BUKAN satu kepantangan atau meninggalkan kudis pun bagi jelitawan ini untuk bercakap tentang umur.
Cuma, sebolehnya pelakon yang dikenali sebagai Intan Ladyana (Intan) ini lebih selesa tidak mencanangkan usianya kecuali jika ia benar-benar perlu.
Fahamannya cukup mudah. Bukan kerana dia takut dengan angka yang silih-berganti saban tahun itu tetapi kerana bimbang apabila peningkatan usia tidak seiring dengan pencapaian diri.
Dalam pertemuan kami baru-baru ini, pelakon yang mula mencuri perhatian selepas membintangi filem Jangan Pandang Belakang (2007) ini membentangkan hujahnya berhubung soal itu.
Kata Intan, isu umur mungkin kedengaran klise dan dangkal bagi sesetengah pihak tetapi dia percaya pasti ramai yang di luar sana turut berkongsi stigma serupa, khususnya di kalangan kaum hawa.
"Saya boleh bercakap dan berkongsi apa juga perkara tetapi apabila sentuh tentang umur reaksi diri saya akan berubah secara spontan.
"Bukan saya takut atau benci untuk mengakui umur sendiri kerana saya pasti ramai yang sudah mengetahuinya pun.
"Cuma saya berasa kurang selesa jika pertanyaan itu kerap diajukan. Tidaklah sampai menjadi kepantangan saya untuk bercakap tentang umur cuma ia boleh dianggap sebagai sensitif," katanya.
Melanjutkan perbualan kami, wanita berdarah kacukan Melayu-Siam ini menambah, logik di sebalik perasaan itu dipengaruhi oleh kecenderungannya yang sering membandingkan usia dengan pencapaian hidup sama ada aspek peribadi mahupun kerjaya.
"Faktor utama yang membuatkan saya sensitif untuk bercakap tentang umur adalah kerana saya cenderung untuk membandingkan faktor usia dengan pencapaian semasa.
"Apabila saya memberitahu umur kepada orang, pasti saya akan terfikir tentang diri dan pencapaian hidup. Pada usia sekarang, masih banyak perkara yang belum dicapai baik peribadi ataupun kerjaya," katanya.
Idealnya, perasaan sensitif yang berbuku di hati dan minda wanita ini berasas dan punya sebab. Bukan kerana gusar dengan istilah 'tua' jika orang mengetahui umur sebenarnya tetapi Intan runsing jika ia akan menimbulkan pelbagai perspektif pula.
"Selalunya apabila orang bertanya tentang umur ia pasti disusuli dengan jawapan atau pandangan tertentu. Contohnya, mungkin ada yang terkejut kerana saya tidak kelihatan seperti usia saya atau apa juga persepsi lain.
"Daripada situ, mulalah saya berkecamuk memikirkan tentang kehidupan, kerjaya dan masa depan.
"Sebab itu, kalau boleh saya tidak selesa untuk menghebohkan umur kecuali terpaksa," katanya yang menganggap umur hanyalah angka yang tidak wajar dijadikan kayu ukuran.
Tak runsing jika kurang popular
Hampir lima tahun melayari arus berliku sebagai anak seni, Intan mengakui dirinya amat bertuah kerana diberikan platform dan kepercayaan untuk mencanai bakat.
Sekalipun jenama dan popularitinya tidak segah mana, sekurang-kurangnya aktres bertubuh kecil ini senang dan selesa dalam zonnya.
"Tidak perlu saya rasa tergugat atau runsing tentang populariti dan glamor. Sekalipun nama saya tidak sebesar mana berbanding bakat-bakat lain, saya bersyukur dan selesa dengan kedudukan hari ini.
"Apa yang lebih mustahak adalah untuk memberikan mutu kerja yang semakin baik dan matang dari semasa ke semasa.
"Biarlah tidak gah pada nama tetapi peminat dan masyarakat nampak dan memperakui impak lakonan saya, itu lebih bermakna," jelasnya.
Apabila menyingkap isu populariti, Intan mempunyai prinsipnya tersendiri. Dia tidak perlu mengejar publisiti semata-mata untuk melariskan nama.
Perkara itu terbukti benar kerana sejak menceburi bidang seni jarang sekali aktres ini dicemari kontroversi.
"Kontroversi atau cerita negatif tidak akan menjadi kayu ukur untuk seseorang artis itu bertahan lama. Yang menjadi bekalan untuk kekal lama adalah mutu kerja, disiplin dan komitmen.
"Lagipun, saya selalu percaya pada putaran hidup. Kalau hari ini kita di bawah tidak semestinya kita akan kekal di bawah selama-lamanya dan begitulah sebaliknya," katanya.
Teruja sertai Askar Wataniah
Di sebalik karakternya yang keayuan dan lemah-lembut ini, siapa sangka pelakon yang bakal muncul dengan filem Flat 3A pada 14 Julai ini mempunyai jiwa yang besar dan tegar.
Buktinya, baru-baru ini Intan bersama beberapa selebriti tanah air terpanggil untuk menyahut cabaran dengan menyertai Rejimen Askar Wataniah (RAW) menerusi program 'Merakyatkan Tentera' yang terkandung di dalam pelan transformasi Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Dengan penuh teruja Intan berkata, keputusan untuk menyertai Askar Wataniah dibuat selepas dia mengkaji tahap latihan dan kemampuan dirinya.
"Selepas mendapat penerangan berhubung latihan dan aktiviti yang dilalui sebagai anggota RAW, saya begitu teruja dan terus bersetuju.
"Selain mengutip pengalaman dan menjalani latihan asas, saya juga mahu menyedarkan belia dan masyarakat luar bahawa artis juga boleh menyertai RAW," katanya.
# Selingan Berita Hiburan dan Isu Semasa
0 ulasan:
Catat Ulasan