Sebagai tanda terima kasih dan penghargaan kepada peminat setia rancangan Idola Kecil Musim Ketiga, satu showcase atau mini konsert telah diadakan pada hari Ahad lepas (5 Disember 2010) di mana peminat dapat menyaksikan sendiri persembahan mantap, beramah mesra serta mendapat autograf khas dari setiap peserta IK3.



Showcase yang dihoskan oleh Alif Satar dan Ikhwan Hotfm ini telah bermula dengan satu sesi gameshow di mana pengunjung telah berpeluang memenangi pelbagai cenderahati eksklusif dari TV9. Sejurus selepas itu, peminat Idola Kecil yang telah setia sejak musim pertama lagi telah dapat menyaksikan Dayana (Juara Idola Kecil 2) dan Azzam (Naib Juara Idola Kecil 2) membuat persembahan sebagai pembuka rasa showcase tersebut.



Beribu-ribu pengunjung Plaza Alam Sentral di Shah Alam begitu terhibur dengan adik-adik cilik ini yang telah membuat persembahan secara ‘live’ dengan begitu baik sekali. Mereka telah mendendangkan lagu-lagu popular masa kini seperti “Ku Ada Kamu” nyanyian Adira, “Dan Sebenarnya” nyanyian Yuna serta lagu yang agak mencabar, “Matahariku”, nyanyian Agnes Monica.

Suara lunak kesemua peserta IK3 yang sering diperkatakan dapat didengar dari kesemua empat penjuru kompleks membeli-belah tersebut. Pelbagai ragam pengunjung juga dapat dilihat, ada yang menyanyi dan menari bersama dan ada juga yang duduk berjam-jam lamanya hanya untuk menunggu masa peserta-peserta IK3 beraksi di atas pentas.

Apabila ditanya tentang perasaan membuat persembahan secara live di hadapan lebih 2000 penonton, Hadi berkata, “Saya tidak pernah membuat persembahan di hadapan begitu ramai orang. Saya memang betul-betul teruja dan hanya ingin mengiburkan semua yang hadir”.

Bagi Puteri pula, pengalamannya membuat persembahan dengan penyanyi popular tahun 70an, Salamiah Hassan, tidak dapat dibandingkan dengan persembahannya ketika showcase ini. “Pengunjung yang hadir ingin menyaksikan bakat kami, maka tekanan untuk melakukan yang terbaik adalah lebih dirasai. Alhamdulillah, kesemua peminat kami begitu terhibur dengan showcase ini.”


Showcase ini pasti tidak lengkap tanpa sebarang cenderamata sebagai tanda kenangan bersama idola mereka. Setiap pengunjung yang hadir dapat membawa pulang poskad eksklusif dari Idola Kecil dan mendapat tandatangan dari peserta Idola Kecil 3 sendiri. Sambil beramah mesra, mereka juga tidak melepaskan peluang untuk bergambar bersama idola mereka.

Untuk melihat segala aktiviti peserta Idola Kecil 3 ketika showcase ini, jangan lupa untuk melayari laman web rasmi Idola Kecil 3 di http://www.tv9.com.my/idolakecil3 dan tonton Klip Mini Idola Kecil 3 serta Klip Ekstra Idola Kecil 3 pada setiap Isnin hingga Khamis selama 3 minit pada 7.00 petang manakala Klip Ekstra Idola Kecil 3 pula akan bersiaran selama setengah jam pada setiap hari Jumaat jam 9 malam. Konsert Idola Kecil 3 pula akan bersiaran pada setiap hari Sabtu jam 9 malam, hanya di saluran TV9!

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top