BELUM pun Astro mengumumkan mereka mahu mencari bakat baru untuk menyertai program Akademi Fantasia (AF) musim kesembilan, banyak pihak nampaknya sudah pun rancak bercerita mengenai siapakah yang bakal menjadi pengetuanya.



Memang saban tahun, orang tak berapa hiraukan sangat siapakah 12 peserta yang akan menyertai program ini. Sebaliknya yang lebih disibukkan siapakah yang akan menduduki kerusi panas itu.

Malah lebih hebat lagi, jawatan berkenaan turut menjadi perdebatan hangat di kalangan orang industri jika calon yang menduduki kerusi berkenaan dirasakan tidak bersesuaian. Kalau sebelum ini siapa yang bakal menjadi pengetua menjadi rahsia besar Astro, namun sayangnya kali ini ia tidak lagi eksklusif apabila orang di luar sana sudah heboh menyebut nama seorang penyanyi rock terkenal tanah air bakal mengemudi akademi yang penuh dengan kontroversi dan sensasi.

Siapa lagi otai rock itu kalau bukan Amy Search. Setiap kali bertemu dengan teman-teman Cik Normah, mereka rancak bercerita mengenai pemilihan Amy Search sebagai pengetua. Cik Normah tak pasti sama ada ia hanyalah dakyah palsu atau tidak, tetapi orang dalam Astro sendiri tak menafikan cadangan pelantikan Amy itu.

Kalau orang dalaman Astro tidak menafikan, maksudnya benarlah desas-desus berkenaan. Bagi Cik Normah, Amy memang layak untuk bergelar pengetua memandangkan dirinya seorang yang berpengalaman luas dalam bidang muzik. Sekurang-kurangnya Amy boleh berkongsi pelbagai petua dan pengalaman jatuh bangun dalam industri muzik bersama pelajarnya nanti.

Cik Normah tak sabar nak menantikan kemunculan Amy sebagai pengetua AF. Bukan apa, Amy memang terkenal suka bergaya, jadi Cik Normah nak tengoklah apa imej yang akan dibawakan sepanjang 10 minggu program itu berlangsung.

Kepada Amy, jika benar anda menerima tanggungjawab sebagai pengetua AF, Cik Normah ucapkan setinggi-tinggi tahniah. Cik Normah harap Amy dapat berkongsi pelbagai tip berguna kepada pelajar dan cubalah ubah mereka supaya menjadi penyanyi yang berwawasan bukan sekadar penyanyi mi segera.

Oleh Normah Becok

1 ulasan:

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top