Lebih dua dekad mengungguli arena hiburan Bollywood dan antarabangsa, aura Datuk Shah Rukh Khan (SRK) tidak pernah pudar.

Biarpun, kemasyhuran melimpahi kehidupan, pelakon yang mendapat jolokan Raja Bollywood itu mengaku ketika berada di rumah, dirinya masih seperti ketua keluarga lain.

Menghantar anak ke sekolah, menemani isteri membeli barangan runcit dan sesekali melakukan kerja rencam menjadi antara tugasan yang dilakukan andai dirinya punya waktu senggang atau bercuti daripada penggambaran.

"Di rumah saya adalah bapa dan suami. Walaupun ada pembantu, saya lebih senang menghantar anak-anak dan menyertai aktiviti di sekolah mereka. Saya mahu mereka membesar seperti kanakkanak lain. Rasanya mereka juga tidak menganggap diri sebagai anak selebriti.

"Anak sulung kami, Aryan menyambung pengajian di London, saya dan isteri kerap melawatnya. Saya tidak mahu kesibukan kerjaya membataskan tanggungjawab sebagai suami dan bapa," katanya dalam temu bual eksklusif bersama HIP, Jumaat lalu.

Dalam lelah mengharungi perjalanan udara hampir lima jam dari Mumbai ke Kuala Lumpur, selain masih belum pulih daripada kecederaan, hero kesayangan ramai itu masih sedia diwawancara sebaik sidang media berakhir.

Ambil ubat tahan sakit

Berkunjung ke Kuala Lumpur menjayakan konsert Temptation Reloaded Live in Malaysia, Sabtu lalu, SRK berkongsi kisah kemalangan di lokasi pembikinan filem baharunya, Happy New Year, bulan lalu.

Menganggap kejadian tertimpa pintu yang mengakibatkan bahu kanan retak dan ligamen lutut kiri cedera sebagai kesilapan bodoh, SRK yang masih bergantung kepada tongkat, enggan menjadikan insiden terbabit sebagai alasan bercuti panjang.

Selesai konsert mega bersama Madhuri Dixit dan Rani Mukherji, bapa kepada Aryan, Suhana dan AbRam itu terus pulang ke Mumbai untuk meneruskan penggambaran filem terbitan isterinya, Datin Gauri, yang dijangka ditayangkan di pawagam Oktober depan..

"Kami perlu terus bekerja kerana masih banyak lagi babak belum disempurnakan. Kalau boleh, saya masih mahu melakukan aksi lasak sendiri kerana kecederaan ini hampir pulih. Tambahan pula kejadian itu bukan disebabkan aksi bahaya, sebaliknya kesilapan teknikal yang tidak sepatutnya berlaku.

"Saya tidak mahu menyusahkan sesiapa, lagipun pembikinan filem yang turut menampilkan Deepika Padukone ini memakan masa 45 hari. Hingga kini, saya masih mengambil ubat penahan sakit," katanya yang kali terakhir muncul di layar perak tahun lalu melalui Chennai Express.

20 tahun jadi anak seni

Bakal mencecah garis 50 dua tahun lagi, pelakon kacak yang tetap menjadi dambaan wanita itu hanya tersenyum tatkala diminta berkongsi rahsia penjagaan diri.

Selepas 20 tahun menjadi anak seni, SRK mampu mengekalkan kedudukan sebagai bintang nombor satu Bollywood.

Memaklumkan senaman antara rutin harian, SRK melakukan pergerakan yang sesuai berikutan kecederaan yang dialami. Beliau yakin latihan berkala mampu mengekalkan kecergasan.

"Semua insan akan melalui fasa ini, tetapi cara bagaimana kita menghadapinya berbeza. Saya tidak pernah rasa diri tua kerana suka dengan apa yang saya lakukan termasuk membuat aksi lasak sendiri.

"Apabila kita mencintai dan jujur dalam berkarya, tidak timbul soal usia. Jadi, tidak kira berapa tahun pun usia saya nanti, saya akan teruskan apa yang saya usahakan sekarang selagi masih diterima ramai," katanya yang berkali-kali berterima kasih terhadap sokongan peminat tempatan.

Ketika sidang media, SRK sempat melayangkan penghargaan kepada rakyat Malaysia yang dianggap sebagai rumah sendiri apabila kehadirannya diterima dengan tangan terbuka sejak kunjungan pertama pada 1999.
Shahrukh Khan

"Saya tidak terasa berada di tempat asing apabila di Malaysia. Umpama rumah saya sendiri, keramahan, keindahan dan makanan yang sedap menggamit saya untuk sentiasa pulang. Keistimewaan ini yang sentiasa saya kongsi dengan rakan lain apabila mereka bertanya mengenai Malaysia," ujar penggemar nasi lemak itu.

Agak terkilan tidak dapat berada di Kuala Lumpur lebih lama kerana komitmen terhadap tugasan di Mumbai, SRK sempat membisikkan kekecewaan kerana tidak dapat bertemu mentornya, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam kunjungan kali ini.

"Kami jarang berbalas mesej tetapi andai ada kesempatan dan kebetulan berada di tempat sama, kami akan berjumpa untuk minum dan berbual. Mungkin pada masa lain, saya mahu mengambil cuti lebih panjang untuk datang semula ke Kuala Lumpur," katanya yang kali terakhir bertemu idolanya itu, tahun lalu.

~ BH

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top