Peserta yang tersingkir pada minggu ketujuh, Ahmad Shahir Zawawi (Shahir) (gambar), 22, diberi peluang kedua oleh rakyat Malaysia yang mengundinya sehingga mendapat 68.6 peratus bagi melayakkan dia kembali di dalam AF8.
Undian masuk ini diumumkan oleh pengacara Sarimah Ibrahim menerusi malam debaran AF yang disiarkan secara langsung dari Dewan Sri Putra, Bukit Jalil di sini malam ini.
Ujar Shahir, dia amat bersyukur diberi peluang kedua dan berjanji akan sedaya upaya memberikan yang terbaik, khas buat mereka yang mengundinya.
''Secara jujurnya, saya tidak yakin untuk diserap semula kerana masing-masing ada kekuatan tersendiri.
''Namun berdasarkan undian besar daripada penonton saya akan cuba memberikan yang terbaik untuk tidak menghampakan harapan mereka," katanya.
Undian masuk dibuka mulai pukul 11 malam selepas konsert semalam dan ditutup pada 9.20 malam tadi.
Pada Konsert AF yang disiarkan secara langsung di Dewan Sri Putra, Bukit Jalil di sini semalam, peserta bernama Farina atau nama sebenarnya Zafarina Jamhari, 28, terpaksa akur dengan keputusan undian SMS yang meletakkannya sebagai peserta tercorot.
Kemudian, undian masuk diumumkan dengan peserta yang tersingkir dari minggu pertama sehingga semalam diberi peluang kedua untuk terus bersaing iaitu Muhammed Shahril Mohd. Saleh Hussein (Shah), 26, Erma Suhaimi (Ema), 21, Alif Muhammad Alif Kadim (Alif), 19; Dayang Nur Anum Arjuna Aharun (Anum), 19, Nadia Emilia Roselan (Nad), 22, selain Shahir dan Farina.
Perjuangan pelajar AF8 kini diteruskan enam pelajar lain iaitu Muhd. Shahril Firdaus Eli (Daus), 22; Emirza Azwan Zulazrin Chew (Iwan), 20; Nadiawaty Ainul Basir (Ain), 24; Muhd. Firdaus Maulana Mohamed (Maulana), 22; Siti Adira Suhaimi (Adira), 19 dan Shahir.
AF8 yang dihoskan oleh Sarimah Ibrahim dan Jimmy Shanley menampilkan dua pengkritik tetap iaitu Aznil Nawawi dan Adlin Aman Ramlie dengan pengkritik undangan minggu ini, Erra Fazira.
0 ulasan:
Catat Ulasan