Sharnaaz beri kata dua kepada Fauzi dan Lisdawati

"Saya bagi masa seminggu kepada Poji (Fauzi) dan Lisdawati untuk minta maaf secara terbuka. Mereka juga kena minta maaf pada mak bapa saya atas apa yang sudah berlaku."

Demikian amaran dikeluarkan pelakon Sharnaaz Ahmad kepada pasangan suami isteri, Fauzi Nawawi dan Lisdawati berikutan kontroversi pergaduhan mereka seperti dilaporkan Harian Metro kelmarin.

Sharnaaz tidak teragak-agak mengambil tindakan undang-undang jika pasangan itu gagal berbuat demikian dalam tempoh diberikan.

"Mereka sudah membuat cerita dan memburukkan keadaan, sedangkan benda ini boleh diselesaikan dengan baik. Bila orang panggil kita anjing kurap dan membabitkan mak bapa dalam kes ini, tahap kesabaran saya pun ada batasnya.

"Kalau mereka tak minta maaf dan terus memalukan saya, tunggu saja saman (daripada) saya semaksimum mungkin," katanya ketika ditemui di Kota Damansara, semalam.

Menurut laporan, Fauzi, 40, mendakwa menerima rangkaian mesej daripada aplikasi iPhone Message berbaur ugutan daripada Sharnaaz pada 21 dan 22 Februari lalu.

Konflik itu dipercayai berpunca daripada tindakan Sharnaaz menengking dan menyerang Lisdawati atau nama sebenarnya, Nisdawati Nazaruddin, 35, di tempat penggambaran drama bersiri Bukan Kerana Aku Tak Cinta pada 19 Februari lalu.

Fauzi mendakwa dia menghantar mesej itu kepada Sharnaaz pada 21 Februari bagi meminta penjelasan. Bagaimanapun, Fauzi mendakwa Sharnaaz membalas pertanyaan itu dengan mesej berbaur ugutan dan provokasi untuk menyelesaikan kes secara pergaduhan.

Kemelut itu memaksa Fauzi membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi sebagai perlindungan atas dakwaan diugut Sharnaaz.

Bagaimanapun, Sharnaaz dalam kenyataannya pula menegaskan perselisihan faham yang timbul hanyalah perkara kecil yang boleh diselesaikan secara perbincangan dan tidak perlu dibawa ke media.

Dia juga tidak tunduk kepada Fauzi dan Lisdawati kerana kebenaran berpihak kepadanya dan pasangan itu memutarbelitkan situasi sebenar.

Sharnaaz yang mengambil pendekatan berdiam diri sebelum ini tampil menunjukkan semua bukti dan mendedahkan penipuan pasangan itu terhadap keadaan sebenar yang berlaku.

"Saya nak tahu apa awak berdua nak? Nak selesai ke macam mana? Nak saya minta maaf sebab tinggi suara pada Lisdawati, saya boleh buat sekarang.

"Tapi boleh tak awak berdua minta maaf secara terbuka dan kepada ibu bapa saya seperti saya tuntut? Jika tidak, saya saman," katanya.

"Dia memang boleh bertanya kenapa saya bertindak (tengking Lisda) dan saya sedia minta maaf tapi dia tidak bertanya dan berkomunikasi dengan baik.

"Saya terlepas meninggikan suara disebabkan perangai buruk Lisdawati yang memburukkan saya di lokasi tanpa sebab. Benda itu sampai ke telinga saya akhirnya.

"Apabila kejadian berlaku, Fauzi pula berkomunikasi dengan biadab tapi dia tidak pula tunjukkan semua mesej itu. Sekarang saya tunjukkan semua," katanya.

Dalam masa sama, Sharnaaz mengesahkan sudah membuat laporan polis di Balai Polis Jinjang dekat sini sekitar jam 9.15 malam kelmarin.

Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner Zakaria Pagan ketika dihubungi, mengesahkan menerima laporan. ~HM

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top