Pelakon kacak Remy Ishak juga pernah berhadapan dengan situasi di mana dia tidak mendapat sebarang bayaran selepas terbabit dengan sebuah penerbitan.

“Biasalah bagi saya benda itu normal. Buat masa sekarang tidak ada lagi perkara itu timbul dan saya kini lebih dewasa dan sudah bersedia sekiranya perkara sebegini berlaku lagi. Sekarang ini saya tidak lagi berhadapan dengan masalah tidak dibayar tetapi ada yang lewat membuat bayaran. Biasalah orang bisnes, ada yang naik dan ada yang turun. Apa yang penting kita mestilah berfikiran positif,” ujarnya .

Dalam filem terbaru arahan Razaisyam Rashid, Remy diberikan peranan sebagai Adam yang merupakan seorang CEO dalam sebuah empayar korporat yang berjaya. Jelas Remy, dia bersetuju untuk terlibat dengan CEO kerana berpendapat watak dan skrip filem tersebut  agak unik.

“Semasa mula-mula ditawarkan watak ini, saya membaca terlebih dahulu skrip yang diberikan dan saya dapati skrip dan jalan cerita filem ini sangat berbeza daripada filem-filem yang pernah saya lakonkan sebelum ini. Lagipun, berlakon bersama-sama dengan Beto, dan Deanna Yusof membuatkan saya begitu teruja untuk memasuki lokasi penggambaran yang dijangkakan pada minggu hadapan,” katanya.

Bekerja dengan pengarah baru merupakan sesuatu yang agak janggal sekiranya mereka tidak tahu bagaimana untuk mengarah dan mengambil hati setiap krew mahupun pelakon yang terlibat. Ternyata tanggapan itu berbeza apabila Remy Ishak dengan sejujurnya memberikan komen positif terhadap pengarah baru itu.

“Sudah lapan tahun saya bekerja dengan bermacam-macam pengarah, dan pelbagai ragam yang saya tempuhi. Tetapi apabila dengan pengarah ini, saya telah melakukan latihan, bacaan skrip, dan ternyata dengan cara sebegitu membuatkan saya lebih berkeyakinan untuk bekerjasama dengannya,” tambah Remy lagi.

Berkongsi tentang perancangannya pada masa hadapan, Remy memberitahu dia tidak pernah terfikir untuk memulakan perniagaan, kerana baginya rezeki ada di mana-mana dan berlakon adalah sumber rezekinya.

“Saya tidak pernah terfikir untuk membuka bisnes kerana bagi saya sumber pendapatan saya adalah daripada lakonan. Semuanya bergantung pada niat, sekiranya niat kita untuk berada di industri hanyalah untuk mencari glamor dan suka-suka maka sekejap sahajalah kita di industri ini. Tetapi apabila niat untuk mencari rezeki, InsyaAllah kita akan berada lama dalam industri ini. Bagi saya biarlah kita fokus terhadap sesuatu kerja kita terlebih dahulu. Kalau buat dua perkara dalam satu-satu masa, saya takut sekiranya tidak mampu untuk melakukannya. Terpulang kepada individu untuk menilai,”ujarnya mengakhiri perbualan. ~ GUA

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top