Hasratnya untuk menulis sebuah buku berkaitan kalimah cinta sudah lama dipendam sejak empat tahun lalu. Tapi hampir setiap kali usahanya memuncak, penulis dan pakar motivasi Syed Hassan Al Attas, 42, ini pasti diuji dengan pelbagai halangan hingga membantutkan niatnya. Namun saat difikir kembali, mungkin idea menghasilkan buku perihal cinta sudah selalu dibuat, lalu terbitlah penghasilan Diari Cinta 2009 ini.

Konsep yang mudah dan praktikal dilaksanakan kerana diari dianggap sebagai satu keperluan pelbagai pihak. Tercetusnya diari ini membuatkan pihak yang menyelenggara diari ini iaitu syarikat Bina Minda untuk menjadikan pasangan yang bakal meniti bahagia bulan depan, Mawi dan Ekin sebagai subjek yang cukup signifikan menggambarkan perlunya penerbitan diari ini. Tawaran ini diterima dengan hati yang terbuka oleh Mawi dan Ekin.

Ibarat cinta Laila dan Majnun, Romeo dan Juliet dan seteguh tugu cinta Taj Mahal hadiah suami, Shah Jehan kepada isteri Mumtaz Mahal, lalu setiap bulan dalam diari ini dipenuhi dengan ayat-ayat cinta yang disebut sebagai perjalanan cinta.

Tidak menidakkan menggunakan Mawi dan Ekin sebagai pelaris buku ini, penulisnya mempunyai alasan tersendiri.

“Perbincangan menghasilkan diari ini dilakukan tidak sampai dua minggu daripada tarikh pelancaran (26 November lalu). Syarikat Maestro yang dinaungi Mawi banyak mempermudahkan urusan diari ini dilakukan.


Jika ada yang memberi andaian saya menggunakan populariti Mawi dan Ekin, saya akur, saya tak nafikan perkara itu. Ini semua soal perniagaan.

“Alhamdulillah, pihak kami juga sudah mendapat tempahan diari ini dari Singapura dan Brunei. Kalimah cinta yang ditulis di dalam diari ini dipetik daripada buku sastera dari bahasa Parsi, Arab dan Urdu. Diari ini terhasil atas keinginan saya,” katanya sewaktu ditemui pada majlis pelancaran Diari Cinta 2009 baru-baru ini di Oakleaf Park, Bukit Antarabangsa.

Tren membukukan kisah biografi dan perjalanan hidup serta cinta selebriti bukanlah sesuatu yang asing di negara kita. Jika Datuk Siti Nurhaliza, Erra Fazira dan Ning Baizura pernah melakukan perkara yang sama, cuma bezanya Mawi dan Ekin berkongsi diari dengan peminat mereka. Diari Cinta 2009 ini sudah mula berada di pasaran dijual de ngan harga RM20 setebal kira-kira 500 halaman.

Tidak berasa dieksploitasi, baik Mawi mahupun Ekin melihat penerbitan diari ini sebagai satu hal yang positif.

Menurut Mawi, memandangkan ia (penulisan diari) satu benda yang baru kepadanya, dia sedia bekerjasama dengan pihak terbabit. Ditanya apakah jangkaan yang bakal berlaku kepada kerjayanya nanti selepas berkahwin, Mawi ada jawapannya tersendiri.

“Sebelum ini, orang banyak sangat bercerita mengenai gosip cinta saya tetapi tidak pula pernah mereka membicarakan erti cinta daripada skop yang meluas. Jadi, saya dan Ekin sepakat biarlah kami abadikan erti cinta itu dengan cara begini. Kami juga tidak berasakan cuba dieksploitasi tetapi mengambilnya sebagai urusan perniagaan.

“Selepas kahwin nanti, saya kena bijak membahagikan masa antara kerjaya dengan rumah tangga. Itu sudah menjadi tanggungjawab saya. Jujurnya, saya belum mampu menjangka apakah yang bakal didepani saya pada masa mendatang. Harapnya semua baik dan lancar hendaknya,” kata Mawi.

Pendapat yang sama turut dipersetujui bakal isterinya. Menganggap hal ini umpama rezeki dan begitu tepat de ngan arah mereka ke gerbang perkahwinan, tiada sebab untuk mereka menolak hasrat murni ini. Kata Ekin, biarpun bakal bergelar isteri kelak, Mawi tidak sesekali akan menghalang kerjayanya nanti.

“Macam Mawi kata ia berbalik kepada soal berniaga dan tidak salah untuk kami terbabit jika ia mampu memberi faedah kepada semua pihak dan peminat. Kata-kata hikmah yang terkandung di dalam diari ini satu kelebihan untuk dihayati bersama-sama.

“Seperti pasangan lain, pastinya Ekin membayangkan sebuah keluarga yang bahagia dan Insya-Allah akan kekal sampai ke akhir hayat.

Cuma apabila sudah kahwin nanti, pasti setiap gerak geri dan pekerjaan Ekin akan ada batasnya. Insya-Allah ada rezeki, kami merancang untuk membuka butik menjual busana muslimah dengan syarikat Mawi World,” kata Ekin mengakhiri bicara.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top