Habuan Karnival Amal Silaturrahim
Oleh RONI HIDAYAT RIDWAN
roni.ridwan@kosmo.com.my
BARISAN artis (dari kiri) Azrul Raja Lawak, Roslan Shah, Jamal Abdillah, DJ Dave dan Azad Jazmin bakal memeriahkan Karnival Amal Silaturrahim pada 2 dan 3 Julai ini.
DUA penyanyi popular tanah air, Jamal Abdillah dan Datuk DJ Dave akan memeriahkan Karnival Amal Silaturrahim yang dianjurkan oleh Persatuan Usahawan Wanita Bumiputera Malaysia (Usahanita) selama dua hari pada 2 dan 3 Julai ini.
Presiden Usahanita, Faridah A. Jabbar berkata, tujuan karnival tersebut diadakan untuk mengumpul dana dari pihak korporat dan perseorangan untuk diserahkan kepada rumah anak yatim dan juga golongan kurang upaya.
"Sebenarnya karnival sebegini adalah antara acara tahunan yang dilakukan oleh Usahinta, namun kami lebih banyak melakukan aktiviti yang berbentuk kekeluargaan.
"Namun untuk tahun ini, kami telah mengambil keputusan untuk menganjurkan dua aktiviti utama iaitu pertandingan memancing dan majlis makan malam," ujarnya pada satu sidang akhbar baru-baru ini.
Tambahnya lagi, bagi menarik lebih ramai penyertaan untuk kedua-dua aktiviti berkenaan, beberapa artis popular turut diundang untuk memeriahkan lagi aktiviti.
Ujarnya, pada hari pertama akan berlangsung acara santai iaitu Karnival Memancing 1Malaysia 1Hati bertempat di Taman Tasik Titiwangsa yang akan dimeriahkan oleh beberapa artis seperti Roslan Shah, Fazli Zainal dan Azrul Raja Lawak.
"Kemudian pada hari kedua pula dua penyanyi popular iaitu Jamal Abdillah dan Datuk DJ Dave akan membuat persembahan pada majlis Makan Malam Amal di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).
"Selain mereka berdua yang akan menghiburkan orang ramai menerusi lagu-lagu popular mereka, ia turut dimeriahkan lagi oleh beberapa artis seperti Ogy Ahmad Daud, Azad Jazmin dan Eira Syazira," katanya yang memberitahu meja berharga di antara RM250 sehingga RM5,000 sudah mula dijual.
Ujarnya, 100 peratus hasil kutipan pada karnival berkenaan akan diagihkan kepada empat buah rumah kebajikan yang dipilih oleh pihak Usahanita.
Antaranya, Pertubuhan Kebajikan Ehsan Ash-Shakur, Rawang; Pertubuhan Kebajikan Anak-Anakku Sayang, Seremban; Rumah Anak Yatim Kesayanganku, Bukit Beruntung dan Pusat Jagaan Kanak-Kanak Istimewa, Hulu Klang.
Sementara itu, DJ Dave ketika ditemui berkata, dia sangat teruja untuk sama-sama terlibat dan menyokong usaha yang dilakukan oleh Usahanita dengan membantu golongan yang kurang bernasib baik.
Ujarnya, dia sendiri tidak keberatan dan sangat menyokong usaha yang dilakukan oleh pihak Usahanita itu kerana dia juga sering menganjurkan aktiviti amal setiap tahun.
"Saya yakin yang para peminat tentunya sangat menantikan kemunculan saya dan Jamal di atas pentas yang sama dan sudah tentu kami akan menampilkan satu persembahan yang yang cukup menarik serta berharap tetamu yang hadir akan terhibur," katanya.
Kepada sesiapa yang berminat untuk menyertai kedua-dua aktiviti tersebut boleh menghubungi pejabat Usahanita di talian 03-55192534.
0 ulasan:
Catat Ulasan