A.Aida mengakui sejak bercerai dengan pegawai polis, Suffian Sulaiman pada 2 Mei lalu, beberapa lelaki mahu mendekatinya untuk menjalinkan hubungan yang lebih serius termasuklah golongan VIP.

A.Aida berkata, bagaimanapun dia menolak usaha itu dan cuba menjauhkan diri memandangkan kebanyakan mereka berstatus suami orang.

"Sejak bercerai ada sahaja lelaki yang mahu 'singgah' dalam diri saya. Mereka itu ada daripada kalangan rakan-rakan penerbit serta golongan VIP.


"Tetapi saya tolak kerana mereka semua sudah berkahwin. Saya tak mahu sebarang masalah timbul di kemudian hari jika hidup bermadu. Lagipun emak saya sudah pesan jangan ambil suami orang. Kalau duda boleh sahaja, ini yang datang semua sudah beristeri," selorohnya.

Buat masa ini dia lebih senang menjalani kehidupannya sebagai ibu tunggal kepada tiga orang anak iaitu Wan Az Aleesa, 16, dan Wan Azevanatassha yang berusia 11 tahun hasil perkahwinan terdahulu dengan Ameng (Spring) serta Muhammad Rahul, 4, daripada pernikahannya dengan Suffian.

Malah kata Aida, kehidupannya kini lebih mudah apabila dia hanya perlu memberi fokus kepada anak-anaknya dan karier sahaja.

"Alhamdulillah, saya lebih tenang dan fokus dalam melakukan sesuatu perkara dan akan tolak ke tepi dahulu soal lelaki. Sekarang ini banyak pula idea yang muncul dalam proses penghasilan skrip drama dan saya bebas ke mana-mana sahaja untuk urusan kerja selain dapat meluangkan masa sepenuhnya dengan anak-anak,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Aida kini sibuk menerbitkan telefilem bersempena bulan Ramadhan berjudul Malaikat Di Pintu dan Kaluk Syawal (untuk TV3) dan Madu-Madu Raya (Astro Ria).

Aida telah bercerai talak dua dengan Suffian yang juga Ketua Unit Perhubungan Korporat, Jabatan Logistik, Bukit Aman di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur pada 2 Mei lalu. Mereka bernikah pada 20 April 2007.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top