Vokal Bukan Sekadar Rupa mempunyai sedikit kelainan berbanding dengan kebanyakan realiti tv nyanyian yang pernah dihasilkan sebelum ini.

Sudah memulakan tirai konsert yang pertama pada 16 Oktober lalu, rancangan tersebut menampilkan 10 peserta yang memiliki kekuatan dari segi vokal berbanding paras rupa.

Vokal Bukan Sekadar Rupa

Untuk konsert sulung yang diadakan di Sri Pentas 2 Plaza Alam Sentral, Shah Alam, buat permulaan lima orang peserta telah bersaing bagi merebut tempat ke peringkat seterusnya.

Antara yang bersaing seperti Norhasmidar Ahmad (Asmidar), Mafarikha Md. Akhir (Mafa), Muhd. Fakhrullah Mohd. Yusoff (Epiit), Mohd. Janizam Jamaluddin (Boby) dan Azmarul Azuan Harun (Azmarul).

Selain itu, para peserta turut diadili dua orang juri tetap yang akan mengadili para peserta sehingga minggu terakhir iaitu komposer Azmeer dan Erra Fazira serta Datuk Siti Nurhaliza selaku juri jemputan.

Menariknya tentang rancangan tersebut, para peserta terlebih dahulu akan menyanyi di sebalik tirai tanpa dapat dilihat dan ketiga-tiga orang juri akan mengundi sama ada peserta berkenaan layak ataupun tersingkir.

Namun begitu, hanya empat orang peserta yang berjaya pada persembahan minggu pertama dan tuah ternyata tidak menyebelahi Fakhrullah apabila tersingkir lebih awal setelah tidak mendapat undian daripada ketiga-tiga orang juri.

Biarpun tampil dengan persembahan yang mantap ketika menyampaikan lagu berjudul Bila Cinta nyanyian asal Filianti Vlee, ternyata ia belum dapat memikat hati para juri sehingga mereka terpaksa mengundinya keluar.

Ketika ditemui selepas acara berakhir, Fakhrullah yang tidak dapat menyembunyikan kekecewaan setelah tersingkir awal menyatakan dia sudah buat yang terbaik dan memberi sepenuh tumpuan ketika membuat persembahan.

“Saya sendiri sebenarnya kurang pasti dengan penyingkiran ini dan merasakan ia bukanlah disebabkan dengan pemilihan lagu. Mungkin ada beberapa kesilapan yang dilakukan ketika membuat persembahan tanpa saya sedari.

“Walaupun agak sedih apabila gagal ke peringkat seterusnya, namun saya tetap menerima dengan hati yang terbuka. Malah, layak sehingga ke peringkat ini juga sudah begitu memuaskan hati saya,” ujarnya yang kerap menghadiri sesi ujibakat rancangan realiti sebelum ini.

Mengulas mengenai penyingkiran Fakrullah, salah seorang juri tetap iaitu Azmeer menjelaskan, antara salah satu sebab peserta tersebut tidak dapat meneruskan saingan adalah disebabkan kesilapan yang dilakukan ketika korus.

Jelasnya, pada peringkat awal penyanyi berkenaan dapat menyanyikan dengan baik, tetapi dia seolah-olah kehilangan arah pada pertengahan nyanyian sehingga hilang tumpuan.

“Secara keseluruhannya saya berpuas hati dengan persembahan kesemua peserta yang dapat menyanyi dengan baik. Namun, kami perlu menjadi lebih tegas kerana ini bukanlah sesi uji bakat lagi.

“Sebagai juri kami merasakan sebarang kesilapan seharusnya perlu dielakkan dan ini yang terjadi kepada Fakhrullah apabila dia telah melakukan kesilapan sehingga dia terpaksa disingkirkan,” ujarnya.

Seorang lagi juri tetap, Erra Fazira memberitahu bahawa kesemua peserta ternyata memiliki vokal yang cukup mantap dan mahukan mereka supaya lebih bersedia untuk saingan yang seterusnya.

“Kalau boleh saya mahu setiap persembahan para peserta akan ada peningkatan setiap minggu selepas ini. Sebagai seorang juri tetap, saya akan curahkan segala pengalaman yang ada sebagai galakan kepada mereka,” ujarnya.

Pada minggu kedua, seramai lima orang peserta iaitu Fakhrul Nizam Fauzi (Fakhrul), Fazdrul Aswad Fauzi (Aswad), Airulazwan Abd. Rahman (Boy), Irsa Sahabuddin (Irsa) dan Siti Nur Aishah (Adeq) akan merebut tempat untuk saingan seterusnya.

Bermula pada minggu ketiga, kesemua peserta yang berjaya akan dikumpulkan dan format pemarkahan akan dikira menerusi 50 peratus markah daripada juri tetap dan 50 peratus lagi adalah melalui undian para penonton.

Selain itu, mereka juga akan dibimbing oleh beberapa individu yang dilantik seperti Faizal Uzir (Penasihat Vokal), Adzwa (Penasihat Persembahan), Prof. Madya Md. Izzuddin (Penasihat Motivasi) dan Simran Latif (Jurulatih Kecergasan dan Kesihatan).

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top