Drama Ramadan 2013
Pelbagai program disajikan stesen televisyen tempatan sempena Ramadan, bertujuan mengajak penonton menghayati keimanan dan ketakwaan kepada Yang Maha Esa.

Rancangan yang disiarkan pula menyasarkan khalayak lebih menyeluruh termasuk kelompok dewasa, remaja, kanakkanak, saudara baru dan penonton bukan Islam. Program itu membabitkan dokumentari, bual bicara, kartun, animasi, drama, telefilem, nasyid, pengembaraan, serta gaya hidup.

Di sini beberapa drama dan telefilem pilihan yang mampu menjadi hiburan bermanfaat buat penonton sepanjang bulan puasa ini.

TV3:
Ayam


Mengisahkan perhubungan adik-beradik yang tidak sehaluan iaitu Aidil dan Fitri. Bagi Aidil, Mak Jah, ibu mereka, terlalu memanjakan Fitri sehingga menyebabkan adiknya nakal, manakala Fitri pula beranggapan abangnya tidak mempedulikan dirinya dan sering memarahinya. Menjelang Aidilfitri, Mak Jah meminta Fitri membeli ayam untuk dibuat rendang. Dalam perjalanan ke pasar, Fitri bertemu rakan baik Aidil, Wan, yang sentiasa berhasad dengki terhadap Aidil dan Fitri. Apabila mendapat tahu Fitri ingin membeli seekor ayam, Wan terus menjual ayam jantan yang dicurinya daripada Pak Malau.

* Tarikh: 21 dan 28 Julai serta 4 Ogos 2013

* Jam: 7.30 malam

* Pelakon: Naim Daniel, Fazli Daniel Ali, Eyka Farhana, Fazlina Ahmad Daud, Afik Shafik, Ilya Buang.

TV3:
Korban Kasih
Shahanim dan Milah ialah sahabat karib sejak kanak-kanak. Namun perhubungan mereka terputus apabila ibu bapa Milah meninggal dunia. Lima tahun kemudiannya, Shahanim berkahwin dengan Azlan dan tinggal bersama keluarga suaminya.

Shahanim terkejut apabila melihat Milah bekerja sebagai pembantu rumah di situ. Adik Azlan, Hakim, merogol Milah ketika dirinya mabuk. Shahanim menyarankan Hakim menikahi Milah atau dia akan membuat laporan polis. Ibu Azlan pula tidak setuju dan memaksa Azlan menceraikan Shahanim jika dia berbuat begitu. Akhirnya, setelah menerima begitu banyak tekanan daripada ibunya, Azlan membuat keputusan untuk menceraikan Shahanim dengan talak tiga.

* Tarikh: 20 Julai

* Jam: 10 malam - Pelakon: Aiman Hakim Ridza, Intan Ladyana, Puteri Chichi, Hafeez Mikhail, Normah Damanhuri, Omar Mokhtar.

TV1:

Ramadan Jangan Ambil Nyawaku

Kewibawaan Johari dalam dunia korporat memang tidak dinafikan lagi. Dalam usia yang masih muda, Johari sudah berdiri sebaris dengan tokoh korporat terkenal lain. Dia beruntung kerana arwah ayahnya, Datuk Haris, meninggalkan empayar perniagaan yang sudah stabil. Kerana nikmat kemewahan jugalah menyebabkan Johari bercerai.

Sebagai duda kaya, berpangkat dan kacak, Johari menjadi rebutan ramai wanita. Suatu hari, semua kemewahan, kenikmatan duniawi itu bagaikan hilang apabila dia disahkan menghidap barah otak dan dapat hidup hanya dua bulan saja lagi. Rakannya, Rizal, menggalakkan Johari menghabiskan masanya dengan menikmati syurga dunia sementara sisa hidup masih berbaki.



* Tarikh: 19 Julai

* Jam: 10.30 pagi

* Pelakon: Amar Baharin, Tasha Shilla, Fadilah Mansor, Khairil Anwar, Allana Amir, Afiq Hussain.

TVi: = Qun Faya Qun

Qun Faya Qun sarat dengan pengajaran berguna, terutama buat anak muda yang terjebak dengan gejala pembuangan bayi. Faridah dan Halimah ialah pasangan adik-beradik yang rapat. Sejak Faridah berkahwin dengan ahli perniagaan berjaya, sekali gus menetap di bandar, hubungannya dengan Halimah seakan terus renggang. Bukan itu saja, Faridah kini mula meletakkan jurang perbezaan antara mereka memandangkan Halimah hanya berkahwin dengan lelaki bekerja kampung. Bagaimanapun, Halimah tidak pernah sekali membenci adiknya, malah hanya dia yang rajin menjenguk Faridah di kota biarpun ada kalanya kedatangannya dilayan dengan dingin.

* Tarikh: 21 Julai

* Jam: 12.05 tengah hari

* Pelakon: Maria Farida, Khairil Anwar, Yasmin Hani, Aida Khalida, Azhar Sulaiman, Mie Raja Lawak.

TVi: = Air Yassin

Nasir seorang guru yang mengajar di kampungnya sendiri. Sebagai anak jati kampung itu, Nasir berharap anak desa berkenaan menguasai ilmu pengetahuan dengan memberi lebih perhatian setiap kali dia mengajar. Dalam ramai anak kampung ini, Rahimi nyata paling kurang memberi tumpuan dan paling nakal. Dia juga kurang bijak dan sering mengganggu kawannya. Pada satu hari, berlaku peristiwa begitu memalukan Nasir apabila Rahimi memberitahu Ustazah Munirah yang dia menyukai wanita itu. Nasir begitu marah dengan tindakan Rahimi dan apabila Nasir menegurnya, dia mencabar Nasir untuk menjadikannya pelajar yang paling pandai tanpa perlu teruk belajar seperti orang lain.

* Tarikh: 28 Julai

* Jam: 12.05 tengah hari

* Pelakon: Azam Pitt, Maslina Nasir, Reen Rahim, Hamdan Senario, Sheila Mambo, Reza Hasbi, Zul Handy Black.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top