Datuk Mohd Jais Ahmad (penyanyi veteran Ahmad Jais) meninggal dunia dipercayai akibat masalah paru-paru di Pusat Perubatan Darul Ehsan (DEMC) kira-kira pukul 9.20 pagi ini .

Allahyarham Ahmad Jais berusia 75 tahun.

Allahyarham Ahmad Jais

Menantunya, Amirul Izwan Razak, 28, berkata jenazah Allahyarham dimandikan dan disembahyangkan di Masjid Negeri Shah Alam sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21 Shah Alam hari ini.

Penyanyi yang popular dengan lagu “Selamat Hari Raya” dan “Budi Setahun Segunung Intan” yang dinyanyikan bersama Kartina Dahari itu dimasukkan ke pusat perubatan itu sejak dua minggu lepas kerana kesukaran bernafas.

Allahyarham Ahmad Jais meninggalkan lima orang anak dan isterinya Mas Halilah Mas Nayeem telah meninggal dunia pada 22 Jun 2009.

Penyanyi yang mula berkecimpung dalam bidang muzik sekitar era 60-an mengadu penat selepas pulang daripada membuat persembahan di Batu Pahat, Johor, pada 8 Sept lepas, tetapi sakitnya mula serius pada malam 20 Sept lepas sehingga terpaksa menggunakan alat bantuan pernafasan di Hospital Pakar KPJ Selangor, Seksyen 20 di sini.

Allahyarham kemudian dipindahkan ke DEMC untuk rawatan lanjut.

Persembahan terakhir Allahyarham ialah pada majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri peringkat kebangsaan di Permatang Pauh, Pulau Pinang pada 11 September lepas yang turut dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak. - Bernama

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top