Cinta dan harapan Alyah
Oleh MOHD. IFQDAR ABDUL RAHMAN
ifqdar.rahman@utusan.com.my
Gambar HAFIZ JOHARI
|
KENANGAN manis ketika menjuarai program Gah 1 tahun lalu menerusi lagu Tak Mungkin Kerana Sayang. |
DAHULU, pelantun lagu hit Kau Bisu, Alyah pernah bertunang dengan seorang jejaka yang dirahsiakan identitinya.
Malangnya, harapan untuk melangkah ke gerbang perkahwinan berkecai apabila ikatan itu terlerai di pertengahan.
Ekoran itu, ia mengundang kekecewaan hati Alyah yang cuba untuk menyembunyikannya daripada pengetahuan ramai khususnya peminat.
Alyah tegar untuk meneruskan kehidupannya tanpa mahu berbicara panjang apabila disoal tentang perancangan perkahwinannya yang tidak menjadi.
Kata Alyah, kalau boleh dia tidak mahu kisah peribadinya dijaja atau diberikan publisiti kerana itu akan menenggelamkan usahanya untuk memajukan lagi karier nyanyiannya.
Selain itu, Alyah juga tidak mahu kisah peribadinya mengundang simpati masyarakat yang mungkin akan merasa jelak untuk membacanya.
Namun dia tidak dapat mengelak daripada disoal tentang hubungan intim yang pernah terjalin antaranya dengan komposer popular, Datuk Ramli MS.
“Bukankah itu kisah lama yang saya rasakan tidak perlu untuk kita singkap semula kerana sememangnya antara kami, tidak ada apa-apa hubungan istimewa seperti pasangan kekasih.
“Kami cuma bersahabat dan saya sentiasa menghormati kebolehan dan kedudukan Ramli sebagai seorang yang banyak pengalaman dalam bidang muzik.
“Memang saya akui, saya suka meminta pandangan daripada beliau khususnya berkaitan muzik dan penerbitan lagu.
“Tetapi setakat itu sahajalah hubungan kami dan tidak lebih daripada itu,” tegas Alyah yang letih untuk menjelaskan keadaan sebenar yang pernah dihebohkan sebelum ini.
Kini, bagi Alyah atau Noor Hasliah Abu Hassan, 30, setelah mendapat ruang dalam industri hiburan tanah air, dia mahu tampil sebagai salah seorang penyanyi wanita yang diingati peminat untuk tempoh waktu yang panjang.
Bagi bintang kelahiran Radio Televisyen Malaysia (RTM) ini, perjalanannya masih jauh untuk mencapai ke satu puncak sebelum mampu menjadi seorang penyanyi yang disegani ramai.
Bermula dengan single pertamanya, Tak Mungkin Kerana Sayang, nama Alyah mula meniti di bibir pemerhati dunia muzik tanah air.
Boleh dikatakan, dalam sekelip mata, nama Alyah sebaris dengan nama-nama penyanyi popular sedia ada seperti Misha Omar, Dayang Nurfaizah dan Jaclyn Victor.
Tidak alpa dengan sedikit kejayaan yang diciptanya, Alyah merangkul kejuaraan bagi program Gah 1 terbitan TV2 tahun lalu.
Kejayaan itu sekali gus menobatkan single pertamanya itu sebagai lagu terbaik pada malam penganugerahan yang berlangsung pada 29 Mei 2010 di Sunway Lagoon, Subang.
Ramai yang melihat, kejayaannya itu sebagai pengubat kekecewaan setelah Alyah gagal mendapat sebarang pengiktirafan ketika bertanding di peringkat akhir Anugerah Juara Lagu ke-24 (AJL24).
Biarpun ramai yang menjangkakan prestasi vokalnya ketika melantunkan lagu ciptaan Ajai itu bakal mencipta kejutan, namun rezeki tidak memihak kepadanya.
Rentetan daripada itu, Alyah mula mendapat perhatian ramai pihak dalam industri muzik tanah air termasuk lagu-lagu yang dinyanyikannya, mendapat permintaan daripada pendengar untuk dimainkan di corong-corong stesen radio tempatan.
Antara lagu hitnya yang pernah menghuni tangga teratas carta pilihan stesen radio tempatan ialah Ku Pinjam Satu Bintang, Realiti Dewi, Kau Bisu dan yang terbaru, Kisah Hati.
Bukan itu sahaja, malahan lagu dendangan Alyah tidak sekalipun pernah terlepas daripada dicalonkan di peringkat separuh akhir Muzik Muzik sejak 2009.
“Mungkin itu adalah hikmah yang diberikan kepada saya setelah 10 tahun berada dalam bidang ini.
“Berkat kesabaran, akhirnya saya berpuas hati dengan kedudukan saya sekarang,” kata juara Bintang HMI 2000.
Bercerita lanjut mengenai Kisah Hati, Alyah menghela nafas lega apabila klip video lagu berkenaan yang dimuat naik di laman YouTube berjaya menggamit perhatian lebih 100,000 penonton dalam masa sebulan disiarkan.
Namun, Alyah ditebak persoalan, adakah pemerhatian penonton terhadap klip video itu sudah cukup untuk menjamin karier seni seseorang artis sedangkan jualan album kini, kian merosot.
Alyah menjawab, respons penonton tersebut itu penting dan menunjukkan sokongan peminat yang tidak berbelah bagi.
“Tetapi, saya akui, industri hiburan tempatan terutamanya bidang muzik ‘berperang’ dengan laman web muat turun haram yang membuka peluang kepada peminat muzik mendapatkannya secara percuma.
“Perkara ini di luar bidang kuasa saya untuk menghalangnya. Hanya pihak yang bertanggungjawab sahaja yang mampu mengekangnya.
“Namun, baru-baru ini, tindakan kerajaan mengharamkan beberapa laman web yang menawarkan khidmat tersebut adalah cara terbaik dan saya berterima kasih kerana membela nasib kami,” kata Alyah.
Alif dan Afiqah isi kekosongan
BICARA mengenai cintanya yang tidak kesampaian, Alyah menegaskan, ia bukan isu penting baginya kerana kehadiran Muhammad Alif dan Naziatul Afiqah, masing-masing berumur lima dan tiga tahun sudah cukup membuatkan hatinya bahagia.
“Kedua-dua anak angkat saya itu diambil ketika mereka masih bayi lagi. Masa itu, Alif dan Afiqah masing-masing berumur sebulan lebih.
“Hati saya telah pun dimiliki oleh anak-anak saya,” jelas Alyah menjawab persoalan mengenai jodoh yang diajukan kepadanya.
“Jadi, merekalah yang menjadi pengubat rindu saya kala ini. Tiada istilah kekosongan hati dalam kamus hidup saya.
Tidak puas dengan jawapan ‘selamat’ yang diberikan Alyah, dia terus didesak untuk memberikan komen mengenai perihal jodohnya.
Jawab Alyah, biarlah perkara itu ditentukan oleh Allah SWT. Akuinya, sebagai seorang wanita, keinginan untuk dicintai oleh seorang lelaki itu amat diperlukannya sementelah umurnya semakin meningkat.
“Akan tetapi apakan daya, jodoh itu bukan ketentuan saya. Saya hanya reda dan menyerahkan ‘kerja’ itu kepadaNya,” ujar Alyah yang keberatan untuk terus membicarakan topik jodoh.
Bukan kaki gaduh
KONTROVERSI pertikaman lidah dengan seorang juru solek artis tahun lalu sehingga membuatkan Alyah bertindak membuat laporan polis, memberi tamparan hebat buat penyanyi ini dalam membina kariernya.
Alyah dituduh memperdagangkan diri dan memiliki anak hasil daripada hubungan sulit dengan seorang lelaki yang disebarkan melalui laman sosial Facebook oleh juru solek berkenaan.
Itu benar-benar menguji kesabaran Alyah. Bagaimanapun, cerita menconteng arang di mukanya itu kini hanyalah sejarah hitam yang perlu dipadam dari lipatan memorinya.
Usai isu pertelingkahan itu senyap dengan sendirinya, Alyah tekad untuk membersihkan semula namanya.
Kemudian, timbul pula cerita yang mengatakan Alyah berpaling tadah dengan bekas pengurusnya, Sam Kassim.
Namun, Alyah tampil membuat kenyataan demi menjaga nama baiknya. Tegasnya, tiada apa-apa yang berlaku antara dirinya dan bekas pengurusnya.
“Sebaliknya, ia adalah salah faham yang diputar belitkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab yang ingin melaga-lagakan kami.
“Sehingga kini, saya masih lagi berhubungan dengan Sam Kassim,” jawap Alyah ringkas.
Disebalik segala kejadian yang melanda dirinya, Alyah tetap berfikiran positif kerana dalam setiap kehidupan itu tidak sunyi daripada cabaran.
0 ulasan:
Catat Ulasan