Kejutan demi kejutan berlaku dalam konsert minggu kelapan Akademi Fantasia ke-8 (AF8) apabila AFMASUK diaktifkan di penghujung konsert yang bersiaran dari Dewan Sri Putra, Bukit Jalil sebentar tadi. Ini bermakna, kesemua 7 pelajar yang tersingkir sebelum ini iaitu Shah, Ema, Anum, Alif, Nad, Shahir dan terbaru yang disingkirkan pada konsert kelapan ini, Farina berpeluang untuk kembali ke akademi dan menyambung perjuangan dengan pelajar lain yang masih kekal.
Pengumuman dibuat oleh kedua-dua hos Konsert AF8, Jimmy Shanley dan Sarimah Ibrahim dalam rancangan yang turut bersiaran secara langsung di saluran 104 (Astro Ria).
Konsert kelapan ini nyata dipenuhi kejutan sejak awal apabila Erra Fazira yang juga selaku pengkritik jemputan, muncul untuk menyanyi bersama dengan pelajar-pelajar lagu bonus, Pertemuan yang juga lagu asal nyanyian Erra sendiri. Sarimah dan Jimmy seterusnya membuat pengumuman bahawa berbeza dengan minggu-minggu sebelum ini, penyingkiran akan berlaku di penghujung konsert.
Pengumuman ini nyata menyuntik semangat beberapa orang pelajar untuk membuat persembahan sebaik mungkin dimulakan dengan Daus dengan lagu Puspa (ST12). Persembahan Daus nyata menghiburkan dengan beberapa aksi lucu terutama interaksi Daus dengan pengkritik-pengkritik dan pujian diberikan oleh Aznil yang mengatakan tidak ramai artis di luar sana berani membuat persembahan seperti Daus.
Ain mengambil alih pentas dengan lagu Iklim, Suci Dalam Debu tetapi dalam versinya sendiri. Mainan perasaan serta suara 'husky' Ain nyata berjaya menarik perhatian pengkritik dan audiens lain cuma Adlin berharap Ain dapat mencari sesuatu yang menarik dalam persekitarannya untuk mencantikkan lagi persembahan.
Iwan kemudian muncul membuat persembahan dibantu oleh rakan-rakannya yang membuat gimik bermain alat muzik seolah-olah satu 'band' untuk lagu Lihat Cara Dia Memandangku (Bre). Walaupun kelihatan selesa di atas pentas seperti kata Aznil, terdapat teguran dari Adlin yang mengatakan Iwan lambat menarik perhatian audiens manakala Erra pula berkata persembahan Iwan bukanlah sesuatu yang boleh diingati.
Setelah beberapa minggu menyanyikan lagu bergenre yang sama, Adira kali ini ditugaskan untuk membawa lagu berentak rock, Kitalah Bintang dari Ratu Rock Ella. Suara lantang dan bertenaga, tetapi terlalu lantang sehingga kurang jelas sebutannya adalah antara komen dari pengkritik untuk Adira. Namun Adira telah membuktikan usahanya untuk membawakan lagu yang berentak berlainan dari sebelum ini adalah antara komen dari Aznil.
Tiada apa yang menarik pada persembahan lagu Selanjur Cinta (Aishah) dari Farina mengikut kata pengkritik dan dendangannya juga kedengaran agak keras. Farina dari sudut pandangan Erra juga dilihat terlalu memberi fokus pada nada tinggi sehingga lupa untuk menghayati lagu.
Maulana, pelajar terakhir membuat persembahan cuba menampilkan kelainan minggu ini apabila menyampaikan lagu Gerimis (Visa). Namun usahanya gagal untuk menarik perhatian pengkritik, sebaliknya Maulana dikritik hebat oleh Adlin yang menyifatkan ini antara persembahan terburuk Maulana dan dua lagi pengkritik juga turut menyifatkan persembahan Mualana agak janggal dan perlu lebih kreatif.
Teruskan mengundi pelajar kegemaran anda dengan menaip AFUNDI <3/5/10> NAMA SINGKATAN PELAJAR & HANTAR ke 32999 dan nantikan keputusan siapa pelajar bakal dimasukkan kembali ke dalam akademi malam esok dalam Debaran AF jam 9 malam yang dikendalikan Sarimah Ibrahim.
BERITA DARIPADA MURAI.COM.MY
0 ulasan:
Catat Ulasan