Produser terkenal Raja Azmi Raja Sulaiman mengadakan sidang akhbar di Taman Melawati, semalam, bagi menjawab kenyataan Adam Davin yang menuduh produser berkenaan memfitnahnya.
Raja Azmi berkata, dia juga membuat laporan polis di Balai Polis Pudu, Cheras pada 1 Mei lalu kerana hampir jadi mangsa penipuan lelaki berkenaan yang berjanji melabur untuk filemnya serta menggunakan namanya demi kepentingan peribadi.
Turut hadir pada sidang akbar itu beberapa mangsa yang mendakwa ditipu lelaki itu dengan laporan polis masing-masing mendedahkan kegiatan penipuan Davin atau nama penuhnya Davin Singh Gurchran Singh itu.
Katanya, pada pagi semalam, dia turut menerima panggilan telefon dari sebuah gedung kain terkenal mendakwa mereka juga menjadi mangsa penipuan Davin.
Selain itu, katanya, Davin turut menggunakan namanya untuk meminta tajaan baju bagi menghadiri acara anugerah pada April lalu daripada seorang pereka fesyen serta menganjurkan uji bakat pelakon Anak Ikan tanpa pengetahuannya.
Kegiatannya itu terbongkar apabila seorang rakan baik saya memberitahu Davin menggunakan nama saya untuk meminjam baju daripada pereka Kos Serani dan lambat memulangkannya.
Dia (Davin) juga mengambil kesempatan daripada sebuah agensi model dan meminta model mereka diuji bakat kononnya untuk filem saya, katanya pada sidang media itu untuk membersihkan namanya.
Menurutnya, dia juga terkilan kerana namanya semakin buruk apabila Davin menuduhnya sengaja menabur fitnah.
Katanya, dia mengenali Davin sekitar Mac lalu menerusi laman sosial Instagram dan mengambil keputusan untuk tidak berhubung dengannya selepas lelaki itu tidak mengotakan janjinya.
Dia yang terlebih dulu menghubungi saya menerusi laman sosial berkenaan dan berminat mahu bekerjasama menerusi projek filem Anak Ikan. Dia malah mendakwa dia merupakan anak pemilik kedai kain terkenal Jakel.
Kami pun bertukar nombor telefon dan kali pertama bertemunya, dia memaklumkan bapanya mahu membuat pelaburan bernilai RM500,000 untuk filem itu sambil menetapkan syarat dia diberikan watak hero.
Sepanjang menerbitkan filem, saya tidak pernah menerima tajaan mana-mana pihak dan apabila tawaran sedemikian muncul, mestilah satu peluang keemasan buat saya. Lagipun, daripada gaya dia membuat tawaran itu, memang sangat meyakinkan, katanya
Menurutnya lagi, dia bagaimanapun melupakan hasrat itu apabila Davin gagal mengotakan janjinya untuk mempertemukan dia dengan bapanya mengenai penajaan itu serta sering memberikan alasan.
Kelmarin, Harian Metro melaporkan, Davin mendakwa Raja Azmi memfitnah serta memburukkan namanya di laman sosial selepas dia menarik tajaan terhadap filem produser terbabit.
0 ulasan:
Catat Ulasan