Adegan tembak-menembak drama Miranda disangka kejadian betul

Penggambaran babak tembak-menembak membabitkan dua pelakon utama drama bersiri Miranda, Fasha Sandha dan Dazrin Kamarudin tengah hari semalam terpaksa dihentikan kira-kira satu jam apabila didatangi dua kereta polis yang menerima aduan daripada orang ramai menyangka ia kejadian jenayah sebenar.

Menurut Pengarahnya Along Kamaludin, babak Dazrin dan Fasha ditembak seseorang dirakam di kawasan parkir berhampiran sebuah restoran di Kota Damansara, dekat sini, mengundang salah faham orang ramai yang terkejut dengan bunyi tembakan itu.

"Semuanya salah faham saja. Sebenarnya dalam babak itu, Dazrin dan Fasha ditembak seseorang dari dalam kereta. Kami buat babak itu di kawasan parkir bawah tanah sebenarnya, tapi tak sangka pula ada pengunjung restoran berhampiran terdengar dan menyangka ia kejadian jenayah sebenar.


"Mungkin sebab kami rakam babak itu pun tanpa peralatan yang banyak, jadi orang tak nampak kami jalani penggambaran. Tiba-tiba dua kereta peronda polis tiba di set dan terpaksa pula pengurus produksi saya jelaskan perkara itu hanya salah faham," katanya ketika dihubungi, semalam.

Along berkata, kru dan pelakon terkejut didatangi polis yang menerima aduan orang awam selepas terdengar bunyi tembakan.

"Kami jadi tergelak besar apabila polis datang secara tiba-tiba dan terpinga-pinga melihat persekitaran (set penggambaran). Tapi, semuanya ok dan sudah diselesaikan.

"Apapun, saya berbangga dengan kecekapan polis bertindak cepat sebaik menerima laporan orang ramai. Penggambaran kini bersambung semula macam biasa," katanya. ~ metro

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top