“Saya memang terkejut apabila diberitahu gosip itu tersebar di sebuah portal hiburan kerana saya sudah lupa kisah dua tahun lalu itu. Ikhlas saya katakan, saya sudah pun menghalalkannya,” kata pelakon juga pengacara jelita, Noor Neelofa Mohd Noor berhubung gosip Shahz Jaszle pernah berhutang wang RM5,000 dengannya.

Neelofa sebelum ini pernah bergandingan dengan aktor berusia 25 tahun itu dalam filem Azura 2012 dan hubungan mereka menjadi akrab sejak itu. Bagaimanapun atas alasan tiada persefahaman, hubungan mereka dikhabarkan berantakan.

Semalam, sebuah portal hiburan mengatakan Neelofa ada menghubungi Shahz ketika aktor itu sedang berdepan kemelut tangkap khalwat dan putus tunang bagi menuntut hutangnya. Pengacara program Nona dan Meletop itu menafikannya dan menegaskan enggan memikirkan lagi soal itu.

“Memang perkara itu (meminjam duit) pernah berlaku. Kelakar juga apabila kisah ini terbongkar sedangkan ia sudah lama berlalu. Saya lama tidak berhubung dengannya dan nombor telefonnya juga tiada dalam simpanan saya. Kali terakhir saya berjumpa Shahz ketika dia hadir ke studio Meletop untuk mempromosikan drama lakonannya. Itupun kami hanya bertanya khabar. dan saya langsung tidak ingat soal duit yang pernah dipinjamnya itu. Justeru, saya menegaskan gosip itu tidak benar dan hanya andaian pihak tertentu saja,” katanya.

Tambah Neelofa, dia masih peka akan keadaan Shahz yang berdepan pelbagai kontroversi akhir-akhir ini dan mustahil untuknya menambah isu lama untuk mengeruhkan lagi keadaan.


“Jika benar seperti dakwaan gosip itu kononnya Shahz mengatakan saya masih mencari dia untuk menagih cinta, terpulanglah, kerana saya sudah menjelaskan awal tadi yang saya tidak pernah berhubung dengannya.

“Saya tidak mahu menambah lagi kekusutan yang dialaminya sekarang dan biarlah kisah ini berlalu begitu saja,” katanya ~ Metro

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top