MERAIH peluang pertama kali berlakon filem sudah pasti menimbulkan perasaan yang begitu teruja.
Lebih membanggakan lagi apabila tawaran itu adalah watak utama untuk filem ‘blockbuster’ yang menampilkan gandingan pengarah dan bintang terkenal.
Pengalaman cukup berharga ini dilalui aktres baru, Rosie Huntington-Whiteley yang dilamar pengarah handalan Michael Bay membintangi filem sekuel terbaru, Transformers: Dark Of the Moon.
Filem sains fiksyen adaptasi komik dan program kartun TV yang cukup popular ini sudah bersedia untuk kembali menemui peminat di seluruh dunia pada 29 Jun ini.
Ia dikatakan akan mencipta satu lagi fenomena luar biasa terhadap sambutan penonton di panggung.
Filem paling ditunggu-tunggu ini akan mula ditayangkan di Malaysia serentak dengan pembukaan di Amerika Syarikat pada tarikh berkenaan.
Ia turut diterbitkan dalam versi tiga dimensi (3D) yang memberi pengalaman berbeza dari aspek paparan visual yang lebih realistik serta mengagumkan.
Di sebalik aksi dua kumpulan, Autobots dan Decepticons kembali bertempur dalam dunia manusia, gandingan Rosie bersama aktor asal, Shia LaBeouf sebagai pelakon utama pasti akan mencuri tumpuan.
Nyata, kemunculan dan pemilihan Rosie awalnya menimbul persoalan ramai di kalangan peminat dan penonton. Apakah Rosie sudah ‘caras’ (menewaskan) aktres Megan Fox yang sebelum ini menjual seksinya dalam filem itu?
Kehadiran pelakon berusia 24 tahun yang lebih dikenali menerusi bidang peragaan ini memang mencetuskan kontroversi apabila wataknya menggantikan Megan yang sebelum ini digugurkan.
Megan sebelum ini beraksi untuk Transformers (2007) dan Transformers: Revenge Of the Fallen (2009), disingkir Bay sendiri selepas dia bersikap celupar ketika memberi komen mengenai kerja hasil pengarahan Bay.
Menurut laporan media antarabangsa, Megan menyamakan Bay seperti pemimpin tentera Nazi, Adolf Hitler ketika berada di set penggambaran dan berlakon bersamanya umpama mimpi ngeri.
Dalam lantang bersuara, Megan masih tetap memberi komen mengatakan dia sukakan personaliti pengarah popular itu kerana menganggap Bay seorang yang begitu pelik.
Menjawab komen Megan itu, Bay sebaliknya menyatakan dia tidak terguris mahupun terkejut.
Katanya, dia lebih mengenali Megan yang suka memberikan kenyataan walaupun dengan cara yang salah.
Dalam satu kenyataan lain, Bay dikatakan memecat Megan selepas dibandingkan dengan Hitler. Tindakannya itu dipersetujui Produser Eksekutif, Steven Spielberg sendiri.
Bagi Rosie, pengalaman membintangi filem ini menjadi transisi perubahan kehidupannya dari bidang peragaan kepada lakonan.
Menariknya, dia berpeluang menghabiskan masa selama tujuh bulan bersama anggota tentera laut ketika penggambaran dijalankan pada pertengahan tahun lalu di sekitar Los Angeles, Chicago, Detroit dan Florida.
“Saya seorang yang senang berperasaan gemuruh. Awalnya saya sendiri tidak pasti sama ada saya mampu menggalas tanggungjawab besar seperti ini. Namun saya percaya berlakon filem ini adalah peluang terhebat seumur hidup.
“Bagi saya, LaBeouf seorang pelakon yang hebat. Dia memberitahu saya, bekerja selama 17 jam boleh mengubah kehidupan manusia sepertinya.
“Dia menjelaskan pengalaman yang ditimba bukan hanya semata menjadi bintang popular. Jadual penggambaran begitu padat dan pelakon terdedah dengan suasana panas, kotor dan berbau sama seperti berada di kawasan perkhemahan,” katanya.
Sangka dapat watak kecil
MENGENAI kontroversi membabitkan Megan, Rosie menyebelahi pendirian Bay dan menolak tanggapan berasa kurang selesa ketika menjalani penggambaran.
“Kami seronok ketika menjalani penggambaran ini bersama. Kalau saya berasa tidak selesa, saya lebih senang memberitahunya dan dia selalu menghormati pandangan terbuka seperti itu,” katanya membawa watak Carly Miller, kekasih Sam Witwicky lakonan LaBeouf.
Menjadi tumpuan ramai peminat selepas bergelar pelakon, Rosie tidak mahu kontroversi Megan menjejas perjalanan karier seninya yang baru bermula.
Berkongsi pengalaman ketika hadir uji bakat filem ini, Rosie menyatakan dia menyangka hanya diberi watak kecil sebaliknya terus ditawarkan watak utama menggantikan Megan!
“Membandingkan saya dengan Megan hanya mewujudkan kebimbangan kecil pada diri sendiri. Apapun, tanggapan ini tetap akan berlaku, tetapi ia tidak mengganggu saya sebenarnya.
“Saya tahu lakonan sendiri masih belum memuaskan. Malah, saya tidak menyangka dapat watak utama ini dan tidak tahu apa yang dilakukan.
“Sebelum ini, saya tidak pernah berlakon mahupun hadir sebarang uji bakat kerana berasa tidak selesa dengan situasi itu,” katanya.
Rosie berkata, dia menerima panggilan telefon dua hari selepas hadir uji bakat menyatakan dia ditawarkan watak utama di samping LaBeouf.
Seminggu selepas itu Bay menghubungi Rosie hadir untuk berlakon. Mahu memberi fokus pada kerjaya, Rosie tidak mahu bercerita mengenai kehidupan peribadi.
Terbabit menjadi model pakaian dalam dan produk kecantikan sejak 2006, Rosie juga menjaga penampilan diri dalam filem sulungnya ini.
Katanya, dia gemar menggelapkan kulit sebelum mula berlakon dalam filem ini.
Sepanjang berlakon Transformers: Dark Of the Moon, Rosie akui dia berdepan situasi rindu pulang berjumpa keluarga.
“Saya tidak berpeluang berjumpa mereka selama setahun. Perkara pertama selepas habis penggambaran filem ini, saya terus balik ke rumah,” katanya.
Bagi Bay, dia mengakui bukanlah peminat Transformers ketika membesar, tetapi berusaha menggalas tanggungjawab diberikan Spielberg agar menjadikan filem ini sebagai karya menarik untuk ditonton.
“Ketika menghasilkan sekuel kedua, saya bersama penulis skrip melakukan perbincangan selama empat bulan,” katanya.
Bay, 45, berpengalaman mengarah pelbagai filem besar seperti Bad Boys (1995) dan Armageddon (1998). Dia melihat kritikan terhadap sekuel kedua lalu memberi cabaran padanya untuk mengarahkan sekuel ketiga bagi Transformers.
Filem kali ini turut menampilkan aktor Hugo Weaving yang pernah popular watak Ejen Smith menerusi The Matrix. Dia diberi kepercayaan menyumbang suara watak Megatron. Anda sudah bersedia untuk melihat perang robot seterusnya? Kita tunggu Transformers: Dark of the Moon mulai 29 Jun ini.
>PROFIL
NAMA PENUH: Rosie Huntington-Whiteley
TARIKH LAHIR: 18 April 1987
USIA: 24 tahun
ASAL: Plymouth, Devon, England
KERJAYA: Model, pelakon
STATUS: Bujang
FILEM: Transformers: Dark Of the Moon
0 ulasan:
Catat Ulasan