Raja Lawak musim keenam (RL6) nanti tidak lagi disiarkan di saluran Prima, tetapi akan disiarkan di Astro Warna sejajar dengan pelaksanaan saluran tersebut sebagai saluran komedi.
Menurut Naib Presiden Perniagaan Melayu Astro, Khairul Anwar Salleh, perubahan tersebut merupakan sebahagian daripada inisiatif pihak Astro bagi mengangkat program komedi ke satu tahap yang lebih tinggi.
"Perpindahan program Raja Lawak daripada saluran Prima ke Warna adalah satu langkah positif kerana satu produk berkualiti keluaran Prima sudah mampu berdiri sendiri di saluran Warna.
"Namun apa yang lebih penting, kami menghidangkan program berkualiti dan dapat diterima penonton," katanya ketika ditemui pada sidang akhbar Raja Lawak musim keenam di Starhill Gallery, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Tambah beliau, RL6 juga akan memperkenalkan format baru di mana para peserta yang terpilih akan dibahagikan kepada tiga kumpulan yang diterajui oleh tiga pelawak tanah air.
"Peneraju kumpulan kita panggil Cif Kecik dan setiap mereka akan menjadi penasihat dan pemerhati sebelum para peserta bersedia untuk membuat persembahan mingguan.
"Tiga orang Cif Kecik ini juga akan bertindak sebagai pendorong motivasi kepada peserta dalam kumpulan mereka.
"Kita juga memperkenalkan seorang pelawak lagi yang akan bertindak sebagai Cif Besar. Tugas Cif Besar untuk memantau kesemua Cif Kecik dan barisan peserta yang terlibat di bawah pengawasan Cif-Cif Kecik," jelas Khairul.
Beliau berkata, dengan pelaksanaan format baru itu, ia akan memberi peluang kepada peserta untuk meningkatkan potensi diri dalam melahirkan pelawak professional tanah air.
Oleh MUHAMMAD SYAFIQ ROOS ANNUAR
0 ulasan:
Catat Ulasan