Sinopsis Ramadan Yang Hilang

Ramadan Yang Hilang mengisahkan konflik dua beradik, Zafirah (Eira Syazira) dan Delisha (Syatilla Melvin) apabila Delisha yang juga anak angkat kepada ibu bapa Zafirah menerima lebih perhatian dan kasih sayang sehingga Zafirah berasa tersisih. Delisha yang sering didera secara emosi dan fizikal oleh bapa tirinya membesar sebagai kanak-kanak murung. Pelajarannya juga ketinggalan kerana Delisha sering ponteng sekolah dan tidak serius ketika berada dalam kelas.

Berbeza dengan personaliti Delisha, Zafirah pula seorang periang, bijak dan bahagia dengan dicurahkan kasih sayang yang tidak berbelah bahagi daripada ibu bapanya, Zubir dan Saadiah. Hidup Zafirah berubah selepas Delisha dijadikan anak angkat oleh Zubir.

Namun, sikap Delisha yang berlagak seperti budak sombong menyebabkan Zafirah sukar bertolak ansur. Zafirah sering ditegur jika berlaku perselisihan faham. Lama-kelamaan, Zafirah cemburu dengan Delisha yang dilayan seperti anak emas oleh ibu bapa dan juga neneknya, Maryam.

Sesudah memasuki usia dewasa, Zafirah yang juga anak sulung terpaksa melupakan cita-citanya untuk menjadi seorang penulis novel. Dia memikul tanggungjawab menguruskan syarikat ayahnya yang mempunyai masalah kewangan. Jurang antara Zafirah dan Delisha semakin jauh apabila Delisha mula rapat dengan Rafiq.

Zafirah pernah menolak cinta Rafiq ketika di universiti dan sibuk dengan kerja di syarikat ayahnya. Zafirah cemburu apabila cinta Rafiq beralih kepada Delisha tetapi dia akur. Zafirah bertunang dengan Fitri. Zafirah semakin mendapat kepercayaan atas sifat tanggungjawabnya sebagai anak sulung yang komited pada perniagaan keluarganya. Ia menyebabkan Zafirah jarang meluangkan masa bersama Fitri. Fitri pula mendapat tugasan syarikat bersama Delisha di luar Kuala Lumpur.

Lama-kelamaan, Fitri tertarik dengan personaliti Delisha yang periang dan mereka bercinta. Akhirnya, Fitri putus tunang dengan Zafirah kerana mahu berkahwin dengan Delisha. Zafirah memberitahu Saadiah, dia reda ditakdirkan tidak bertemu jodoh dengan Fitri tetapi tidak mungkin berbaik lagi dengan Delisha.

Sinopsis Ramadan Yang Hilang

Zafirah bertambah marah apabila Delisha memutuskan hubungan dengan Fitri. Buat kali pertama, Zafirah bergaduh besar dengan Delisha sehingga Delisha membawa diri ke luar negara. Apabila 1 Ramadan muncul lagi, ia adalah bulan puasa suram buat keluarga Zubir dan Saadiah. Bagi mereka, ia ibarat Ramadan yang hilang.

Zubir, Saadiah dan Zafirah berbuka puasa bertiga tanpa berbual sepatah pun antara mereka. Selepas tiga tahun, kepulangan Delisha bersama seorang anak berusia dua tahun mengejutkan Zafirah dan Saadiah. Zafirah juga bertemu kembali dengan Rafiq. Apakah yang akan berlaku seterusnya? Jangan ketinggalan menyaksikan Ramadan Yang Hilang menerusi slot Samarinda pada setiap Isnin hingga Rabu jam 10 malam mulai 26 Jun ini.

Ramadan Yang Hilang dibintangi Eira Syazira,Syatilla Melvin,Zamarul Hisham (Zubir), Zila Bakarin (Saadiah), Norhayati Taib (Maryam), Alis Mariya (Zafirah waktu kecil), Melly Amalin (Delisha waktu kecil), Arja Lee (Rafiq) dan Sherrie Merlis (Rahimah).

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top