BAGAI sudah mengagak persoalan yang ingin ditanya, Fahrin Ahmad bersedia menyusun bicara. Tetap menyambutnya dengan senyuman, belum sempat persoalan dilontar, dengan lekas dia mencelah.
Mahu atau tidak, jejaka berusia 32 tahun ini sudah sinonim dengan episod cinta. Kontroversi lama dulu makin dilupakan dan semuanya sudah ditelan menjadi pengajaran. Fahrin akur statusnya sebagai seorang selebriti.
"Mungkin bukan lagi sinonim tapi dah macam satu stigma pula topik cinta kena ditanya kepada saya. Memang awalnya wartawan selalu akan tanya mengenai perkembangan kerjaya tapi pusing-pusing hal peribadi saya juga akan tetap disentuh. Saya faham, itu sudah tugas wartawan," kata Fahrin dengan tenang.
Buang jauh-jauh episod putus cinta Fahrin dengan Linda Onn mahupun Scha Al-Yahya. Ia sememangnya cerita basi yang sudah menjadi sejarah.
Terbaru, aktor kacak ini digosipkan pula dengan anak produser terkenal, Global Station Network, Datin Zaiton Muhd Jiwa atau Kak Ton. Gadis yang dimaksudkan tidak lain daripada Zetty Adila Datuk Ramly yang dikenali di kalangan 'orangdrama' sebagai wanita yang anggun, kreatif, ceria dan bersopan.
"Entahlah, saya sendiri tak pasti bagaimana gosip ini boleh timbul. Hanya kerana saya bekerja dengan Kak Ton dan anaknya, Adila, orang terus membuat
spekulasi dan kesimpulan bahawa kami ada apa-apa.
"Ingin saya tegaskan di sini, kami hanya berkawan dan hubungan itu tidak lebih
daripada pelakon dengan produser saja. Saya hormat kedudukan dan latar belakang Adila dan keluarganya. Saya hanya pekerja dan mereka ibarat majikan.
"Rasanya tak payahlah kita bercakap lagi mengenai kerana tiada apa-apa pun hubungan terlindung antara kami. Usah salah sangka. Bukan apa, saya bimbang, gosip ini akan menjejaskan profesionalisme saya. Mana tidaknya, kesannya nanti boleh jadi negatif. Saya mencari rezeki sedangkan Adila pula seorang produser eksekutif. Bimbang nanti orang sangka ada elemen pilih kasih atau kronisme pula.
"Saya juga tak mahu membebankan Adila dengan situasi bukan kerja. Kalau saya seorang tak mengapa sebab saya sudah pernah lalui banyak situasi yang genting dalam bidang seni tapi Adila tidak biasa dihimpit dengan gosip.
"Adila majikan yang baik, mudah dibawa berbincang. Sikap matang Adila bukan saja menyenangkan saya, malah semua pelakon lain serta tenaga produksi terbabit," jelas Fahrin.
Menjawab pertanyaan lain, Fahrin akui tidak pernah menutup pintu hatinya untuk bercinta lagi, malah ingin membina mahligai perkahwinan seperti mana lelaki lain.
"Cuma saya tidak mahu lagi meletakkan sasaran tertentu untuk mendirikan rumah tangga. Kalau sudah sampai rezeki dan jodoh itu datang mendekati, saya pasti akan
terima dengan hati yang terbuka. Alhamdulillah rezeki lakonan dan pengacaraan sentiasa ada. Fikiran saya tenang dan lapang ketika ini," katanya.
Jelas pengalaman lalu cukup mengajar dan mematangkan diri Fahrin. Enggan melihat episod lama sebagai satu penyesalan, jejaka kelahiran Johor Bahru ini percaya semua yang pernah menghimpitnya adalah satu proses kehidupan.
Menyentuh pula drama bersiri lakonannya yang mula ditayangkan di Astro Prima sejak 7 Jun lalu, Suria Di Cordoba, Fahrin yang memegang watak Tengku Huzir, berasa puas kerana berpeluang membawakan tiga dimensi perwatakan.
Mendapat sentuhan pengarah Feroz Kadir dan menjalani penggambaran di Madrid, Sepanyol selama sembilan hari, Suria Di Cordoba memberikan sebuah naskhah rantaian 26 episod penuh warna dan emosi.
"Sejak awal membaca skripnya, saya sudah tertarik dengan plot cerita yang ingin diterjemahkan. Ia banyak konflik dan kemelut dengan suntikan emosi yang kuat. Barisan pelakonnya juga hebat seperti Adi Putra, Sari Yanti, Normah Damanhuri dan beberapa yang lain. Saya bersyukur kerana berpeluang menjadi sebahagian daripada keluarga produksi ini. Saya yakin peminat akan terhibur dan terikat untuk terus bersama drama ini hingga ke episod terakhirnya.
"Watak Tengku Huzir memberi cabaran kerana dibentuk melalui tiga transisi karektor berbeza. Ia bermula daripada anak yang rosak akhlak, kemudian apabila berkahwin, Tengku Huzir berubah ke sisi yang lebih baik hinggalah berlaku tragedi hitam dalam hidupnya.
"Kemelut cinta tiga segi juga berlaku apabila hati Huzir yang lara dibawa terbang ke Cordoba demi mencari ketenangan. Huzir kemudian bertemu Suria (Sari Yanti) yang sebenarnya turut dicintai Indra Putra (Adi Putra). Ia sebuah drama siri yang akan mengusik jiwa penonton," ujarnya.
Bagi anda di luar sana, jangan lupa menyaksikan pergolakan cinta dan pengorbanan menerusi drama siri Suria Di Cordoba, setiap Selasa, jam 9 malam hanya di Astro Prima.
PROFIL
NAMA PENUH: Fahrin Ahmad
TARIKH LAHIR: 9 Mei 1979
USIA: 32 tahun
TEMPAT LAHIR: Johor Bahru, Johor
PENDIDIKAN: Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang dari Universiti Teknologi MARA (UiTM).
DRAMA: Kau Yang Ku Sayang, Matahari, Laila Asyikin, Lakar, Suria Di Cordoba
FILEM: Puaka Tebing Biru, Andartu Terlampau 21 Hari Mencari Suami, 2 Hati 1 Jiwa, 9 September, Dimensi Cinta
PENGACARA: Kunci Khazanah, Sehati Berdansa
# Selingan Berita Hiburan dan Isu Semasa
0 ulasan:
Catat Ulasan