Bersyukur dikurniakan anak lelaki yang diberi nama Alehandra Ahmad, pada 6 September lalu, kata Aqasha, kehadirannya melengkapkan kehidupannya bersama isteri Noor Baizura Mohd Sabri.
"Dia pelengkap kehidupan kami. Dia juga merupakan peneman saya di waktu malam. Saya suka menonton televisyen (tv) di waktu malam dan dia selalunya akan berjaga malam.
"Jadi kini saya sudah ada peneman ketika menonton tv. Dia pun tak banyak meragam, saya hanya perlu melayan dia sahaja. Sekitar jam 3 atau 4 pagi dia akan tidur," katanya begitu ceria berkongsi pengalamannya sebagai bapa.
Menyambung bicara kata pelantun lagu Cahaya Hati ini, nama putera sulungnya itu membawa maksud pejuang yang terpuji. Nama tersebut sememangnya telah lama diminatinya sedari bujang lagi.
"Saya suka nama Iskandar atau Alexander yang membawa maksud pejuang. Kalau nak letak Alexander Ahmad dah tak kena, jadi saya fikir Alehandra Ahmad sangat sesuai bermaksud pejuang yang terpuji.
"Memang sejak saya bujang saya suka nama tersebut lantas apabila dikurniakan anak lelaki terus saya namakannya sebegitu," ucapnya yang baru sahaja selesai menjalani penggambaran drama Mabrurkah Hajiku.
Tidak kisah untuk berjaga malam bagi menemani cahayamatanya, jelas lelaki berusia 29 tahun ini, dia enggan menganggu isterinya yang kini dalam proses berpantang. Malah kata Aqasha berpeluang menjadi seorang bapa merupakan satu momen yang sungguh indah.
"Saya tak pernah membayangkan akan ada anak sendiri dan sangat bersyukur dikurniakan cahayamata sendiri. Tak tahu bagaimana nak gambarkan keseronokkan dan bangga kerana memilikinya. Bagi saya kehadirannya satu anugerah terbesar dalam hidup saya.
"Selama ini orang cakap pasal anak, kita akan faham tapi tak dapat rasa tapi apabila memiliknya sendiri barulah kita dapat merasainya," jelasnya yang akan memasuki penggambaran drama bersiri Gemersik Kalbu arahan Heykal Hanafiah untuk tayangan slot akasia di TV3.
0 ulasan:
Catat Ulasan