USIA masih di alam remaja, tetapi semangatnya membuktikan dia begitu menyanjungi lagu Melayu klasik agar warisan bangsa itu terus diperjuangkan.

Nyata, usaha murni Danie Hasbullah Mohd Razi, 16, tidak sia-sia apabila dia merangkul johan Pertandingan Bintang Klasik Nasional yang berlangsung, Ahad lalu.

Acara anjuran Radio Televisyen Malaysia (RTM) menerusi stesen radio Klasik Nasional dengan kerjasama Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan (KPKK) itu diadakan di Auditorium Tunku Puan Chik, Kompleks Penyiaran Tuanku Muhammad, Sungai Gadut, Seremban, Negeri Sembilan.

Danie berasal dari Klang, Selangor berjaya memikat hati lima juri profesional yang turut mengangkat peserta Shaidatul Nadira Shaharum (Nadira) sebagai juara kategori wanita. Mereka masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai RM15,000 bersama trofi.


Hadiah kepada juara disampaikan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim. Hadir sama, isteri beliau, Datin Seri Maznah Rais, Timbalan Menteri KPKK, Datuk Joseph Salang Gandum, Ketua Setiausaha, Datuk Kamaruddin Siaraf dan Ketua Pengarah RTM, Datuk Ibrahim Yahya.


Pada persembahan yang menyaksikan 12 peserta akhir bertanding, Danie membawakan lagu Jauh-Jauh nyanyian asal Zainal Abu ciptaan Jimmy Boyle dan Dol Baharin.

Melihat pada persembahannya, dia memiliki vokal besar dan matang berbanding usia.

Kata Danie, dia tidak meletakkan jangkaan menang, malah berasa kurang yakin ketika beraksi pada persembahan akhir. Ini bukan kemenangan pertamanya dalam bidang nyanyian kerana pernah menjuarai Pertandingan Bintang Kecil Shah Alam, Lagu Patriotik dan Suara Emas pada 2007 serta naib johan KLKL anjuran stesen KL fm pada tahun ini.

“Perasaan saya menjadi teruja apabila bergelar juara. Walaupun saya pernah menang pertandingan lain, tetapi kejayaan kali ini memberi pengalaman berbeza.

“Pada pertandingan lain sebelum ini, saya bebas membawakan lagu pilihan sendiri, tetapi kali ini saya diberi lagu. Ini memberi cabaran besar untuk saya berikan persembahan terbaik.

“Ketika pertandingan masih berlangsung, saya menjangkakan Muhammad Fadzli Abdul Wahab boleh menang kerana saya melihat persembahannya cukup sempurna.

“Memang cabaran memperjuang lagu sebegini bukan hanya pada hasrat mahu bergelar juara semata-mata. Malah, saya selalu diejek rakan menganggap lagu Melayu klasik hanya untuk orang tua-tua.

“Namun, menerusi kejayaan ini saya membuktikan masih ada orang muda yang berjiwa klasik seperti saya. Tidak semestinya lagu seperti ini hanya untuk generasi lama,” katanya.

Meminati Zainal Abu dan Jamal Abdillah sebagai idola, Danie menyatakan penghargaan pada anggota keluarga dan rakan yang banyak menyokongnya.

Dia bagaimanapun belum ada perancangan untuk wang kemenangan, tetapi mahu terus fokus pada pelajaran.

Lima juri bertanggungjawab menentukan seratus peratus markah peserta iaitu komposer, Datuk Johari Salleh, Fauzi Marzuki, Akhbar Nawab, penyanyi Aishah dan Datuk Mokhzani Ismail yang bertindak sebagai ketua juri.

Bagi Nadira, 20, perasaan gementar ketika mengadakan persembahan tetap ada, tetapi makin bersemangat apabila mendapat sokongan anggota keluarga dan rakan yang hadir. Dia menyanyi lagu Puan Sri Saloma, Yang Ditunggu Tak Tiba.

“Saya adalah pendengar setia Klasik Nasional dan mengikuti pertandingan ini sejak tiga tahun lalu.

“Memang tidak ramai golongan muda cenderung pada muzik sebegini, tetapi saya tidak mahu lepaskan peluang turut serta bertanding.

“Semua peserta kali ini sama hebat. Walaupun menang, saya masih berhasrat sertai pertandingan lain seperti Bintang RTM selepas ini,” katanya.

Gadis berasal dari Melaka ini pernah menjuarai Bintang Melaka FM pada 2005 dan 2008, Pertandingan Nyanyian Solo (2003 hingga 2007) dan Sayembara Puisi (2005 hingga 2007). Di sebalik karier nyanyian, dia yang masih menuntut di Institut Perguruan Perempuan Melayu Melaka mahu meneruskan cita-cita untuk bergelar sebagai guru.

Berbeza dengan Nadira, peserta Noor Nazatul Farahin Mohd Hussin menang tempat kedua menyatakan perasaan gembira bercampur kecewa apabila mengalami masalah audio pada mikrofon ketika menyampaikan lagu Kasih Hilang Sekejap nyanyian asal, Normala Shamsuddin.

Peserta berusia 21 tahun dan berasal dari Teluk Intan, Perak ini membawa pulang hadiah wang tunai RM10,000 bersama trofi.

“Antara pengalaman menarik yang sukar dilupakan adalah berpeluang menimba tunjuk ajar daripada guru vokal Siti Hajar. Walaupun latihan hanya sehari, tetapi ia berguna untuk saya memperbaiki persembahan sendiri.

“Selepas ini, saya akan berjuang untuk Pertandingan Akhir Bintang P Ramlee Kebangsaan yang akan diadakan di Stadium Perpaduan, Kuching Sarawak pada 4 Disember ini.

“Kali ini saya mempertaruhkan lagu Saloma, Dalam Air Terbayang Wajah duet bersama peserta Azfardon Zulkamal Azmi. Antara lagu Melayu klasik dan Saloma, saya meminati kedua-dua genre ini, tetapi saya berharap agar dapat tebus kekecewaan kali ini,” katanya.

Pemenang ketiga, Norakmazulaika Abd Khalid pula menganggap kemenangannya sebagai rezeki. Dia juga akui berasa gemuruh, tetapi lebih yakin apabila mendapat sokongan padu anggota keluarga dan rakan yang hadir.

“Sepatutnya, saya membawa lagu Ku Ingin Membawa Kesan nyanyian Norlela Ayob, tetapi ditukar lagu Fazidah Joned, Perpisahan. Pertukaran ini dibuat kerana lagu itu dikatakan tidak sesuai dengan vokal saya dan ia dilakukan dua hari sebelum pertandingan,” katanya.

Untuk kategori lelaki, Fitri Hakim Omar Walid yang menyampaikan lagu Tiada Esok nyanyian asal S Abu Yamin menang tempat kedua manakala Fazrul Misran (Hanya Bintang-Bintang/Jamaluddin Alias) di tempat ketiga.

Peserta lain yang menerima hadiah sagu hati berupa wang tunai RM1,000 adalah Hasfareza Harun, Siti Nirzawati Mohd Shom, Florence Lo, Muhammad Fadzli Abdul Wahab, Syamsul Nizam Ali dan Merazan Mechang.

Mewakili pandangan juri, Mokhzani menyatakan kualiti peserta yang ditemui semakin baik berbanding empat kali penganjuran sebelum ini.

Perkembangan positif ini didorong sambutan menggalakkan daripada peserta yang ingin mencuba nasib.

“Bersesuaian dengan penyiaran Klasik Nasional, lagu sebegini mula diminati golongan muda. Sebenarnya peserta lelaki dan wanita memberikan saingan sengit hinggakan markah mereka tidak jauh beza.

“Namun, juri melihat dari aspek peserta menghayati lagu, kawalan vokal dan persembahan menyanyi di atas pentas. Lebih mencabar, mereka harus menyesuai vokal dengan pemuzik Orkestra RTM yang mengiringi persembahan.

“Kali ini, juri melihat persembahan peserta penuh yakin dan tiada salah secara keseluruhan. Lagu yang dinyanyikan setiap peserta pula adalah atas pemilihan bersama penganjur.

“Pemilihan lagu juga harus sesuai dengan vokal peserta itu sendiri. Begitu juga, semua juri sepakat memilih Danie dan Nadira sebagai juara kategori lelaki dan wanita.

“Seperti Danie, dia dapat menyampaikan lagunya dengan baik. Bagi RTM, kami tidak menghalang dia untuk terus memberi fokus pada pelajaran selepas ini,” katanya.

Untuk perancangan selepas ini, RTM akan menghasilkan album kompilasi untuk bakat kelahiran program RTM termasuk pertandingan ini.

Album yang diterbitkan Erama Muzik Sdn Bhd ini adalah lanjutan album kompilasi yang pernah diterbitkan pada 2009 dan 2007.

“RTM sendiri tidak menyediakan kontrak pada peserta, tetapi berusaha membantu bakat-bakat ini menerusi pelbagai program kami pada masa akan datang.

“Kami bersedia memberi panduan pada mereka dan jika ada syarikat rakaman yang berminat, mereka bebas untuk turut serta,” katanya.

Pertandingan Bintang Klasik Nasional ini dipancarkan secara langsung di TV1 menyaksikan gandingan juruhebah Klasik Nasional, DJ Sofiah Abdullah dan penyanyi kelahiran Bintang RTM, Izwan Pilus sebagai pengacara.

Ia turut diserikan dengan kemunculan artis Laksman & Emily menyampaikan lagu Joget Jauh Pandang, medley oleh Anis Salwa dan Muhaizam (Juita Ku Sayang), Azwan dan Sabihah (Nilai Cinta), Azizul dan Norazrina (Sikit Kasi Banyak Minta) serta Liza Aziz dan Latiff Ibrahim (Cahaya, Pilihlah Aku dan Duniaku Duniamu).

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top