Menurut Erma yang turut berlakon dalam drama itu, berdasarkan pemerhatiannya, kekangan bajet produksi tempatan menjadi faktor penghalang untuk mereka mendapatkan barisan pelakon yang popular dan berkualiti.
“Jika kita memiliki bajet yang berpatutan untuk memanggil barisan pelakon yang popular dan berkaliber, mengapa tidak saya mencuba formula tersebut.
“Saya sengaja ambil nama-nama besar dalam dunia lakonan bagi memberikan impak dan keseimbangan pada setiap watak tidak kira besar atau kecil dalam drama ini.
“Sehingga tiadanya istilah pelakon pembantu atau ekstra kerana setiap watak itu sama menonjol, penting dan saling berkait antara satu sama lain,” katanya yang tidak berdepan masalah menghimpunkan pelakon-pelakon popular drama tersebut di lokasi penggambaran.
Erma ditemui pada sesi ramah mesra pelakon drama bersiri itu yang berlangsung di Sri Pentas, Bandar Utama, di sini, Selasa.
Ditanya adakah keputusannya menghimpunkan pelakon-pelakon popular itu bertujuan untuk menandingi fenomena drama bersiri popular Nur Kasih pada satu ketika dulu, katanya, sebagai pengkarya saingan utama adalah terhadap dirinya sendiri dan bukan dengan pihak lain.
Antara barisan pelakon drama Tahajjud Cinta.
“Saya langsung tiada niat untuk menandingi mana-mana drama atau pengkarya lain dengan membariskan nama-nama popular dalam drama terbaru ini.
“Sebagai pengkarya, saingan utama saya adalah diri sendiri iaitu untuk menghasilkan naskhah yang lebih baik dari semasa ke semasa kerana matlamat dan misi di sebalik karya itu lebih penting daripada soal persaingan,” katanya.
TC berkisar pada isu pengorbanan dan perjuangan wanita dalam menegakkan kebenaran, hak dan reputasi mereka.
Ia memaparkan kisah dua wanita iaitu Citra Maisara lakonan Nur Fazura dan Seri (Fouziah Gous) yang berasal daripada dua latar belakang berbeza. Perjalanan hidup mereka dihujani pelbagai dugaan dan cabaran dalam memperjuangkan hak-hak tersebut.
Drama sebanyak 13 episod ini turut membariskan Fazura, Fouziah Gous, Eman Manan, Remy Ishak, Shahz Jaszle, Tiz Zaqyah, Aaron Aziz, Tan Sri Datuk Dr. Jins Shamsudin dan Neelofa.
Turut berlakon Norish Karman, Datuk Ahmad Tamimi Siregar, Dira Abu Zahar, Ziela Jalil, Azizah Mahzan, Fazreen, Heryanto, Fadhilah Mansor dan Melissa Saila.
Drama terbitan syarikat produksi Rumah Karya Citra ini akan mula ditayangkan pada 8 Julai depan pada setiap Jumaat pukul 9 malam dalam slot Zehra di TV3.
0 ulasan:
Catat Ulasan