Jambu bertahta dihati
BUNGA tawa dan kelucuan menjadi selingan dalam sesi temu bual bersama duo Jambu baru-baru ini. Selebihnya nada mereka berbaris serius, menunjukkan bahawa kumpulan Jambu duduk pada suasana dan ketika yang benar. Kata Yus, mereka ini pelakon watak kelakar, seperti istilah khalayak, pelawak.
Gelombang Jambu pernah sampai ke radius yang lebih luas, mereka pernah mencipta stail dan fenomena sendiri. Lawak-lawak pecah perut mereka banyak yang boleh menjadi bahan hipnosis untuk membawa penonton masuk ke dalam lawak luar dimensi.
Di awal kemunculan, demam merah jambu di mana-mana, tanda ada peminat setia di mukim tersendiri. Mengambil peluang kedua yang diberikan umum dengan serius, Jambu memberi dan terus memberi jenaka pada setiap minggu Maharaja Lawak disiarkan. Tidak mahu mensia-siakan waktu kerana bukan hanya mahu dilihat maharaja di gelanggang sendiri, Jambu serta Taukeh ada misi dalam menggeletek hati umum.
Itu kuasa dua lelaki merah jambu itu, seorang pernah bergelar Juara Raja Lawak musim pertama manakala seorang lagi hanya mampu berada di tangga keempat pertandingan yang sama.
Kalah undian menang di hati
Sayangnya Jambu hilang momentum. Dua tiga minggu sebelum final Jumaat lalu, ramai menyifatkan termometer komedi mereka menunjukkan kemerosotan. Sedang elok menjadi peserta kegemaran ramai serta pihak juri, Jambu pudar sentuhan. Menjelang keputusan diumumkan, mereka menjadi finalis tercorot, di tangga keempat daripada empat finalis lain.
TAUKEH puas hati walaupun Jambu di tangga keempat. |
Mahkota Maharaja Lawak serta hadiah utama wang tunai bernilai RM350,000 akhirnya menjadi milik Sepah manakala Jambu hanya redha dengan hadiah bernilai RM50,000 untuk dikongsi dua.
Hadiah tempat kedua bernilai RM250,000 milik Jozan manakala satu-satunya peserta solo Nabil, di tempat ketiga membolot hadiah RM150,000 secara mutlak.
"Kami tidak kecewa tapi siapa tak terkilan, sedikit rasa terkilan itu tetap ada bila sudah kalah begini. Apa yang penting, kami (Jambu) sudah mencuba dan mempersembahkan apa yang terbaik. Kami kalah di pentas ini tetapi rasanya kami menang di jiwa peminat kami. Saya yakin peminat Jambu juga tidak patah hati dengan persembahan kami semasa malam final," beritahu Taukeh sehabisnya Maharaja Lawak mengakhiri persaingan.
Mengakui berpuas hati dengan tugasan kedua berkonsepkan muzikal pada malam final, Yus akui, reputasi Jambu kurang impak untuk tugasan pertama yang bertemakan bebas. Dia juga menangis gembira apabila Sepah diumumkan juara.
"Memang saya sudah agak Jambu akan berada di kedudukan ini, saya juga jangka Sepah akan menang. Bila ramai yang kata Jambu merosot sejak beberapa minggu terakhir, saya juga akui perkara itu. Dapat berada di kalangan finalis Maharaja Lawak pun sudah satu kemenangan buat Jambu," katanya tenang.
Buat lawak mesej bonus
Regu merah jambu mewakilkan dua lelaki berwajah persis gengster, seorang berbadan gempal dan seorang lagi berfizikal sederhana, berkulit sawo matang. Bukan jejaka jambu, ironinya, mereka cuba menjadi jambu dengan pakaian warna merah jambu yang menjadi uniform mereka.
Rata-rata yang baru jatuh cinta atau sudah lama tersulam rasa dengan jenaka Maharaja Lawak terbuka perspektif.
JENAMA Jambu yang dijana dalam Maharaja Lawak akan dikekalkan oleh Taukeh dan Yus. |
Selama ini ada yang menganggap jenaka hanya satu sisi hiburan yang kecil, ada juga yang menganggap itu hanya sisipan. Maharaja Lawak membuka satu gerbang lebih besar ke dalam dunia jenaka.
"Apabila mula berjenaka, ia bermaksud penonton sudah separuh terhipnosis. Ini sebahagian daripada elemen psiko. Kalau mereka berjaya memberi respons dengan gelak, maksudnya mereka sudah terhipnosis. Wujud perasaan suka, ini sudah menunjukkan kepandaian pelawak tersebut. Apa lagi kalau satu Malaysia ketawa bersama. Ini sudah menunjukkan sisi bijak pelawak. Itu adalah bonus," ujar Taukeh apabila dipetik faktor intelek dalam membikin jenaka.
Mengangguk dan mengiakan sahaja hujah Taukeh, Yus banyak berdiam. Sepertinya dia tidak memerlukan banyak dialog untuk membikin lawak, wajah serius serta mimik muka sahaja mampu untuk menggeletek mangsa.
"Dulu saya pemain teater, saya melakonkan watak lawak. Memang saya berwajah serius tapi kalau dalam jiwa itu ada komedi, tetap seseorang itu boleh jadi pelawak," seloroh Yus mengakui dirinya lelaki daripada spesies 'cute' kerana banyak memiliki sisi sensitif dan mudah terasa.
0 ulasan:
Catat Ulasan