JUJUR…Lisa akui harus membiasakan diri dengan gosip peribadi selepas ini.

UMUM mengetahui kebelaka�ngan ini cerita peribadi lebih menjadi bualan hangat bagi pelakon jelita, Lisa Surihani Mohamed.

Ini kerana percintaannya dengan duda dan pengarah filem popular, Yusry Abdul Halim bukanlah satu rahsia lagi.

  • HATI SUDAH DIMILIKI…umum mengetahui jalinan kasih antara Lisa dan Yusry.

  • GEMBIRA…Lisa bersyukur dengan rezeki melimpah ruah.

Apapun, Lisa tetap profesional antara cinta dan karier. Bahkan, gadis berusia 25 tahun ini masih sibuk dengan pelbagai aktiviti seni termasuk sebagai duta produk.

Baru-baru ini pun, Lisa dipilih menjadi duta produk tuala wanita, Sofy.

Mengikat kontrak selama setahun, Lisa berkata dia akan memberikan komitmen sebaik mungkin untuk mempromosi produk itu.

Malah, Lisa juga bersedia untuk turun padang ke beberapa lokasi promosi selain beramah mesra dengan pengguna di facebook (FB).

Sedar jadualnya kini sangat padat, apakan daya dia harus akur. Apatah lagi, di sebalik kesibukannya sebagai insan seni popular, Lisa juga terpilih menyertai perbincangan Meja Bulat 1Malaysia bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Teruja dan menganggap ia penghargaan besar pada dirinya, Lisa menolak sepenuhnya tanggapan pembabitannya di dalam persidangan itu kerana ingin menyertai politik.

Katanya, penyertaan dia pada persidangan itu akan membincangkan isu sosial saja.
"Saya tidak akan menyentuh sedikit pun isu berkaitan politik atau ekonomi. Ia lebih tertumpu kepada isu sosial yang bersesuaian dengan usia serta bidang kerja saya. Jujur saya akui, diri ini kurang arif untuk berbincang mengenai politik.

"Malah, saya juga akui tiada minat untuk menyertai politik. Barangkali, mungkin saya tidak dikelilingi individu yang menyertai politik, jadi minat itu tiada. Apapun, saya mahu mendekatkan golongan muda tanah air dengan program amal.

"Menyentuh soal program amal, tidak semestinya menderma wang ringgit. Ia boleh disalurkan dalam banyak aspek bantuan. Perkara ini harus diberikan penjelasan sebaik mungkin supaya suatu hari nanti program amal akan jadi budaya dalam masyarakat," katanya.

Selain Lisa, personaliti televisyen terkenal, Aznil Nawawi dan ikon rock negara, Amy Search antara selebriti tempatan yang terpilih menyertai perbincangan meja bulat itu.

Berbicara mengenai percintaannya, Lisa berkata dia kini harus membiasakan diri apabila kisah peribadinya lebih menjadi tumpuan selain karier.

Tak dinafikan selama empat tahun dalam industri sebelum ini memang kisah karier yang difokuskan.

"Bagaimanapun, kini saya harus lebih bersedia berhadapan dengan gosip. Biarpun, ia bukan perkara baru, tetapi saya tidak boleh lagi menganggap gosip sebagai usikan manja semata-mata seperti dengan Farid Kamil dulu. Antara Yusry dan saya ada sahihnya.

"Apapun, saya akui tidak begitu gemar bercerita mengenai kisah peribadi. Ini kerana hubungan kami pun masih dalam proses mengenal hati budi. Bahkan, berkaitan soal jodoh kami berdua selesa menyerahkan semuanya pada ketentuan Tuhan.

"Jadi, jangan ditanya bila dan apa saja berkaitan perancangan masa depan kerana saya tidak mahu meletakkan sebarang sasaran untuk mendirikan rumah tangga. Bagi saya, jika ada jodoh, Tuhan pasti aturkan semuanya.

"Saya belajar daripada pengalaman lalu. Ketika berkawan dengan seseorang sebelum Yusry, saya pernah meletakkan sasaran mahu membina keluarga pada usia 24 tahun.

"Namun, impian itu tak kesampaian dan kini saya tidak mahu terlalu fikirkan jodoh," katanya.

Tenang mengungkap kata-kata dan tak lekang mengukir senyum, Lisa berkata dia menerima Yusry kerana kematangannya.

Ujar Lisa, sebagai wanita timur, prinsip tradisional Melayu masih utuh menjadi pegangannya yang mana biarlah lelaki meluahkan dulu.

Selain laris di layar perak, Lisa juga aktif berlakon drama dan kini dia turut memikul tanggungjawab sebagai pengacara program realiti TV, Mari Menari musim kedua di Astro Ria di saluran 104 di samping pengacara dan pelakon, Awal Ashaari.

Ketika dikaitkan dirinya yang banyak mendapat tawaran umpama pisang goreng panas, Lisa berkata setakat ini dia sangat bersyukur dengan rezeki yang diperoleh.

Ujarnya, namun ia tidaklah sampai ke tahap dia tak menang tangan untuk menerimanya.

"Buat masa ini, apa yang boleh saya ucapkan hanyalah kesyukuran. Saya gembira di kala industri hiburan tanah air yang kian membangun pesat dan kemunculan artis baru, diri ini masih diterima baik peminat. Saya berasa syukur dan sangat bertuah.

"Apapun, mengenai produk Sofy ini saya secara jujurnya mengakui memang berpuas hati. Sebagai gadis yang lasak dan sibuk dengan pelbagai aktiviti, kedatangan haid ada kalanya mengganggu batas pergerakan. Tetapi, dengan Sofy 360 baru, saya tiada masalah.

"Oleh itu, saya berterima kasih dengan kepercayaan pihak Sofy yang memilih saya sebagai duta produk ini. Saya akan memberikan kerjasama dan komitmen baik sebagai menghargainya. Malah, menariknya juga ada permainan interaktif FB untuk pengguna.

"Kepada mereka yang berminat boleh melayari FB Sofy dan bermain permainan ini. Bagi pengguna yang berjaya, mereka akan berpeluang memeriahkan rumah terbuka Aidilfiri bersama saya. Apapun, ia memang satu permainan menarik untuk anda cuba," katanya.

Berbicara mengenai filemnya, Lisa berkata peminat jangan lupa ke pawagam menyaksikan gandingan mantapnya bersama Bintang Paling Popular di Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2010 (ABPBH2010), Shaheizy Sam dalam filem Sekali Lagi arahan Hashim Rejab pada 30 Jun ini.

# Selingan Berita Hiburan dan Isu Semasa






0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top