Kumpulan Jump-p

Kumpulan rock Jump-p dianggotai lima pemuzik rock, Oney (vokalis), Yan (gitaris), BoyRazak (keyboardist), Bard (bass) dan Lee (dram) .

Ditubuhkan sejak 2003 oleh bekas vokalis kumpulan May, Mohd Redzuan Abd Aziz atau Oney, Jump-p sebenarnya lahir daripada beberapa kumpulan rock yang popular di era 1980-an dan 1990. Pernah menyertai kumpulan seperti May, Lipanbara, Handy Black, Scandal, EYE dan AXL’s, Jump-p bukanlah pemuzik picisan dalam industri muzik tanah air.

Berbekalkan pengalaman yang ada, band yang bernaung di bawah pengurusan SMY Event & Promo ini mampu mengorak langkah lebih jauh.

Sungguhpun pernah kecundang menerusi album pertama, Halusinasi, yang membawa konsep pop rock pada 2006, namun ia bukanlah penghalang untuk Jump-p meneruskan perjuangan. Muncul dengan album kedua, Wujud,album ini juga sebagai usaha untuk mengetengahkan kumpulan ini di kalangan pendengar.

"Walaupun kami pernah kecundang untuk album pertama, naumn kami tidak pernah berputus asa.


"Bukannya lagu-lagu kami tidak kuat, sebaliknya kekangan promosi untuk album pertama itu membuatkan kami tidak berjaya mencapai sasaran ketika itu," kata Oney yang pernah berduet dengan penyanyi Safura menerusi lagu Jangan Menangis Sayang.

Lamaran dari Rusia


Turut memberi kelainan, Oney memberitahu, album tersebut digarap dengan kombinasi unik di mana muzik simfoni rock barat dan muzik tempatan telah digabungkan.

"Kami cuba mengetengahkan muzik bergenre power metal, simfonik metal dan etnik rock yang sesuai didengar oleh semua peminat muzik rock dan setakat ini kami menerima sambutan yang baik di kalangan peminat," katanya.

Memuatkan sepuluh lagu seperti Wujud, Moga Sempurna, Mitos Saka, Sangkala Awal Sangkala Akhir dan Power Of Nature, Oney berkata, album ini turut mendapat sambutan di luar negara sebaik saja dimuat naik menerusi laman sosial. 

"Dengan adanya laman sosial, lagu-lagu kami turut mendapat tempat di Mexico, Brazil dan Rusia," kata Oney.

Bukan sekadar omongan kosong, Jump-p turut menerima tawaran daripada pemuzik di Rusia untuk menghasilkan kolaborasi dalam nyanyian. 

"Kami diberi tawaran untuk menyanyikan lagu rock dalam bahasa mereka, dalam pada masa sama mereka juga berminat untuk menyanyikan lagu-lagu kami.

"Kami tidak menyangka sejauh ini kami diterima dan ia membuatkan kami lebih bersemangat untuk meneruskan karier seni," katanya.

Menyentuh mengenai perancangan terbaru, Oney memberitahu, selain mempromosikan album kedua, Jump-p juga dalam perancangan membuat single terbaru.

"Kalau tiada halangan Insya-ALLAH kami akan mengeluarkan lagu seterusnya pada awal tahun depan.

"Kami mahu ketengahkan lagi muzik kami seiring dengan perkembangan muzik dan menarik lebih ramai pendengar dalam menghayati muzik rock," katanya.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top