Sharifah Zarina Wan Hassan
TANPA syarikat rakaman yang menyokong kerjaya seninya, Sharifah Zarina Wan Hassan, 30, terpaksa bergerak sendiri termasuk menghantar cakera padat single terbarunya kepada stesen radio. Dengan pengalaman barunya itu, barulah dia tahu pahit getir kerja seorang perhubungan awam (PR) untuk memasarkan produk artis mereka.
Kalau diterima stesen radio, senanglah kerja tetapi kalau ditolak kerana alasan kualiti lagu dan sebagainya, susahlah jadinya. Kini, turun naik tangga stesen radio sudah menjadi perkara biasa kepada Zarina. Pun begitu dia bernasib baik kerana sejak mula melangkah dalam arena seni suara sehingga sekarang, suaminya, Buswani Abdullah, menyokong minat dan kariernya.
Belanja sebanyak RM12,000 untuk membeli dua lagu daripada Ajai yang menjadi single terbarunya, Dalam Dakapan dan Suratan Yang Menyakitkan dikeluarkan Buswani. Apabila menggunakan duit sendiri, kenalah buat betul-betul.
“Lima tahun menyepi, saya mahu memberikan yang terbaik buat peminat dan tak kisah berhabis untuk dapatkan khidmat komposer terbaik. Alhamdulillah, suami begitu menyokong karier nyanyian saya dan tidak berkira mengeluarkan duitnya asal saya boleh terus berada dalam bidang ini.
“Tetapi saya dan suami belum mampu untuk mengambil pengurus atau pembantu peribadi untuk membantu saya. Sekarang barulah saya tahu susah apabila semua kena buat sendiri tetapi dengan apa yang saya lalui ini, masa akan datang ia akan jadi mudah dan orang pun tak boleh hendak kelentong saya.”Sepanjang berkecimpung dalam bidang seni, saya tiada masalah dengan sesiapa termasuk wartawan, jadi tidaklah susah untuk mendapatkan kerjasama pihak media. Saya juga kenal dengan PR lain, kalau ada yang tak tahu, saya tanya mereka. Sebab itulah perlu menjaga hubungan baik dengan semua pihak kerana kita tak tahu masa depan kita macam mana.
“Jika sebelum ini ada orang yang mengaturkan janji temu dengan wartawan, carikan baju dan sebagainya, sekarang saya kena cari sendiri. Bayangkan kalau saya bermusuh dengan orang, tentu tak ada yang mahu memberikan kerjasama.
“Insya-Allah jika sambutan terhadap lagu itu bagus dan saya pun banyak mendapat undangan mengadakan persembahan, mungkin saya akan fikirkan untuk mendapatkan pembantu tetapi hendak mencari yang jujur itu susah. Mungkin secara sambilan dulu. Setakat ini, saya boleh buat sendiri kerana anak-anak pun semakin besar dan ada pembantu rumah,” katanya.
Bercakap mengenai singlenya itu, jelas Zarina, lagu Dalam Dakapan agak kurang mendapat sambutan kerana ia berentak laju iaitu corak muzik yang jarang sekali dinyanyikannya. Lagu itu ke udara Januari lalu dan pada Mac, ia mulai perlahan.
“Saya cuba membawa pembaharuan tetapi nampaknya peminat tak berapa suka.
Mereka lebih suka saya menyanyikan lagu balada seperti lagu Langit Ketujuh. Saya perlu juga ada lagu rentak laju untuk membuat persembahan di pentas.
“Oleh itu untuk single kedua, saya mempertaruhkan Suratan Yang Menyakitkan. Ia juga dijadikan lagu tema untuk drama Si Jundai yang mengisi Slot Legenda, TV3. Drama 20 episod itu mula disiarkan minggu depan. Saya pun tak tahu macam pihak produksi drama itu tahu mengenai lagu itu. Apapun saya harap lagu itu akan diminati ramai kerana ramai yang puji lagu itu sedap.
“Saya harap dengan bantuan stesen radio, lagu itu akan disukai ramai. Saya merancang untuk buat klip video tetapi kalau lagu itu tidak diputarkan di radio, sia-sia saja saya membuatnya. Kos pembikinannya bukan murah apatah lagi saya penyanyi lama, mesti hendak buat yang terbaik. Selepas lima tahun tidak aktif menyanyi, tahun ini saya mahu buat kemunculan semula dan memberi impak kepada dunia nyanyian,” katanya.
Sebelum ini, Zarina dan suaminya, mengusahakan restoran nasi ayam penyet tetapi rezeki mereka dalam perniagaan makanan itu tidak panjang kerana pelbagai masalah dihadapi.
“Sayang sangat kecewa apabila terpaksa menutup restoran itu. Suami suka berniaga dan sejak dulu lagi dia buat katering secara kecil-kecilan. Apabila ada pihak yang menawarkan untuk mengambil alih restoran itu, kami menerimanya dengan tangan terbuka. Tetapi sepanjang tiga tahun mengusahakannya, ada saja masalah termasuk dengan pekerja.
“Bila ditegur mereka terus tak datang kerja. Setiap hari hendak pergi berniaga, rasa takut kerana bimbang siapa pula yang tak datang kerja hari ini. Orang kepercayaan pun tak boleh diharap. Dek kerana terpaksa menumpukan kepada restoran itu, saya tak boleh benda lain kerana suami masih dengan kerja tetapnya. Mujur dia tidak berhenti kerja, kalau tak bila sudah jadi begini, tentu kalut dibuatnya.
“Tak mahu terus menanggung beban dan tekanan terpaksalah kami menjual perniagaan itu kepada orang lain. Dapatlah pulangan balik. Suami sangat sedih di mana hari terakhir urusan jual beli restoran itu, dia tak datang ke premis dan sayalah yang menguruskannya.
“Selepas bersetuju untuk mengambil alih restoran itu dulu, kami berdua sanggup belajar buat bakso terutama bebola daging di Indonesia. Kami mahu menghidangkan yang terbaik untuk pengunjung. Menariknya di sana ada akademi belajar buat bakso yang dinamakan Akademi Bakso.
“Suami saya beli mesin buat bakso dan dia masih simpan. Siapa tahu suatu hari nanti, kami akan membuka restoran semula. Kami belajar daripada pengalaman lepas,” katanya.
Sekarang selepas ‘melepaskan’ restorannya itu kepada orang lain, barulah Zarina dapat bergerak bebas dan aktif menyanyi semula.
“Ketika menguruskan restoran, saya tiada masa buat kerja lain tetapi bila mengingatkan yang perniagaan itu untuk masa depan kami sekeluarga, saya sanggup berkorban. Pun begitu, apabila sudah jadi macam-macam, lebih baik lepaskan saja,” katanya.
# Selingan Berita Hiburan dan Isu Semasa
0 ulasan:
Catat Ulasan