Pada minggu kelima lalu Farina terselamat kerana tiada penyingkiran berlaku walaupun dia berada di tangga tercorot, namun pada minggu kelapan lalu, Farina memang benar-benar tersingkir.
Kejutan 'AF Masuk' barangkali cuba memberi sedikit sinar buat Farina untuk kembali mempertaruhkan nasibnya bersama pelajar lain. Namun nasib menyebelahi Ahmad Shahir Zawawi (Shahir) yang dianggap punya lebih pakej dan ramai peminat.
Kemenangan Shahir terbukti apabila peratusan undian khidmat pesanan ringkas (SMS) penonton diraihnya 68.6 peratus. Sekali gus, meninggalkan jauh Dayang Nor Anum Arjuna Aharun (Anum) yang mendapat 18.57 peratus.
Nyata sekali, enam pelajar AF8 lain termasuk Farina yang tersingkir Sabtu lalu gagal menggugat kedudukan Shahir.
Apakah Shahir turut bertuah seperti Aril dulu yang diundi masuk semula dan seterusnya merangkul gelaran naib juara AF7?
Melihatkan peratusan SMS diraih Shahir, tidak dinafikan dia mampu bersaing dan menggugat kedudukan lima peserta yang kekal pada minggu kelapan iaitu Siti Adira Suhaimi (Adira), Muhd Shahril Firdaus Eli (Daus), Emirza Azwan Zulazrin Chew (Iwan), Nadiawaty Ainul Basir (Ain) dan Muhd Firdaus Maulana Mohamed (Maulana).
Malah, sewaktu diumumkan kejayaan Shahir itu dapat dilihat kerisauan di wajah seorang pelajar lelaki AF8 yang kekal. Apakah bagi mereka Shahir satu ancaman sebagai mana Aril dulu?
Apapun, nasib Shahir masih lagi belum selamat untuk beraksi pada malam kemuncak AF8 pada 22 Mei ini di Stadium Putra, Bukit Jalil.
Ini kerana dalam sidang media selepas Debaran AF8 kelmarin, turut diumumkan ada satu lagi penyingkiran pada minggu depan.
Shahir berkata, dia tidak akan mensia-siakan kepercayaan serta peluang kedua diberikan penonton kepadanya.
Ujarnya, dia bertekad membalas jasa itu dengan persembahan terbaik pada konsert minggu kesembilan nanti. Baginya, bakat harus dibuktikan.
"Saya akur dengan penyingkiran pada minggu ketujuh lalu. Malah, saya juga tidak menyangka penonton sanggup mengundi sebanyak ini. Saya tak terfikir akan berjaya kerana melihat persaingan peserta lain juga sengit dan masing-masing ada kelebihan.
"Ini mungkin sudah rezeki saya dan terima kasih kepada semua pihak yang memberikan sokongan. Bahkan, saya juga ada keyakinan untuk menonjolkan kemampuan diri. Saya akan berusaha menampilkan persembahan terbaik untuk penonton," ujarnya.
Sementara itu, Farina tidak berasa kecewa dengan penyingkirannya. Kata ibu tunggal seorang anak ini, dia bersyukur dapat kekal hingga minggu kelapan kerana persaingan buat dirinya sepatutnya berakhir pada minggu kelima lalu. Justeru, tiada apa yang perlu dikesalkan.
"Sepanjang berada dalam akademi, saya seronok dapat belajar banyak perkara mengenai nyanyian dan bidang seni. Malah, cikgu yang melatih kami juga bukan calang-calang orang kerana mereka sangat berpengalaman.
"Apa yang pasti, saya gembira dapat memperbaiki mutu vokal. Mana yang salah, dapat diperbetulkan kerana saya memang minat menjadi penyanyi. Saya harap selepas ini, peluang untuk saya terus menonjolkan bakat masih ada dan tidak berakhir," katanya.
Pada konsert kelapan lalu, Farina mendendangkan lagu Selanjur Bercinta, nyanyian asalnya Aishah. Komen Adlin Aman Ramli selaku juri tetap, tiada perubahan dibawa Farina dalam corak persembahannya. Farina sekadar menampilkan persembahan yang selamat dan kurang impak.
Bagaimanapun, kekuatan Farina pada tahap vokalnya kerana ia diakui juri tetap Aznil Nawawi dan juri jemputan Erra Fazira.
Apapun, persembahan pelajar yang menonjol ialah Daus dengan lagu Puspa (ST12), Ain, (Suci Dalam Debu - Iklim) dan Adita (Kitalah Bintang - Ella).
Manakala, persembahan Iwan juga tidak menghampakan dengan lagu Lihat Cara Dia Memandangku, nyanyian asalnya Bre. Bagaimanapun persembahan seorang lagi pelajar popular, Maulana menerusi lagu Gerimis Mengundang (Visa) kurang menjadi seperti yang diharapkannya.
Oleh Norhayati Nordin
0 ulasan:
Catat Ulasan