Dokumentari Back To Batu Pahat

Satu dokumentari mengisahkan askar Fiji ketika peristiwa darurat di Tanah Melayu dan hubungan republik itu dengan Malaya akan dihasilkan menjelang hujung tahun ini.

Dokumentari sejarah itu dihasilkan kerjasama Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) dan kerajaan Fiji menerusi perjanjian persefahaman (MoU) baru-baru ini.

Berjudul Back To Batu Pahat, dokumentari terbitan Tanah Rata Filem Sdn Bhd itu akan meneroka pengaruh budaya masyarakat Malaya terhadap askar Fiji yang berkhidmat sebagai angkatan Komanwel ketika itu.

Pesuruhjaya Tinggi Republik Fiji, Ratu Meli Bainimarama berkata, dianggarkan seramai 1,600 askar Fiji berkhidmat di Tanah Melayu pada 1952 hingga 1956.

"Pasukan pertama yang tiba di Tanah Melayu adalah 1Bn FIR dan seramai 25 askar berkorban ketika menjalankan operasi dalam hutan dan ladang.

"Dokumentari Back To Batu Pahat juga akan mengisahkan aktiviti dikendalikan askar Fiji serta hubungan dijalinkan di antara dua negara pada masa itu," katanya.

Menurutnya, dokumentari itu turut memaparkan impak budaya masyarakat tempatan terhadap askar terbabit yang kemudiannya mempengaruhi budaya masyarakat Fiji.

"Berikutan jalinan hubungan baik di antara dua negara, Perdana Menteri pertama Malaysia, Tunku Abdul Rahman menjadi rakan baik dan mentor kepada Komander Batalion Fiji, Ratu Sir Edward Cakobau.

"Beliau kemudian dilantik menjadi Timbalan Perdana Menteri Fiji dan anak beliau Brigadier General Ratu Epeli kini Perdana Menteri Fiji," katanya.

Tambah Bainimarama lagi, dokumentari itu termasuk wawancara mendalam bagi menyokong jalan cerita askar Fiji yang kembali semula ke Batu Pahat.

"Lengkap dengan fakta sejarah serta rakaman perkhidmatan tentera Fiji dan Komanwel ketika era berkenaan, dokumentari ini pasti menjadi karya bertaraf antarabangsa berikutan mendedahkan peristiwa penting dalam sejarah.

"Justeru, kerjasama di antara FINAS dan kerajaan Fiji selaras dengan hala tuju republik ini dalam meningkatkan bilangan produksi bersama pihak antarabangsa.

"Dokumentari ini juga membolehkan produksi Malaysia menembusi pasaran antarabangsa, sekali gus meningkatkan pendapatan industri tempatan," katanya.

Beliau berkata, kerjasama itu penting dalam menjalin hubungan baik dengan negara lain terutama dalam sektor perniagaan dan pendidikan.

Sementara itu, Ketua Pengarah FINAS Raja Rozaimie Raja Dalnish Shah berkata, Malaysia pernah mencatat beberapa peristiwa penting dalam sejarah yang perlu diceritakan kepada rakyat.

"Adalah penting rakyat Malaysia mengetahui peristiwa penting bagi meningkatkan semangat patriotik dan cinta terhadap negara.

"Terdapat beberapa persamaan penggunaan perkataan dalam bahasa masyarakat Fiji dan Malaysia," katanya.



0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top