Sila Baca Juara Kamilah Bintang - Wani

"Ternyata percubaan pertama ini menjadi kerana peningkatannya dianggarkan dalam 50 peratus. Untuk persembahan pada final nanti, ada kejutan yang kami tampilkan dan peminat perlu menontonnya nanti," katanya kepada media.

Pada petang itu, peminat disajikan dengan persembahan menarik daripada keenam-enam peserta. Tidak ketinggalan memeriahkan suasana ialah penampilan istimewa 'starguide' iaitu Amy Search, Stacy, Aizat dan Farah Asyikin.

Qistina membuka pentas dengan lagu What About Now yang dipopularkan oleh Chris Daughtry, disusuli dengan persembahan Aizat bersama pemuzik pengiringnya menyanyikan lagu Sungai Lui. Suasana bertambah hangat apabila Aiman, 14, tampil menerusi lagu Bila Cinta yang menjadi runut bunyi filem Lagenda Budak Setan.

Selepas itu giliran Farah Asyikin menghiburkan peminat dengan lagu Hello. Ikon rock Amy Search menggamatkan keadaan dengan lagu Kerja Gila, manakala Stacy memanaskan keadaan dengan lagu rancak, Jahat.

Persembahan selepas itu makin ditunggu-tunggu oleh peminat kerana menampilkan Farhan, 12, yang menyanyikan lagu Tiga Malam Tanpa Bintang dendangan Fiq. Pengikutnya ramai juga.


Menyusul selepas itu ialah Faisal yang dikenali dengan imej rocknya menyanyikan lagu Bukti nyanyian Fiq. Bakat semulajadi peserta kelahiran Gelang Patah, Johor ini memang terserlah. Dayang yang aktif dalam seni sejak kecil menyanyikan lagu Pujaan Malaya nyanyian Adzrin Azhar dan Wani menjadi peserta terakhir petang itu tampil menyanyikan lagu Tolong Ingatkan Aku nyanyian Ana Raffali.

Sehingga minggu keempat, Faisal dilihat cemerlang apabila mengungguli kedudukan teratas sebanyak dua kali iaitu pada minggu pertama dan keempat, Farhan pula berjaya mengungguli carta teratas pada minggu kedua manakala Dayang menjuarai pada minggu ketiga.

Menyentuh mengenai cabaran pertandingan akhir, setiap peserta yang ditemui mempunyai pandangan sendiri mengenai kelebihan dan kekurangan masing-masing serta cabaran yang diberikan oleh peserta lain.

Walaupun sudah dua kali menjadi juara, Faisal, 13, mengakui tetap berasa takut dan waspada dengan cabaran dari peserta lain. Dia mahu mengkaji apa kelemahannya menjelang pentas akhir nanti.

"Saya sedang berfikir untuk buat apa yang patut apabila di atas pentas. Cikgu kata saya tiada masalah vokal tapi saya tetap bimbangkan cabaran peserta lain," katanya.

Farhan yang berasal dari Pekan, Pahang dan Aiman dari Semenyih, Selangor juga mengakui saingan begitu mencabar. Namun mereka yakin dengan kemampuan yang ada, akan berupaya menarik hati juri supaya memilih mereka.

Seperti peserta lelaki, ketiga-tiga peserta wanita iaitu Qistina, 13, Dayang, 14, dan Wani, 10, juga bertekad memperbaiki kelemahan dan memberikan yang terbaik pada pentas akhir. Biarpun saingan agak hebat, mereka akan memberikan persembahan yang dapat memikat hati juri.

1 ulasan:

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top