Ketidakfahaman dan kegagalan pengguna Internet untuk memahami fungsi perisian komputer memberikan laluan mudah kepada penggodam untuk menyerang komputer mereka sewenang-wenangnya.

Naib Presiden Cyber Security Responsive Services, Adli Abd Wahid berkata, kebanyakan pengguna Internet di negara ini tidak tahu cara-cara perlindungan yang betul bagi memastikan komputer dan data mereka selamat.

Malah ada yang tidak mengetahui fungsi sebenar perisian “Firewall” walaupun sudah menggunakan Internet dengan begitu lama, katanya semasa ditemuramah dalam Program Kerusi Panas terbitan Bernama Radio24.

"Justeru, mereka perlu peka dan mengambil langkah proaktif untuk melindungi data dan sistem komputer mereka.

"Sebagai langkah persediaan, pengguna perlu memiliki dan memahami ilmu teknologi maklumat (IT) dengan sebaik-baiknya terutamanya mengenai isu keselamatan siber.

"Mahu tidak mahu, setiap pengguna perlu mempunyai ilmu IT kerana dalam era ini kita menggunakan komputer dan Internet secara meluas dalam kehidupan seharian,” katanya.

Adli berkata, tindakan penggodam yang tidak dikenali menyerang laman-laman web kerajaan baru-baru ini memerlukan pihak berkuasa, organisasi, pengguna Internet dan pentadbir web agar lebih peka dan mempersiapkan diri berdepan dengan serangan susulan. - Bernama

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top